This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

PROFIL DAN BIODATA CALON PAS TERENGGANU PRU13

Monday, April 29, 2013

Dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) kali ini, PAS Terengganu telah mengemukakan calon-calon terbaik untuk bertanding di 29 buah DUN di mana calon-calon PAS terdiri daripada gandingan pelbagai latar belakang calon muka lama dan baru, serta pelbagai latar belakang pekerjaan termasuk ulama dan profesional.

Berikut adalah calon-calon PAS bagi kerusi DUN di Terengganu:




KAWASAN PARLIMEN P0333 BESUT

Calon-calon PAS dalam Parlimen Besut ketika Hari Penamaan Calon:
Dari Kiri Puan Napisah (Kuala Besut), Ust. Ridhuan (Parlimen), Ustaz Wan Azhar (Jertih),
Cikgu Shalahuddin (Hulu Besut) dan Ustaz Adam (Kota Putera)



N01 Kuala Besut

Di DUN Kuala Besut, PAS bertindak meletakkan calon muka baru dalam kalangan muslimat dan merupakan percubaan PAS dalam meletakkan calon wanita di Terengganu. Untuk rekod, Barisan Nasional tidak menurunkan walau seorang pun calon wanita pada PRU kali ini setelah Senator Nordiana Shafie tewas dalam PRU12 di tangan Dr. Syed Azman di DUN Batu Burok.

Calon PAS bagi DUN Kuala Besut adalah Puan Napisah binti Ismail yang akan menentang calon BN iaitu A.Rahman Mokhtar, Exco Kesihatan Negeri Terengganu.

Berusia 53 tahun, beliau yang menetap di Kampung Denger Bukit Puteri, Jerteh merupakan seorang aktivis Muslimat parti yang aktif di kawasan Besut. Beliau adalah merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut, Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kuala Besut, serta AJK Lajnah Politik Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu.



N02 Kota Putera


DUN Kota Putera dalam Parlimen Besut hampir menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara PAS-BN-PKR sehinggalah calon PKR, Mohamed Abdul Ghani Ibrahim bersetuju untuk beralah dan memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di DUN berkenaan.

Oleh itu, pertembungan di DUN Kota Putera kali ini akan menyaksikan calon PAS, Al-Fadhil Ustaz Adam bin Mat Said akan mencabar calon muka baru BN iaitu Mohd Mahdi bin Musa.

Calon PAS, Ustaz Adam bin Mat Said bukanlah satu nama yang asing kepada penduduk di kawasan Besut. Mendapat pendidikan Islam sehingga ke Morocco, beliau merupakan pengasas kepada Pusat Tarbiah Nurul Iman, Besut dan menjadi Mudir kepada pusat tesebut.



N03 Jertih

DUN Jertih merupakan sebuah kubu kuat UMNO berdasarkan keputusan dua PRU yang lepas iaitu pada tahun 2004 dan 2008 disebabkan sentimen Menteri Besar Terengganu yang berasal daripada kawasan Jertih iaitu Datuk Seri Idris Jusoh. Walaubagaimanapun, krisis UMNO Terengganu menyaksikan Idris tidak lagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan dalam PRU kali ini akan tetapi sebaliknya bertindak bertanding di kawasan Parlimen Besut.

Kawasan DUN Jertih dan Parlimen Besut bukanlah terlalu solid kepada BN apabila Idris sendiri pernah ditewaskan di DUN Kampung Raja pada PRU 1999 walaupun ketika itu beliau merupakan seorang Timbalan Menteri. Kemenangan UMNO di kawasan Besut dalam PRU lalu banyak dibantu oleh sentimen bahawa Menteri Besar berasal dari kawasan tersebut.

Dalam PRU13, PAS menurunkan seorang calon yang agak heavyweight untuk merampas semula DUN Jertih daripada tangan BN, lebih-lebih lagi setelah ketiadaan Idris di kawasan tersebut. Calon PAS, Ustaz Wan Azhar bin Wan Ahmad akan mencabar calon BN, Muhammad Pehimi bin Jusoh, ADUN Kota Putera yang ditukarkan bertanding di DUN Jertih pada kali ini.

Berusia 53 tahun, Ustaz Wan Azhar sebelum ini merupakan seorang Guru Pendidikan Islam yang berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia sebelum mengambil keputusan untuk terlibat secara aktif bersama PAS. Sepanjang perkhidmatannya dalam kerajaan, beliau telah berkhidmat di Sabah selama hampir 15 tahun, Terengganu (3 tahun) dan di Negeri Sembilan selama 7 tahun sebelum mengambil keputusan meninggalkan profesion perguruan pada tahun 2012.

Dari segi pendidikan, beliau merupakan bekas pelajar SMKA Tok Jiring Kuala Terengganu sebelum melanjutkan pelajaran ke Pondok Pasir Tumboh, Kelantan dan Institut Berakan, Kuala Terengganu sebelum mendapat latihan pendidikan perguruan dalam bidang Diploma Pengajian Islam di Maktab Perguruan Islam Kuala Lumpur.

Sepanjang bertugas di Sabah selama hampir 15 tahun, beliau adalah merupakan individu penting yang menjadi pengasas kepada PAS Sabah termasuklah menjadi Ketua Pemuda PAS Sabah, Setiausaha Dewan Ulama PAS Sabah dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah. Pada masa ini, beliau merupakan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Besut dan AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.



N04 Hulu Besut


DUN Kuala Besut dalam Parlimen Besut akan menyaksikan calon muka baru PAS, Shalahuddin bin Jaafar menentang penyandang kerusi berkenaan selama dua penggal daripada BN iaitu Nawi Mohamad.

Berusia 50 tahun, Shalahuddin adalah merupakan seorang graduan dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau kemudiannya telah menceburi bidang pendidikan dan menjadi guru di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Antara pengalaman kerjaya beliau dalam bidang pendidikan termasuklah menjadi guru di Maahad Saniah, Pasir Puteh, Kelantan (1990-2005), sebelum menjadi pentadbir sekolah iaitu sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (2006) dan Penolong Kanan Pentadbiran (2010).




KAWASAN PARLIMEN P034 SETIU




N05 Jabi

Di DUN Jabi dalam Parlimen Setiu, PAS terus memberi kepercayaan kepada bekas calon PAS pada PRU12 iaitu Dr.Azman bin Ibrahim untuk menjadi calon PAS bagi DUN tersebut dalam PRU13.

Dalam PRU kali ini, beliau akan menentang calon muka baru BN iaitu Mohd Iskandar bin Jaafar, setelah penyandang kerusi berkenaan selama dua penggal iaitu Ramlan bin Ali diketepikan daripada menjadi calon pada kali ini.

Berusia 38 tahun, Dr.Azman mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Maarif, Besut, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, sebelum melanjutkan pengajian di Iraq dalam bidang pergigian. Beliau merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pergigian dari University of Baghdad, Iraq.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau berkhidmat sebagai pegawai pergigian di sekitar negeri Terengganu termasuklah Pegawai Pergigian di Klinik Pergigian Kuala Terengganu (Jalan Air Jerneh), Pegawai Pergigian di Hospital Kuala Terengganu dan Pegawai Pergigian di Hospital Daerah Besut.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Pensyarah Pergigian (Pelatih) di Universiti Sains Malaysia sebelum membuka klinik pergigian sendiri di Kubang Kerian, Kelantan.

Di peringkat parti, beliau merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Jabi, Pengarah MTD Jabi, AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu serta AJK Lujnah Alam Sekitar PAS Pusat. Beliau juga merupakan antara pemimpin penting dalam Badan Bertindak i-Bantah, sebuah NGO yang cuba menangani isu dalam projek ternakan udang i-SHARP di Kampung Nyatuh, Setiu.



N07 Langkap

Di DUN Langkap dalam Parlimen Setiu, PAS meletakkan calon muka baru iaitu Haji Hassan bin Karim yang akan ditentang oleh calon yang juga muka baru dari BN iaitu Sabri bin Mohd Noor. Penyandang DUN berkenaan iaitu Ashaari Idris (BN) telah diketepikan daripada menjadi calon pada PRU kali ini.

Berusia 61 tahun, beliau yang menetap di Kampung Sungai Pinang, Bandar Permaisuri, Setiu ini adalah merupakan seorang yang tidak asing lagi kepada penduduk di kawasan Setiu.

Setelah menamatkan pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM), beliau memulakan karier sebagai pegawai tadbir dalam perkhidmatan awam di sekitar negeri Terengganu termasuklah Pegawai Petempatan di Pejabat Tanah Daerah Hulu Terengganu dan Pejabat Tanah Daerah Besut. Beliau juga pernah dilantik menyandang jawatan Penghulu di beberapa buah mukim di Terengganu termasuklah Penghulu Mukim Hulu Nerus dalam Majlis Daerah Setiu dan jawatan terakhir sebagai Penghulu Mukim Pasir Raja dalam Daerah Dungun.

Di kawasan Setiu, beliau telah berkhidmat sebagai Imam di Masjid Kampung Sungai Bari selama hampir 24 tahun dan menjadi antara pengasas kepada Darussyifa di kawasan Setiu. Di peringkat parti, beliau merupakan AJK Urusan Dewan Ulama PAS Kawasan Setiu dan AJK Urusan Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu.



N08 Batu Rakit

Di DUN Batu Rakit dalam Parlimen Setiu, PAS meletakkan calonnya, Haji Che Ghani bin Che Ambak bagi menentang calon muka baru daripada BN, Bazlan bin Abdul Rahman. Dalam PRU kali ini, BN telah menggugurkan penyandang kerusi berkenaan iaitu Khazan bin Che Mat yang juga merupakan Exco Agama Islam Negeri Terengganu sebelum ini.

Calon PAS, Haji Che Ghani adalah merupakan Mantan Ahli Parlimen Setiu selama sepenggal pada tahun 1999-2004 ketika PAS menguasai negeri Terengganu dalam PRU10.

Calon PAS tersebut bukanlah calang-calang orang. Mendapat pendidikan di Sekolah Alam Shah (SAS) Kuala Lumpur, beliau kemudiannya mendapat Ijazah Geologist Petroleum dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1979. Selain itu, beliau turut mendapat Sijil Pengajian Islam dari KUSZA pada tahun 2001.

Di bidang pekerjaan, beliau pernah dilantik menjadi Pengarah Jabatan Geologi Negeri Terengganu (1982), Geologist Kanan Petroleum dan Perlombongan Negeri Terengganu (1985) dan menjadi Ahli Lembaga Pengarah Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM) di Bangi.

Ketika PAS menguasai pentadbiran negeri Terengganu, beliau pernah dilantik untuk mengetuai beberapa buah syarikat GLC negeri seperti Pengerusi GP Glass dan Pengerusi Permint Mineral Sdn Bhd.





KAWASAN PARLIMEN P35 KUALA NERUS

Calon-calon PAS Parlimen Kuala Nerus:
dari kiri Ust. Hishamuddin (Tepuh), Ust. Ridzuan (Teluk Pasu),
Ustaz Khairuddin at-Takiri (Parlimen), Dr. Alias (Bukit Tunggal) dan Ustaz Zakaria (Seberang Takir)



N09 Tepuh

Di DUN Tepuh dalam Parlimen Kuala Nerus, PAS meletakkan calon muka baru dan seorang anak muda iaitu Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim di DUN berkenaan. Beliau akan menentang penyandang kerusi berkenaan daripada BN iaitu Ustaz Muhammad Ramli Nuh.

Berusia 35 tahun, beliau merupakan seorang graduan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian).

Beliau merupakan seorang yang aktif sebagai penceramah agama di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Di peringkat parti, beliau merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Kemaman dan Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.



N10 Teluk Pasu

Di DUN Teluk Pasu, PAS meletakkan calonnya iaitu Ustaz Ridzuan bin Hashim bagi menentang penyandang kerusi berkenaan daripada BN iaitu Datuk Abdul Rahin bin Mohd Said.

Berusia 41 tahun, Ustaz Ridzuan merupakan seorang graduan Diploma Syariah daripada Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir serta mendapat kelulusan di peringkat Sarjana (masters) dalam bidang Syariah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Imam 1 di Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, Selangor. Di peringkat parti, beliau adalah merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus.



N11 Seberang Takir


Di DUN Seberang Takir dalam Parlimen Kuala Nerus, PAS meletakkan calonnya iaitu Ustaz Zakaria bin Dagang bagi menentang calon BN yang juga merupakan Exco Pendidikan Negeri Terengganu, Datuk Ahmad Razif bin Abdul Rahman. Pada mulanya juga, berlaku pertandingan tiga penjuru di antara PAS-PKR-BN sehinggalah calon PKR, Ahmad Nazri Mohd Yusof bersetuju memberikan laluan kepada calon PAS.

Dilahirkan pada tahun 1960 dan berusia 53 tahun, beliau merupakan anak jati Kampung Batin, Seberang Takir. Beliau merupakan seorang aktivis parti dan berkhidmat sebagai pegawai tadbir di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu. Ketika PAS menguasai pentadbiran Terengganu pada tahun 1999, beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu sehingga tahun 2004.

Di peringkat parti, beliau merupakan Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu serta Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Nerus.



N12 Bukit Tunggal

Di DUN Bukit Tunggal dalam Parlimen Kuala Nerus, ADUN PAS Bukit Tunggal iaitu Dr. Alias bin Razak akan mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU12 yang lalu. Beliau akan ditentang oleh calon muka baru daripada BN iaitu Ismail bin Nik.

Berusia 54 tahun, Dr. Alias yang mendapat pendidikan di Sekolah Alam Shah (SAS) Kuala Lumpur kemudiannya memperoleh kelayakan ikhtisas Doktor Perubatan (M.D) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam bidang kerjayanya sebagai seorang doktor, beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai kesihatan di beberapa buah hospital dalam negeri Terengganu termasuklah Hospital Kuala Terengganu, Hospital Daerah Jertih, Hospital Daerah Kemaman dan menjadi Pegawai Kesihatan Epidemiologgi Negeri Terengganu. Beliau kemudiannya meletakkan jawatan dalam bidang perkhidmatan awam dan membuka sebuah klinik persendirian di Pekan Batu Enam iaitu Klinik Haji Alias.

Dalam PRU 1999, beliau dicalonkan sebagai calon PAS di DUN Bukit Tunggal dan menang, walaupun kemudiannya tewas pada PRU 2004. Pada PRU 2008, beliau merampas kembali DUN berkenaan daripada BN.

Di peringkat parti, beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Terengganu, Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Nerus dan Pengarah MTD Bukit Tunggal.




KAWASAN PARLIMEN P036 KUALA TERENGGANU


Calon PAS dan PKR dalam Parlimen Kuala Terengganu:
dari kiri Dr.Syed Azman (Batu Buruk), YM Raja Bahrin (Parlimen),
Azan Ismail (PKR-Bandar), Hj.Wahid Endut (Wakaf Mempelam) & Dato' Tg.Hassan (Ladang)


N13 Wakaf Mempelam


Di DUN Wakaf Mempelam dalam Parlimen Kuala Terengganu, calon PAS iaitu Haji Mohd Abdul Wahid bin Endut akan mempertahankan kerusi DUN Wakaf Mempelam yang dimenangi sejak lima penggal yang lalu. Dalam PRU kali ini, beliau akan dicabar calon BN iaitu Wan Mahyudin bin Wan Ngah.

Berusia 56 tahun, Haji Abdul Wahid merupakan seorang graduan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dalam Diploma Perikanan dan Sains Samudera. Beliau memulakan kerjaya beliau sebagai Pegawai Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan di UPM sebelum bertindak menceburi politik sepenuh masa setelah menjadi calon PAS di DUN Bandar.

Dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada awal tahun 2009, beliau telah menjadi calon PAS dan berjaya merampas kerusi Parlimen berkenaan setelah menewaskan calon BN, Senator Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh. Walaubagaimanapun, beliau tidak mempertahankan kerusi tersebut pada PRU kali ini setelah memberi laluan kepada Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu sebagai calon PAS iaitu YM Raja Kamarul Bahrin Syah.

Ketika PAS menguasai pentadbiran Terengganu pada tahun 1999, beliau telah dilantik menjadi EXCO Kerajaan Negeri Terengganu dan menjawat portfolio Keusahawanan, Belia dan Sukan Negeri Terengganu.

Di peringkat parti, beliau merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu (2011/2013) dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu.



N15 Ladang

Di DUN Ladang dalam Parlimen Kuala Terengganu, calon PAS iaitu Dato' Tengku Hassan bin Tengku Omar akan mempertahankan kerusi yang telah dimenangi oleh beliau dalam PRU12 yang lalu. Pada kali ini, BN mengetepikan bekas Exco yang tewas di tangan Dato' Tengku Hassan dalam PRU 12 iaitu Dato' Wan Muhammad Hisham bin Wan Salleh dan digantikan oleh abangnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato' Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh.

PRU kali ini merupakan cubaan kedua Wan Ahmad Farid untuk menjadi wakil rakyat setelah ditewaskan dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu pada tahun 2009, walaupun desas-desus menyatakan kerusi DUN Ladang akan ditandingi oleh Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu iaitu Datuk Sabri Alwi.

Calon PAS bagi DUN Ladang, Dato' Tengku Hassan merupakan seorang calon yang berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran di negeri Terengganu. Berusia 62 tahun, beliau merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (Terengganu Civil Servants) termasuklah menjadi Pegawai Daerah Besut, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, sebelum menjadi Pegawai Kewangan Negeri Terengganu ketika era pemerintahan PAS.

Di peringkat parti, beliau merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan Pengarah MTD DUN Ladang.



N16 Batu Buruk

Di DUN Batu Buruk, PAS terus memberi kepercayaan kepada Dr. Syed Azman untuk mempertahankan kubu kuat PAS dalam Parlimen Kuala Terengganu itu. Dalam PRU kali ini, BN mempertaruhkan calon lama yang dipanggil semula untuk bertanding iaitu Datuk Che Mat Jusoh.

Dengan kehadiran Datuk Che Mat Jusoh, tugas PAS untuk mempertahankan DUN berkenaan nampak mudah setelah gelombang anak muda yang sememangnya menolak Datuk Che Mat Jusoh atas kemerosotan prestasi bola sepak Terengganu sehingga mewujudkan gelombang ABC - Asalkan Bukan CheMatJusoh.

Calon PAS, Dr.Syed Azman bin Syed Ahmad Nawawi adalah merupakan seorang calon yang berkaliber dan banyak membongkarkan isu salahlaku pemimpin BN di Terengganu. Berusia 52 tahun, Dr.Syed Azman mendapat Ijazah Sarjana (masters) dalam bidang Sains Politik dan Pentadbiran Awam dari Indiana State University, Amerika Syarikat sebelum mendapat Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam Politik Antarabangsa dari University of Birmingham, United Kingdom.

Sebelum menceburi bidang politik sepenuh masa, beliau merupakan Pensyarah di Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Dalam PRU10 pada tahun 1999, beliau bertanding di Parlimen Kuala Terengganu atas tiket PAS dan menang. Walaupun tewas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam PRU 11 pada tahun 2004, beliau kembali berkhidmat sebagai wakil rakyat setelah memenangi kerusi DUN Batu Buruk dalam PRU12 pada tahun 2008.

Di peringkat parti, beliau merupakan Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat serta Pengarah MTD DUN Baru Buruk. Beliau juga sering menjadi wakil PAS di peringkat antarabangsa berdasarkan kelayakan yang ada padanya.



KAWASAN PARLIMEN P037 MARANG


Perarakan penamaan calon PAS dalam Parlimen Marang:
Dari kiri Ustaz Sulaiman, berbaju melayu kuning (Peng.Berangan), Ust. Mohd Nor  (Bkt.Payong),
TG Presiden (Parlimen/Rhu Rendang) & Ust.Ariffin (Alor Limbat)




N17 Alor Limbat

Di DUN Alor Limbat dalam Parlimen Marang, PAS meletakkan calon muka baru di DUN berkenaan bagi menentang calon BN iaitu Alias Abdullah. Selain itu, DUN berkenaan akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila seorang ahli UMNO iaitu Ja'afar Jambol bertanding sebagai calon Bebas di DUN Alor Limbat.

Calon PAS, Ustaz Ariffin bin Deraman merupakan seorang tokoh agama yang banyak berjasa kepada penduduk di sekitar Daerah Marang dan Kuala Terengganu. Berusia 45 tahun, beliau mendapat dua Ijazah Sarjana Muda iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari USM dan Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Selain itu, beliau turut mendapat Diploma dari KUDQI dan sijil pengamal perubatan Islam dari Darussyifa.

Menjadi seorang ahli perniagaan, beliau ketika era pemerintahan PAS di Terengganu pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan di Pejabat Menteri Besar Terengganu. Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Al-Baghdadi Training Centre, dan turut merupakan seorang guru al-Quran, pendakwah bebas serta sering menjadi mutawwif haji dan umrah ke Makkah.

Beliau juga merupakan seorang yang aktif dalam khidmat kemanusiaan dengan menyertai pelbagai misi kemanusiaan termasuklah ke Kemboja dan Padang, Indonesia.

Di peringkat parti, beliau merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu dan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Terengganu.



N18 Bukit Payong


DUN Bukit Payong dalam Parlimen Marang menyaksikan penyandang kerusi DUN berkenaan iaitu Ustaz Mohd Nor bin Hamzah dikekalkan sebagai calon di kerusi berkenan. Beliau akan ditentang oleh calon BN, Zaidi bin Muda.

Berusia 36 tahun, beliau merupakan seorang graduan Diploma Lanjutan dari Pusat Pengajian Islam, Zamalek, Mesir sebelum mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Di bidang kerjaya, beliau pernah menjawat jawatan Penyelia Unit Pembangunan Insan (UPI) di bawah pemerintahan PAS Terengganu (1999), mubaligh MAIDAM, Mudir Marpanita Kuala Berang (Yayasan Islam Terengganu) dan Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar) KUDQI.

Di peringkat parti, beliau merupakan Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ketua Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu dan mantan Ketua Urusan Ulama PAS Hulu Terengganu (2004-2007).




N19 Rhu Rendang

Di DUN Rhu Rendang, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang akan mempertahankan kerusi DUN yang telah diwakilinya selama tujuh penggal sejak PRU 1982. Dalam PRU kali ini, beliau akan ditentang oleh Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang yang mewakili BN iaitu Nik Dir bin Nik Wan Ku.

Berusia 66 tahun, beliau merupakan seorang tokoh ulama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau bukan sahaja seorang tokoh ulama di peringkat negeri dan nasional, tetapi turut dikenali ramai di peringkat antarabangsa.

Mendapat biasiswa tajaan kerajaan Arab Saudi, beliau menuntut dalam bidang Syariah di Universiti Madinah pada tahun 1969 hingga 1973. Kemudiannya, beliau berjaya menamatkan Ijazah Sarjana (masters) dalam Bidang Siasah Syariyyah selama dua tahun sahaja di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Ketika di Mesir, beliau merupakan seorang pengagum gerakan Ikhwanul Muslimin dan terlibat dengan gerakan tersebut ketika dipimpin Dr.Said Hawwa, Profesor Muhammad Al Wakeel dan Dr.Abdul Satar al-Qudsi. Beliau pernah dilantik menjadi Ahli Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang berpusat di Istanbul serta menyertai Sekretariat Perjuangan Rakyat Mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan. Beliau pernah dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Terengganu selama sepenggal pada tahun 1999 hingga tahun 2004 dan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen bermula tahun 2002 hingga tahun 2004.

Di peringkat parti, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Timbalan Presiden PAS dan Presiden PAS (2001-kini).



N20 Pengkalan Berangan

Di DUN Pengkalan Berangan, kedua-dua parti iaitu PAS dan UMNO meletakkan calon muka baru di DUN berkenaan. PAS meletakkan seorang calon anak muda, Ustaz Sulaiman bin Sulong manakala BN meletakkan calonnya iaitu Abd. Latiff bin Awang. Penyandang kerusi berkenaan, Datuk Yahya Khatib yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Marang telah dibawa bertanding ke Parlimen Marang bagi memberi saingan kepada calon PAS iaitu Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang.

Calon PAS, Ustaz Sulaiman bin Sulong yang berusia 37 tahun merupakan anak jati Kampung Tuman. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Bukit Jejulong dan SMK Pengkalan Berangan sebelum melanjutkan pengjian dalam bidang agama di Maahad Darul Quran, Rhusila. Kemudiannya, beliau menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Cawangan Damanhur, Mesir dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah.

Beliau merupakan seorang pentadbir bagi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan dilantik menjadi Pengarah Jabatan PASTI Terengganu serta Pengarah Ko-kurikulum PASTI Malaysia.

Di peringkat parti, beliau merupakan Ketua Pemuda DUN Pengkalan Berangan dan Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang.



KAWASAN PARLIMEN P038 HULU TERENGGANU


Calon-calon PAS dalam Parlimen Hulu Terengganu:
dari kiri Ustaz Kamaruzzaman (Parlimen), Ustaz Hilmi (Manir), Hj.Muhyidin (K.Berang)
dan Ustaz Razki (Ajil) bersama-sama Ust.Harun Taib, Ketua DUPP




N22 Manir

Di DUN Manir dalam Parlimen Hulu Terengganu, PAS meletakkan seorang calon muka baru iaitu Ustaz Hilmi bin Harun bagi mempertahankan kerusi yang menjadi kubu kuat PAS tersebut. Beliau akan ditentang oleh calon muka baru BN, Yusoff Awang Hitam yang merupakan Pegawai Penyelaras DUN Manir. Ustaz Hilmi bukanlah asing kepada penduduk di DUN Manir kerana beliau merupakan anak kepada Ketua Dewan Ulama PAS iaitu Ustaz Harun bin Taib.

Pengaruh Ustaz Harun Taib di DUN Manir dijangka memberi kelebihan kepada calon PAS kali ini iaitu anaknya sendiri. Berusia 36 tahun, beliau yang berasal dari Kampung Kubang Lembik, Manir mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Bahasa Arab dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Ijazah Sarjana  (masters) dalam bidang Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada waktu ini, beliau sedang menyiapkan tesis beliau bagi mendapatkan PhD di University of Western Australia dalam bidang Sains Politik. Antara kelebihan yang ada pada beliau termasuklah fasih bertutur dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

Di peringkat parti, beliau dilantik sebagai Penasihat Majlis Tindakan DUN Manir serta PSU Kawasan Hulu Terengganu.




N23 Kuala Berang

Di DUN Kuala Berang, PAS meletakkan calonnya iaitu Haji Muyidin bin Abdul Rashid sebagai calon. Beliau akan menentang calon BN iaitu Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu. Setelah disingkirkan daripada bertanding dalam PRU 2008 oleh kem Idris, Tengku Putera membuat penampilan semula, kali ini di DUN Kuala Berang.

Calon PAS, Haji Muhyidin yang berusia 52 tahun merupakan seorang graduan Diploma Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Insurans) dari universiti yang sama.

Di bidang kerjaya, beliau memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Kerani Kewangan di Lembaga Urusan Tabung Haji, sebelum dilantik menjadi Setiausaha Eksekutif Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia pada tahun 1992. Kemudiannya, beliau menceburi bidang pertanian sebagai seorang usahawan tani pada tahun 1995 sebelum diberi amanah untuk menjadi calon PAS bagi kerusi Hulu Terengganu dalam PRU 1999 dan menang.

Di peringkat parti, beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Terengganu dan Pengarah MTD Kuala Berang.




N24 Ajil

Di DUN Ajil dalam Parlimen Hulu Terengganu, PAS meletakkan seorang calon anak muda iaitu Ustaz Mohd Razki bin Yah @ Alias. Beliau akan menentang calon muka baru daripada BN iaitu Ghazali bin Taib dan seorang lagi calon iaitu Mohd Nuhairi Muhammad yang bertanding atas tiket Bebas. Penyandang kerusi berkenaan, Dato' Rosol Wahid telah diketepikan daripada bertanding dalam PRU kali ini.

Berusia 41 tahun, Ustaz Razki mendapat pendidikan awal di SK Bukit Perah dan SMK Agama Mahmudiah, Kuala Berang sebelum melanjutkan pengajian ke sebuah pondok moden iaitu Markaz Pengajian Islam (MARPA) di Binjai, Kemaman. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Ummu Alqura, Makkah dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan & Pengajian Bahasa Arab.

Di bidang pekerjaan, beliau merupakan Imam Masjid Kampung Bukit Perah, petugas haji dan umrah serta menjadi Penceramah Haji di Lembaga Tabung Haji (2000-2010).

Di peringkat parti, beliau merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, AJK Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu dan Pengarah MTD Ajil.



KAWASAN PARLIMEN P039 DUNGUN


Calon-calon PAS dalam Parlimen Dungun:
dari kiri  Cg.Wan Hapandi (Sura), Ust.Roslan (Bkt Besi),
Ust.Wan Hassan (Parlimen), Ust.Saiful (Paka) & Cg.Alias (Rantau Abang)




N25 Bukit Besi

Di DUN Bukit Besi dalam Parlimen Dungun, PAS meletakkan calonnya iaitu Ustaz Roslan bin Ismail. Beliau akan ditentang oleh calon muka baru daripada BN, Roslee bin Daud setelah penyandang kerusi berkenaan yang pro-Idris, Datuk Din Adam diketepikan dalam PRU kali ini. Selain itu, kerusi ini hampir menyaksikan pertandingan sesama sendiri PAS dan PKR sehinggalah calon PKR, Shamsul Mat Amin memberi laluan kepada calon PAS.

Dilahirkan pada 2 Julai 1965 dan berusia 47 tahun, beliau merupakan seorang graduan lulusan Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dalam bidang Syariah sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar, Mesir dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam. Beliau kemudiannya memperoleh Diploma Lanjutan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang Pendidikan Islam. Seterusnya, beliau memperoleh Ijazah Sarjana (masters) di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Sains, Sumber Manusia dan Pembangunan.

Dalam PRU 1999, beliau telah diamanahkan oleh PAS untuk bertanding di DUN Bukit Besi dan menang.

Pada masa ini, beliau bergiat aktif dan menjadi penyelaras kepada NGO Badan Bertindak Pewaris Bumi Malaysia (WARIS) yang berjuang menuntut hak peneroka kepada KETENGAH.




N26 Rantau Abang

Di DUN Rantau Abang, PAS meletakkan calon muka baru, seorang bekas guru iaitu Cikgu Alias bin Harun bagi menentang Exco Pembangunan Infrastruktur Negeri daripada BN, Dato' Zaabar Mohd Adib dan calon Bebas, Mazlan bin Harun.

Berusia 62 tahun, Cikgu Alias mendapat Sijil Perguruan dari Maktab Perguruan Gaya di Sabah, sebelum mendapat Diploma Pengurusan Perniagaan dari ITM Dungun dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1989.

Pengalaman beliau sebagai seorang guru termasuklah menjadi Guru di SMK Arshad, Kota Belud, Sabah, guru disiplin di SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun, guru Penolong Kanan HEM di SMK Seri Dungun, Ketua Bidang Teknik & Vokasional di SMK Sultan Omar, Dungun dan jawatan terakhir sebagai Pemangku Pengetua di SMK Agama Kuala Abang (2007).

Di peringkat parti, beliau merupakan AJK PAS Kawasan Dungun, Pengarah MTD Rantau Abang dan Ketua PAS Cawangan Gong Pasir.





N27 Sura

DUN Sura yang merupakan satu-satunya DUN yang dikuasai oleh PAS di luar Daerah Kuala Terengganu dan Marang menyaksikan PAS meletakkan calon muka baru iaitu Wan Hapandi bin Wan Nik, setelah penyandang kerusi DUN berkenaan, Ustaz Wan Hassan dibawa bertanding ke Parlimen Dungun. Calon PAS ini akan ditentang oleh calon  BN, Zakariah bin Ali.

Calon PAS, Cikgu Wan Hapandi yang berusia 57 tahun mendapat latihan perguruan di Maktab Temenggung Ibrahim, Johor sebelum melanjutkan pengajian dalam Diploma Sains Pertanian di Universiti Pertanian Malaysia.

Sepanjang karier perguruannya, beliau pernah menjadi Guru Sains Pertanian di beberapa buah sekolah di sekitar daerah Dungun termasuklah SMK Paka dan SMK Sultan Omar. Kemudiannya, beliau dilantik menjadi guru Penolong Kanan di beberapa buah sekolah termasuklah di SK Kuala Dungun, SK Kuala Jengal dan SK Rasau, Kerteh. Jawatan terakhir yang disandang sebelum bersara ialah Guru Besar di SK Shukor, Dungun.



N28 Paka

Di DUN Paka dalam Parlimen Dungun, PAS terus memberi kepercayaan kepada Ustaz Satiful Bahri Mamat sebagai calon. Dalam PRU kali ini, beliau akan ditentang oleh Ahli Parlimen Dungun daripada BN, Matulidi Jusoh.

Calon PAS iaitu Ustaz Saiful, berusia 45 tahun merupakan anak jati Kampung Pinang Merah, Paka. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Kampung Nyior, Paka sebelum mendapat pendidikan agama di Sekolah Menengah Ugama Sultan Ismail (SMASID) di Dungun. Beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang Diploma Pengajian Islam (Usuluddin) di KUSZA, sebelum mendapat Ijazah Sarjana Muda Dirasat Islamiyyah wal Arabiyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau kemudiannya menyambung pendidikan di University of Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 2004, sebelum menamatkan pengajian di peringkat Sarjana (masters) dalam Psiko Spiritual Islam dari Universiti Malaya.

Di antara pengalaman kerjaya beliau termasuklah menjadi Pensyarah INSTEP, Batu Rakit sebelum mengasaskan Maahad Tahfiz Darul Bayan di kampung kelahirannya pada tahun 1994. Pada tahun 1999, beliau memenangi kerusi DUN Paka di bawah tiket PAS dan dilantik menjadi Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dalam DUN Terengganu serta Timbalan Exco Belia,Sukan,Kebudayaan dan Pelancongan.

Di peringkat parti, beliau merupakan mantan Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu (2004-2007), Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu (kini) dan Timbalan YDP PAS Dungun.




KAWASAN PARLIMEN P040 KEMAMAN






N29 Kemasik

Di DUN Kemasik, PAS meletakkan Utaz Che Alias bin Hamid sebagai calon di DUN berkenaan. Beliau akan menghadapi pertentangan tiga penjuru dengan dua orang lagi calon iaitu Rosli bin Othman (BN) dan Zulkiflee bin Salleh (Bebas).

Berusia 47 tahun, beliau yang menetap di Kampung Semayor mendapat pendidikan awal di SK Air Jernih, SM Agama Al-Falah dan SM Agama Sultan Zainal Abidin sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya dalam bidang Diploma Eksekutif Kewangan Islam dan Pengurusan Perniagaan.

Pada masa ini, beliau merupakan Mudir Sekolah Rendah Islam Darul Taqwa, Kemaman. Di peringkat parti, beliau memegang jawatan seperti AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Setiausaha PAS Kawasan Kemaman dan Pengarah MTD Kemasik.




N30 Kijal

Di DUN Kijal, PAS meletakkan calonnya iaitu Ustaz Hazri bin Jusoh bagi menentang Menteri Besar kerajaan sementara daripada BN iaitu Dato' Seri Ahmad bin Said.

Berusia 43 tahun, beliau mendapat pendidikan awal di SK Sultan Ismail, Kemaman, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar dalam bidang Aqidah dan Falsafah Islam.

Kemudiannya, beliau mendapat latihan perguruan melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Batu Rakit (MPKTBR). Setelah berkhidmat sebagai guru selama beberapa tahun, beliau dilantik sebagai Pegawai Eksekutif Agama dalam anak syarikat kerajaan negeri iaitu TDM Bhd pada tahun 2002 iaitu ketika PAS menguasai Terengganu. Beliau kemudiannya menjadi Pegawai Agama di Petronas Carigali Sdn Bhd sebelum bergiat sebagai pengurus haji dan umrah.

Di peringkat parti, beliau merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman dan AJK Lujnah Tarbiah & Kepimpinan PAS Negeri Terengganu.





N31 Chukai

Di DUN Chukai, PAS terus meletakkan kepercayaan kepada Haji Hanafiah Mat untuk bertanding di DUN berkenaan buat kali kedua. Pada kali ini, beliau akan dicabar oleh calon BN, Wan Ahmad Nizam, iaitu bekas ADUN Air Putih yang tidak dicalonkan dalam PRU 2008. Pada kali ini, BN telah mengetepikan Exco Keusahawanan Negeri, Dato' Seri Muhammad Awang Tera.

Berusia 48 tahun, Haji Hanafiah merupakan pemegang sijil kemahiran dalam bidang Sijil Kejuruteraan Elektrikal dari Institut Latihan Perindustrian (ILP), sebelum memperoleh Diploma Pengurusan daripada UITM Cawangan Dungun.

Beliau mempunyai pengalaman pekerjaan sebagai chargeman di Perwaja Steel Sdn Bhd selama 24 tahun sebelum menjadi Ahli Lembaga Pengarah Ketua Operasi Perwaja pada tahun 2000-2004. Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan Ahli Lembaga Pengarah kepada Jasa Merin Sdn Bhd dan Syarikat Pesama Timber Sdn Bhd. Pada tahun 2008, beliau telah diamanahkan untuk bertanding di DUN Chukai atas tiket PAS, namun tewas sekitar 700 undi kepada calon BN.

Beliau kemudiannya menjadi Pengurus Besar kepada Gamin Engineering Sdn Bhd. Kepakaran beliau yang memiliki Sijil Kompetensi Elektrik B4 menyebabkan beliau merupakan seorang pekerja yang mahir dan berpengalaman dalam bidang industri sehingga mampu membuka syarikat kejuruteraan sendiri.

Di peringkat parti, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Pengarah MTD Chukai dan AJK Badan Perhubungan PAS Terengganu.




N32 Air Putih

Di DUN Air Putih, PAS meletakkan calon muka baru iaitu seorang bekas guru, Haji Abdul Razak Ibrahim bagi menentang calon BN, Wan Abdul Hakim, anak kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Wan Mokhtar.

Berusia 59 tahun, Haji Abdul Razak mendapat latihan pendidikan perguruan di Maktab Perguruan Kota Bharu dan kemudiannya mendapat sijil Perguruan Khas Satu Tahun dalam bidang Pemulihan Pendidikan Khas.

Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang perguruan, beliau banyak menyumbang kepada bidang pemulihan terhadap pelajar bermasalah dalam pembelajaran termasuklah menjadi Guru Pakar (Guru Cemerlang) Pendidikan Khas, dan Ketua Jurulatih Utama Peringkat Negeri Terengganu dan Kebangsaaan dalam bidang Pendidikan Pemulihan Khas di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Read more...

PETUGAS PAS UPU TITIAN BARU MENGAMUK DI DUN BUKIT PAYONG, MARANG

Saturday, April 27, 2013

Nampaknya fenomena kereta kebal, jet dan helikopter sudah semakin biasa dan menjadi pertembungan pula dalam PRU kali ini. Di UPU Titian Baru dalam DUN Bukit Payong, Parlimen Marang, kreativiti para petugas  wajar dipuji. Kereta kebal yang dibina mereka dianggap antara yang terbaik dalam PRU kali ini.




* Gambar dari Facebook Ustaz Mohd Noor bin Hamzah, calon PAS DUN N18 Bukit Payong








Nampak gayanya, memang petugas PAS di UPU Titian Baru dah mula "naik angin" untuk mengasak UMNO dalam usaha mempertahankan DUN Bukit Payong - sebuah DUN yang sangat panas disebabkan pengaruh seimbang kedua-dua parti di kawasan tersebut.


Semua kelengkapan perang PAS UPU Titian Baru termasuk
kereta kebal, Stealth Jet dan lori bertentera mortar sudah bersiap siaga
(gambar: Facebook)

Read more...

DUN PAKA BERTUKAR MENJADI MEDAN TEMPUR DENGAN JET, KAPAL, PENJARA DAN TENTERA

Thursday, April 25, 2013

Dalam PRU ke-12 pada tahun 2008, DUN Paka dalam Parlimen Dungun menyaksikan calon PAS, Ustaz Satiful Bahri Mamat tewas tipis dengan majoriti 344 undi di tangan calon Barisan Nasional, Zakaria @ Ariffin bin Abdullah (Pok Ya). Walaupun memenangi kebanyakan Daerah Mengundi di kawasan perindustrian petroleum tersebut, PAS terpaksa akur apabila keputusan di Daerah Mengundi di kawasan-kawasan FELDA Kerteh menyaksikan PAS gagal memenangi DUN tersebut.

Walaubagaimanapun, mood pengundi di DUN Paka nyata banyak berubah dalam PRU kali ini. DUN Paka dianggap sebagai sebuah kerusi wajib menang sekiranya PAS bercita-cita kembali berkuasa di Wisma Darul Iman. Ternyata gerak kerja PAS di DUN Paka dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini nampak lebih tersusun dan bersemangat. Ditambah dengan perlantikan calon PAS DUN Paka, Ustaz Saiful sebagai Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, jentera parti dilihat optimis untuk menumbangkan calon BN di DUN Paka iaitu Datuk Matulidi Jusoh (bekas Ahli Parlimen Dungun).



Sebagai anak jati Dungun dan sebahagian daripada masyarakat di Paka, penulis yakin dan optimis dengan kemampuan PAS menguasai DUN Paka dalam PRU kali ini. Antara faktor yang meyakinkan penulis termasuklah persiapan jentera parti sejak daripada Program PAS Ganti UMNO di Dataran PGU Paka akhir tahun 2012, krisis penyandang DUN Paka yang dilihat gagal sebagai seorang ADUN serta kes rampasan tanah Sekolah Rendah Islam (SRI) Darul Bayan sebelum ini.

Berbalik kepada kesungguhan jentera PAS di Terengganu, pelbagai kreativiti telah ditunjukkan oleh para petugas di sepanjang jalan utama di antara Kemaman-Dungun. Antaranya termasuklah:


Replika Penjara Buat UMNO dengan patung
banduan dan warden penjara di Paya Berenjut, Kemaman
 

Tanglung bendera-bendera Pakatan Rakyat



Replika kapal tentera laut


 
Tentera Darat PAS Bermortar 

 
Anyaman Tikar Bendera PAS


Motor Jeneral PAS bersama meriam

 
Jet fighter PAS di DUN Paka


Siap siaga. Kereta kebal PAS di UPU Cacar Baru

Nampaknya, PAS di kawasan Dungun dan Kemaman sudah bersiap sedia at all cost bagi menentang UMNO. Siap dengan armada tentera darat, laut dan udara, termasuklah bahagian penjara di Paya Berenjut, Kemaman.

Akan tetapi, UMNO juga nampaknya tidak mahu mengalah bersama-sama replika mereka:


Sesuaikan kapal layar Perikatan dalam konteks
perang moden?

Ancaman besar.... Kereta kebal BN di Kg.Nyior Paka


Tentera darat BN yang keletihan



Kesimpulannya, perang PRU di Terengganu tidak pernah mengecewakan! Kadangkala, anak-anak perantauan ini merindui suasana perang di Terengganu. Satu medan pertempuran kreativiti yang seimbang!




Read more...

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP