This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

ANALISIS : UMNO KEDAH TERSUNGKUR PRU 14

Sunday, October 25, 2015

Perkembangan politik terkini di Malaysia memang sukar untuk diramalkan. Dalam keadaan pakatan politik Malaysia sedang terpecah-pecah, Kedah bakal menjadi salah sebuah medan tempur yang terkesan dalam PRU 14. Setiap parti politik, baik Umno, PAS mahupun mereka yang menggelarkan Pakatan Harapan dilihat gagal untuk mengambil kesempatan atas kelemahan pihak lawan, disebabkan kelemahan di pihak mereka sendiri.

Saya menulis analisis ini dengan penuh adil dan mengambil kira pelbagai sentimen. Saya berlapang dada sekiranya apa yang saya tulis ini tidak dipersetujui oleh para pembaca. Apapun, politik Kedah pada hari ini hanya ada satu jalan keluar;

Mana-mana parti yang berjaya bangkit daripada pergolakan dalaman maka mereka akan mampu merampas Wisma Darul Aman. Dalam analisis ini, saya akan menjelaskan bagaimana dinamika politik negeri Kedah yang akan memberi kesan kepada pola pengundian nanti.


Undi Melayu Buat PAS

Satu tinjauan politik mendapati hanya sekitar 30% rakyat Malaysia berpuas hati dengan pentadbiran Barisan Nasional pada hari ini. Pun begitu, populariti kerajaan Kedah adalah sekitar 50% disebabkan oleh populariti dan imej Menteri Besar yang masih baik walaupun ada beberapa isu besar yang sedang membelenggunya.

Dalam hal ini, PAS telah muncul sebagai parti solo ranger yang mampu memainkan peranan yang cukup penting kepada orang Melayu. Bersetuju atau tidak, kejatuhan kerajaan PAS dalam pilihanraya yang lalu adalah di kerusi Melayu dan ini adalah disebabkan oleh pelbagai isu yang melingkari Pakatan Rakyat yang dilihat tidak pro-Melayu.

Oleh itu, undi PAS pada PRU-14 nanti adalah berdasarkan Malay-based dengan risiko kehilangan sebahagian besar undi bukan Melayu. Pun begitu, saya menjangkakan kehilangan undi bukan Melayu itu akan diimbangi oleh undi-undi orang Melayu yang akan swing kepada PAS. Malah, dalam hal ini PAS akan mampu menguasai sekitar 60 % undi Melayu sekiranya PAS kekal dengan prinsip berkecualinya pada ketika ini.


Mukhriz Sebagai Faktor Penentu

Pun begitu, faktor kejayaan PAS dan kejatuhan UMNO akan bergantung kepada sosok yang bernama Mukhriz Mahathir. Sekiranya Perdana Menteri mengambil tindakan berani mencantas Mukriz dalam PRU14, maka tugas PAS untuk menumbangkan UMNO akan menjadi lebih mudah.

Dalam hal ini, saya menjangkakan Mukhriz akan dibawa bertanding semula di kerusi asalnya di Parlimen Jerlun. Sekiranya hal ini berlaku, UMNO sudah tentu menghadapi masalah yang besar untuk kekal di Kedah disebabkan faktor Mukhriz sangat memainkan peranan yang besar dalam memenangkan UMNO di Kedah dalam PRU yang lalu.

Malah, dalam hal ini saya menjangkakan jangka hayat Mukhriz selaku Menteri Besar tidak begitu lama apabila wujudnya penentangan terbuka ke atasnya termasuklah isu terbaru yang cuba dibawa oleh sebahagian ADUN UMNO sendiri dalam isu pembalakan di Wang Perah, Jitra.

Selain faktor Mukhriz, faktor nasional akan menjadi penentu penting. Sekiranya Najib masih kekal di kerusi Perdana Menteri, maka tugas PAS untuk menang di Kedah akan menjadi mudah, namun sekiranya berlaku peralihan kuasa Najib - Zahid sebelum PRU 14, PAS akan mempunyai isu yang besar di situ.


Peranan PAN sebagai pemecah undi

Penubuhan Parti Amanah Negara adalah pengganti kepada PAS dalam Pakatan Harapan. Dalam PRU 14, saya melihat kehadiran mereka sebagai pemecah undi yang hanya akan memberi kelebihan kepada UMNO. Parti ini berkemungkinan tidak akan bertanding di semua kerusi, kecuali di kerusi-kerusi campuran kerana mereka sangat bergantung kepada undi bukan Melayu.

Antara kerusi tumpuan mereka termasuklah Jitra, Alor Mengkudu, Kubang Rotan, Kuala Ketil, Merbau Pulas, Bandar Baharu dan beberapa kerusi lain yang mereka rasakan berpotensi. Dalam hal ini,kehadiran PAN sebenarnya hanya akan memberi kemenangan percuma kepada UMNO. Apabila pertandingan tiga penjuru berlaku oleh dua parti pembangkang, kebanyakannya hanya akan menguntungkan UMNO-BN. Contohnya dalam kes kerusi DUN Derga 2008 dan DUN Kota Damansara 2013.

Mengambil contoh kerusi DUN Derga 2008 misalnya:

Dr. Cheah Soon Hai (BN) - 6516
Cheung Khai Yan (PKR) - 6353
Teoh Teik Guan (DAP) - 2095

Majoriti - BN 163 undi


Begitu juga dalam kes DUN Kota Damansara:

Halimaton Saadiah Bohan (BN) - 16 387
Mohd Nasir Hashim (PKR) - 14 860
Ridzuan Ismail (PAS) - 7312

Majoriti - BN 1527


Sekiranya PAN bertanding dalam PRU14 mewakili Pakatan Harapan di beberapa buah kerusi yang mereka rasakan berpotensi, saya melihat terdapat beberapa kerusi yang akan terlepas kepada UMNO. Antaranya termasuklah kerusi DUN Merbau Pulas yang sekarang ini disandang oleh PAS dengan majoriti 633. Kerusi ini mempunyai sekitar 62 % pengundi Melayu dan 38 % pengundi bukan Melayu.

Begitu juga dengan kerusi Bandar Baharu yang mempunyai lebih 23 % pengundi bukan Melayu, selain DUN Alor Mengkudu (25% bukan Melayu), Kubang Rotan (28% bukan Melayu), Pengkalan Kundor (23% bukan Melayu) dan Kuala Ketil (19% bukan Melayu).

Enam kerusi ini iaitu Merbau Pulas, Bandar Baharu, Kuala Ketil, Alor Mengkudu, Kubang Rotan dan Pengkalan Kundor adalah kerusi yang ditandingi oleh PAS dan sangat berpotensi dipertahankan oleh PAS kecuali Bandar Baharu yang terlepas dalam PRU yang lalu. Sekiranya PAN bertanding di kerusi-kerusi ini, mereka bukan mampu untuk menang, kecuali menyerahkan kerusi-kerusi yang terpecah ini kepada UMNO.


DAP Bakal Dihukum di DUN Derga?

Selain PAS yang akan mempunyai isu di kerusi campuran, DAP dan PKR juga harus memikirkan situasi yang sama.

Di DUN Derga misalnya, DAP bakal berhadapan undi-undi protes dari orang Melayu atas tindak-tanduk mereka dalam pelbagai isu terutamanya isu Hudud.

Bagi PKR pula, mutual coalition mereka bersama PAS harus dipertahankan bagi mempertahankan kerusi-kerusi mereka di kebanyakan kawasan campuran di sebelah Selatan Kedah. Malah, PKR harus memainkan lebih besar untuk menjadi jambatan dan pendamai kepada blok-blok pembangkang supaya usaha menjatuhkan UMNO dapat dilaksanakan.




Meneliti Pola Pengundian 1999 - 2013

Dalam pola pengundian tahun 1999, PAS berjaya mengumpulkan kekuatan yang besar dalam kalangan orang Melayu untuk menang di sebahagian DUN dan Parlimen di Kedah. Pada tahun 2008 pula, undi orang Melayu dan bukan Melayu secara seimbang telah memenangkan PAS di Kedah, manakala penolakan undi Melayu terhadap Pakatan Rakyat pada 2013 telah memberi signal bahawa mana-mana pakatan politik tidak mampu menang di Kedah tanpa undi Melayu.

Pusat kekuatan UMNO di Kedah terletak di bahagian Utara, manakala PAS di kawasan jelapang padi antara Pendang - Yan - Baling, manakala kawasan Selatan Kedah merupakan kerusi campuran yang dilihat mesra Pakatan Harapan. Di kawasan pedalaman Kedah iaitu Padang Terap - Sik - Baling pula, UMNO dan PAS saling kejar mengejar untuk menguasai kawasan ini.

Berdasarkan analisis dan pengamatan saya, PAS akan bangkit di Kedah dalam PRU 14 dan memenangi sekitar 17 hingga 20 buah kerusi DUN dengan menguasai kerusi-kerusi DUN di Parlimen Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Pendang, Sik, Padang Terap, Jerai dan Baling. Keadaan ini adalah disebabkan mood penolakan pengundi Melayu yang sedang berlaku terhadap pentadbiran Perdana Menteri.

Persoalannya, apakah PAN akan menjadi penyambung talian hayat UMNO di Kedah?



HAZMAN BA,
Jitra Kedah.




UPDATED (18 Mei 2016):

Saya menulis artikel ini beberapa bulan sebelum Ketua Bahagian UMNO Kedah membuat satu move menjatuhkan DS Mukhriz.

Dan sekarang.... selepas lebih 100 hari pentadbiran DS Ahmad Bashah, jangkaan saya tepat! UMNO semakin ditolak rakyat.

Cuma, saya masih ternanti-nanti hipotesis saya berkaitan PAN dan DAP.



Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP