This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

PAS MENANG BERGAYA DI TERENGGANU, LEBIH 10 RIBU MAJORITI DI KUALA TERENGGANU

Monday, May 6, 2013

Ramai yang tidak memberi harapan kepada PAS di Terengganu. Politik Terengganu dianggap sebagai terkeluar daripada tsunami politik yang melanda Malaysia. Malah, dalam PRU kali ini, jentera PAS Terengganu lebih bergerak di peringkat tempatan, tanpa ada usaha untuk ditembusi secara berskala besar seperti di Johor mahupun Negeri Sembilan. Atas sentimen bahawa pengundi Terengganu yang bermajoriti Melayu, maka peluang untuk Terengganu menyumbang sesuatu kepada Pakatan Rakyat dilihat agak samar.

Perkara tersebut memang ada asasnya. Namun, pengundi Terengganu telah membuktikan bahawa pengundi Melayu masih bersama Pakatan Rakyat. Dalam PRU kali ini, PAS telah berjaya menyumbang empat kerusi Parlimen kepada Pakatan Rakyat iaitu di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. Manakala PAS berjaya menafikan kerusi dua pertiga Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri (DUN), malah kedudukan BN sangat tipis di mana mereka hanya mempunyai kelebihan dua kerusi apabila BN menguasai 17 kerusi DUN manakala PAS menguasai 15 kerusi.

Berikut diperturunkan kembali keputusan PRU di kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PAS di Terengganu:


Di Parlimen Kuala Nerus, PAS yang menurunkan seorang tokoh agama yang merupakan seorang ustaz selebriti di TV sebelumnya berjaya membenam Ketua Bahagian UMNO Kuala Nerus:


PARLIMEN P035 KUALA NERUS

Ustaz Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri (PAS): 33 861 undi

Datuk Mohd Nasir bin Ibrahim Fikri (BN): 33 251 undi

MAJORITI: 610 undi (PAS)



Di Parlimen Kuala Terengganu pula, PAS melakukan kejutan dengan memperoleh kemenangan besar melalui calon dari golongan istana iaitu YM Raja Kamarul Baharin yang menjadi antara calon PAS yang memperoleh kemenangan besar dalam PRU 13:





PARLIMEN P036 KUALA TERENGGANU

Raja Kamarul Bahrin Syah (PAS): 45 828 undi

Mohd Zubir bin Embong (BN): 35 043 undi

Maimun binti Yusof (Bebas): 182 undi

MAJORITI: 10 785 undi (PAS)



Di Marang, Berita Harian bertindak jahat melaporkan kekalahan Tuan Guru Haji Abdul Hadi seawal jam 8.00 malam. Walaubagaimanapun, keputusan yang dikeluarkan nyata memihak kepada PAS:


Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang (PAS): 42 984 undi

Datuk Yahya bin Khatib Mohamad (BN): 37 860 undi

MAJORITI: 5124 undi (PAS)


Selain itu, PAS turut membuat kemunculan semula di Parlimen Dungun setelah kali terakhir memenanginya pada tahun 1999.  Kemenangan itu lebih manis apabila PAS menang 4-1 ke atas BN di Parlimen yang terletak di kawasan Selatan Terengganu itu. Berikut adalah keputusannya:


Ustaz Wan Hassan bin Mohd Ramli  (PAS): 35 348 undi

Datuk Rosli bin Mat Hassan (BN): 31 406 undi

MAJORITI : 3942 undi (PAS)


Untuk rekod, negeri Terengganu mempunyai lapan Parlimen di mana PAS dan BN masing-masing menguasai empat Parlimen. Hal ini juga bermakna, penguasaan seimbang berlaku dalam kawasan Parlimen di Terengganu. Di pihak BN pula, mereka memenangi kerusi Parlimen Besut (8342 majoriti undi ), Setiu (7943  majoriti undi ), Hulu Terengganu (8213 majoriti undi) dan Kemaman (12 306 majoriti undi).

Beberapa hari sebelum pengundian juga, blog ini telah mengeluarkan analisis di mana PAS dijangka menang di empat Parlimen iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun dan ternyata ramalan tersebut adalah tepat! Bagi kerusi DUN pula, penulis telahpun meramalkan bahawa PAS mendahului di 15 buah kerusi DUN dan ramalan tersebut juga adalah tepat, cuma terdapat sedikit kesilapan dalam dua analisis di mana penulis menjangkakan DUN Jabi dan Batu Rakit dalam Parlimen Setiu mampu dimenangi PAS, namun gagal. Akan tetapi, mujurlah PAS dan PKR masing-masing berjaya memenangi kerusi DUN Rantau Abang dan Bandar yang penulis klasifikasikan sebagai DUN 50-50 di mana terdapat sebanyak tujuh DUN di Terengganu yang agak seimbang dari segi persaingannya semasa kempen.


Daripada keputusan yang telah dikeluarkan, berikut keputusan 15 kerusi yang dimenangi oleh PAS di Terengganu iaitu:


1. N09 Tepuh

Seperti dijangka, calon muda PAS, Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim berjaya merampas kerusi DUN Tepuh daripada tangan Bekas Exco Agama Terengganu, Datuk Haji Ramli bin Nuh. Ustaz Hishamuddin memperoleh 11 128 undi, menewaskan Ustaz Ramli (BN) yang memperoleh 10 899 undi dengan majoriti 229 undi.



2. N10 Teluk Pasu

Di DUN Teluk Pasu dalam Parlimen Kuala Nerus, calon PAS iaitu Ustaz Ridzuan bin Hashim menang dengan majoriti 109 undi kepada Exco Pelancongan Negeri Terengganu yang juga penyandang DUN Teluk Pasu selama dua penggal, Datuk Rahin Mohd Said. Ustaz Ridzuan memperoleh 9098 undi manakala Rahin memperoleh 8989 undi. Untuk rekod, DUN Teluk Pasu pernah mencatatkan kontroversi Amanat Hadi di Banggol Peradong serta isu tanah penduduk yang diambil untuk pembinaan lebuhraya di Banggol Donas.


3. N12 Bukit Tunggal

Di DUN Bukit Tunggal, penyandangnya iaitu Dr.Alias Abdul Razak (PAS) berjaya mempertahankan kerusi ini untuk penggal kedua. Hal ini juga bermakna, PAS menang 4-1 di Parlimen Kuala Nerus dengan hanya tewas di DUN Seberang Takir. Di DUN Bukit Tunggal, Dr.Alias menang dengan majoriti 652 undi setelah memperoleh 6801 undi manakala calon BN, Ismail Nik memperoleh 6149 undi.



4. N13 Wakaf Mempelam

Dalam Parlimen Kuala Terengganu, PAS dan PKR memberi pukulan maut kepada BN apabila menang 5-0 di Parlimen dan empat kerusi DUN. Di DUN Wakaf Mempelam, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut berjaya memenangi DUN tersebut dengan majoriti 2810 undi setelah memperoleh 12 427 undi manakala calon BN, Wan Mahyudin Wan Ngah hanya mendapat 9617 undi.

Untuk rekod, ini adalah penggal keenam Haji Abdul Wahid berada dalam DUN Terengganu.



5. N14 Bandar

Pengerusi PKR Terengganu, YB Azan Ismail melakukan satu tindakan berani apabila beralih dari kerusi Parlimen Indera Mahkota di Pahang dan bertanding di kerusi DUN Bandar dalam Parlimen Kuala Terengganu, sebuah kerusi yang memiliki pengundi Cina yang ramai.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Bukit Besar, Kuala Terengganu itu berjaya menewaskan wakil MCA yang juga merupakan Exco Kerajaan Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw. Hal ini menunjukkan bagaimana gelombang penolakan masyarakat Cina ke atas BN turut berlaku di Terengganu.

Di DUN Bandar, Azan menang dengan majoriti selesa 2159 undi setelah memperoleh 9413 undi berbanding Toh Chin Yaw (BN) yang mendapat undi sebanyak 7254 undi.

Kehadiran Azan dalam DUN Terengganu pasti akan memberikan satu mimpi ngeri kepada kepimpinan BN kerana kelantangan beliau yang kritis dan vokal dalam pelbagai isu.



6. N15 Ladang

Di DUN Ladang, Bekas Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu yang juga penyandang kerusi DUN Ladang, YM Datuk Tengku Hassan bin Tengku Omar berjaya membenam Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Tengku Hassan yang memperoleh 9066 undi menewaskan Wan Ahmad Farid yang memperoleh 8142 undi dengan majoriti 924 undi. Antara isu besar dalam DUN Ladang sebelum ini termasuklah isu pengambilan tanah di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu yang dibuat atas nama pembangunan oleh kerajaan negeri.



7. N16 Batu Buruk

Kerusi DUN Batu Buruk yang merupakan antara kubu kuat PAS Terengganu sejak zaman Datuk Wan Abdul Mutallib Embong terus dipertahankan oleh penyandangnya, Dr.Syed Azman untuk penggal kedua. Memperoleh 13 679 undi, Dr.Syed Azman menewaskan calon BN, Datuk Che Mat Jusoh yang memperoleh 11 406 undi dengan majoriti 2273 undi.

Nampaknya, pemilihan Che Mat Jusoh sebagai calon oleh UMNO Terengganu adalah tindakan yang silap setelah gelombang anak muda menolak kepimpinannya dalam bola sepak Terengganu di bawah gelombang Asal Bukan CheMat (ABC).




8. N17 Alur Limbat

Di Parlimen Marang, PAS menang 4-1 ke atas BN apabila menang Parlimen Marang dan tiga daripada empat DUN kecuali DUN Pengkalan Berangan.

Di DUN Alur Limbat, masalah dalaman UMNO di Alur Limbat setelah nama Ketua Pemuda UMNO Terengganu diketepikan daripada menjadi calon di DUN berkenaan memudahkan lagi usaha PAS merampas semula DUN berkenaan.

Calon PAS, Ustaz Ariffin bin Deraman berjaya memenangi kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 645 undi setelah memperoleh 10 844 undi berbanding pencabarnya dari BN, Alias Abdullah yang hanya memperoleh 10 199 dan calon Bebas, Jaafar Jambol yang hanya memperoleh 74 undi.




9. N18 Bukit Payung

Di DUN Bukit Payung, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor bin Hamzah yang juga merupakan penyandang kerusi DUN berkenaan berjaya mengekang calon BN, Zaidi Muda di kerusi berkenaan.

Beliau yang memperoleh 9342 undi berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 613 undi setelah calon BN hanya mendapat 8729 undi.

Untuk rekod, DUN Bukit Payong memang dikenali sebagai sebuah kerusi yang sengit dan panas kerana kekuatan kedua-dua parti agak seimbang.




10. N19 Rhu Rendang

Seperti yang telah dijangka, kerusi DUN Rhu Rendang yang menjadi kubu kuat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang berjaya dipertahankan dalam PRU kali ini.

Beliau yang memperoleh 11 468 undi menewaskan calon BN, Nik Dir Nik Wan Ku dengan majoriti selesa 2819 undi setelah lawannya itu hanya memperoleh 8649 undi.

Untuk rekod, penggal ini merupakan penggal kelapan bagi Tuan Guru Haji Abdul Hadi dalam DUN Terengganu setelah menyandang kerusi DUN Rhu Rendang sejak tahun 1982.




11. N22 Manir

DUN Manir dalam Parlimen Hulu Terengganu merupakan satu-satunya kerusi DUN dalam kawasan Hulu Terengganu yang berjaya dimenangi oleh calon PAS. Walaupun PAS Terengganu menyasarkan untuk turut menang di kerusi DUN Kuala Berang, kehadiran tokoh UMNO iaitu Datuk Tengku Putera Tengku Awang menyukarkan usaha PAS itu.

DUN Manir, walaupun terletak dalam Parlimen Hulu Terengganu, pada hakikatnya merupakan sebahagian daripada Daerah Kuala Terengganu dan terletak di pinggir Bandaraya Kuala Terengganu. Kerusi tersebut merupakan kubu kuat PAS di bawah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Harun Taib. Walaubagaimanapun, atas faktor kesihatan, Ustaz Harun melepaskan kerusi ini daripada ditandingi dan PAS Terengganu bersetuju meletakkan anak beliau, Ustaz Hilmi Harun di kawasan tersebut.

Walaupun BN dilihat bersungguh-sungguh untuk menembusi DUN Manir melalui gerak kerja calonnya iaitu Yusof Awang Hitam, PAS berjaya mempertahankan kerusi DUN berkenaan. Disebabkan kejayaan PAS mempertahankan semua kerusi yang dimenangi dan menambah kerusi dalam PRU kali inilah maka penulis melihat PAS menang dengan penuh bergaya dalam PRU kali ini.

Calon PAS bagi DUN Manir, Ustaz Hilmi berjaya memperoleh majoriti sebanyak 588 undi setelah mendapat 6873 undi berbanding pencabarnya, Yusof Awang Hitam yang memperoleh 6285 undi.




12. N26 Rantau Abang

PAS Dungun dilihat antara kawasan PAS yang paling berjaya dalam PRU kali ini. Ditambah dengan kehadiran jumlah pengundi kawasan tanah rancangan dan kawasan pedalaman yang agak ramai, PAS Dungun tetap dapat memenangi kerusi Parlimen dan tiga daripada empat DUN dalam Parlimen Dungun.

Kesemua itu dibuat berdasarkan strategi. Antaranya di Rantau Abang, PAS meletakkan calon muka baru, Cikgu Alias Harun, seorang tokoh guru yang sangat dikenali penduduk di kawasan Dungun. Walaupun beliau hanya menang dengan majoriti kecil, kejayaan menembusi sebahagian DUN Rantau Abang yang terletak dalam kawasan Hulu Dungun itu agak membanggakan, apatah lagi beliau berjaya membenam Exco Infrastruktur Negeri Terengganu.

Calon PAS itu menang dengan majoriti 108 undi setelah memperoleh undi sebanyak 8964 undi berbanding dua lagi pencabarnya iaitu Datuk Zaabar Mohd Adib (BN) yang mendapat 8823 undi manakala calon Bebas, Mazlan Harun hanya memperoleh 90 undi.




13. N27 Sura

Di DUN Sura, PAS berjaya mengekalkan penguasaannya di kawasan Bandar Dungun itu dengan majoriti yang lebih besar. PAS kali ini juga meletakkan calon muka baru setelah penyandangnya, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dibawa ke Parlimen dan menang. Pengganti beliau untuk DUN Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik,seorang bekas guru berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti hampir 200 %.

Dalam PRU 2008, PAS menang dengan majoriti 1000 undi manakala dalam PRU kali ini, PAS menang dengan majoriti 2957 undi. Calon PAS memperoleh 8952 undi manakala calon BN, Zakariah Ali mendapat 5995 undi.




14. N28 Paka

Di sebalik undi kawasan Felda di dua kawasan Daerah Mengundi di DUN Paka iaitu di UPU Kertih II dan UPU Ketengah Jaya, PAS melakukan satu kebangkitan besar di DUN Paka, sebuah DUN yang terletak dalam kawasan perindustrian petroleum. Dengan kehadiran lebih 50 peratus pengundi bawah usia 40-an, keputusan DUN Paka banyak dipengaruhi undi anak muda.

Oleh itu, maka tidak hairanlah apabila Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri bin Mamat berjaya merampas kerusi DUN Paka yang dimenangi UMNO dengan majoriti tipis dalam PRU 2008.

Memperoleh 12 138 undi, Ustaz Satiful menang dengan majoriti selesa 1287 undi berbanding pencabarnya dari BN, Matulidi Jusoh yang memperoleh 10 851 undi. Matulidi yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Dungun akhirnya tewas di DUN Paka.




15. N31 Chukai

Di Parlimen Kemaman, walaupun UMNO berpesta undi dengan kemenangan besar lebih 12 000 undi majoriti di Parlimen, PAS tetap menunjukkan persaingan di Bandar Chukai, bandar utama bagi Daerah Kemaman.

Kebangkitan anak muda yang membentuk lebih separuh daripada pengundi di DUN Chukai turut membantu kemenangan calon PAS, Haji Hanafiah Mat dengan majoriti besar sekitar 2446 undi.

Beliau yang memperoleh undi sebanyak 12 457 undi telah menewaskan calon BN, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, bekas Adun Air Putih yang hanya memperoleh 10 011 undi. Dengan kemenangan ini, PAS dan PKR menang di hampir kesemua bandar-bandar utama di negeri Terengganu kecuali Bandar Jerteh di Besut, Bandar Permaisuri di Setiu dan Bandar Kuala Berang di Hulu Terengganu. Di lima lagi bandar utama
di Terengganu seperti Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun dan Chukai, PAS berjaya menguasai kerusi-kerusi di kawasan bandar tersebut.


Walaupun PAS hanya kekurangan dua kerusi untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah, hakikatnya UMNO hanya menang dengan majoriti mudah di Terengganu di sebalik dakwaan kononnya pengundi Terengganu menolak PAS dan serik di bawah pemerintahan PAS. Apa yang pasti, kemenangan PAS dengan 15 orang wakil dalam DUN Terengganu pastinya akan memberi tekanan kepada Menteri Besar baru yang akan dilantik.

Persoalannya siapa? Adakah Datuk Seri Ahmad Said akan mempertahankan kerusi Menteri Besarnya itu ataupun terpaksa memberi laluan kepada Datuk Tengku Putera Tengku Awang, yang dilihat lebih berkaliber berbanding beliau? Biarlah istana Terengganu yang menentukan dan mungkinkah akan ada pula ADUN UMNO yang akan menyeberang ke sebelah PAS sekiranya krisis Menteri Besar Terengganu berulang?

Itulah politik Terengganu yang berada dalam kelasnya yang tersendiri.



Nota Penulis: Walaupun kecewa dengan kekalahan Pakatan Rakyat, penulis gembira dengan kebangkitan orang-orang Melayu di Terengganu. Adakah UMNO hendak menyatakan kemenangan PAS di Terengganu dibantu oleh orang Cina? Tentunya tidak. Kemenangan ini merupakan satu signal bahawa tsunami politik Terengganu akan muncul pada PRU14. Nantikan.

7 ulasan:

Anonymous,  May 5, 2013 at 4:33:00 PM PDT  

Walaupun pas menang tambahan tujuh kerusi dun dan dua parlimen, ambe tetap sedih sebab kita hanya kurang dua kerusi utk kembali rampas darul iman


insyaallah,,,,kita tingkatkan usaha --- PRU14 pas mampu menang...

pas perlu usahakan sesuatu utk kawasan utara trg....besut dan setiu...

Anonymous,  May 5, 2013 at 4:35:00 PM PDT  

ada hikmahnya pas x menang di trg

dalam keadaan pusat masih kekal dgn bn, kalu pas menang kita akan ditekan kiri dan kanan

tingkatkan usaha....pru14 insyaallah pas akan lebih gemilang! TAKBIR!

Anonymous,  May 5, 2013 at 5:58:00 PM PDT  

Ceh! mati-mati aku ingat pas trg boleh tubuh kerajaan negeri tadi...

Pengundi Baru DUN Manir Kite,  May 5, 2013 at 6:01:00 PM PDT  

Tahniah pengundi Melayu Bandar di Terengganu dan pengundi Cina yang membantu kemenangan PAS Terengganu di kesemua bandar utama di kawasan Kuala Terengganu dan Selatan Terengganu.... walaupun x menang, kita sudah jadi pembangkang yang kuat.. TAKBIR!

Anonymous,  May 5, 2013 at 6:27:00 PM PDT  

walaupun sikit kecewa kerana kalah di peringkat pusat tapi aku bangga kerana Terengganu PR hampir-hampir menang

Anonymous,  May 8, 2013 at 9:36:00 AM PDT  

Teruskan kuliah2 agama supaya dpt diisi nilai2 keagamaan terutama utk ank2 muda.

Anonymous,  May 12, 2013 at 9:57:00 PM PDT  

sometimes,, menjadi pembangkang lg best !

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP