This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

Prestasi Bola Sepak Negeri Sembilan Merudum Disebabkan Presiden Sibuk Berpolitik

Thursday, February 14, 2013

Rancangan Soal Jawab setiap hari Rabu di TV3 yang dihoskan oleh Ahmad A. Talib jarang ditonton oleh penulis disebabkan kupasan sesuatu isu semasa yang sering kali bersifat sepihak oleh media pro-Umno itu. Seringkali mereka yang melompat keluar dari Pakatan Rakyat atau mereka yang dilihat "mesra" dengan BN akan memperoleh slot khas dalam rancangan tersebut tersebut termasuklah Zulkifli Nordin, Hassan Ali dan terbaru Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Walaupun rancangan tersebut tidak menjadi pilihan ramai penonton, rancangan Soal Jawab di TV3 semalam telah menarik minat penulis untuk menonton siaran selama sejam itu tanpa berganjak daripada tempat duduk di hadapan televisyen!

Tetamu undangan yang dijemput ke studio semalam adalah Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad bin Hassan. Apa yang menarik mengenai beliau adalah sikap bersahaja beliau dalam bercakap di samping terselit dengan sedikit elemen kelucuan. Percakapannya yang sengaja menggunakan loghat Negeri Sembilan menjadikan beliau seorang pemidato yang agak bagus. Pujian penulis terhadap beliau hanyalah berdasarkan perawakan beliau dan bukannya berhasrat  untuk membodek Umno.Tidak!

Sepanjang program selama satu jam tersebut, moderator program menanyakan beberapa pencapaian semasa Negeri Sembilan di bawah pentadbiran DS Mohamad Hassan termasuklah projek pembinaan jalan baru dari Seremban ke Kuala Pilah bagi menggantikan jalan lama Bukit Putus yang bengkang-bengkok, pembinaan terowong air sepanjang 5 kilometer dan empangan-empangan baru, jalan lingkaran tengah Seremban, cadangan pembinaan Lebuhraya KLIA-Seremban dan lain-lain.

Dalam program tersebut, dengan bersemangatnya Menteri Besar Negeri Sembilan itu menyatakan apa yang telah dilaksanakan sepanjang pentadbirannya hampir sembilan tahun, seperti diberi ruang percuma untuk berkempen dalam pilihanraya ke 13.

Antara pelbagai soalan yang ditanya, satu soalan yang diajukan moderator menarik minat penulis berkait dengan prestasi semasa pasukan bola sepak Negeri Sembilan FA skuad Hobin Jang Hobin. Setelah selama beberapa musim menguasai arena bola sepak tanah air, kemerosotan pasukan tersebut mula dirasai musim ini apabila berlaku penghijrahan beberapa tonggak skuad tersebut termasuklah Shukor Adan, Emmanuel Effa Owona dan Farizal Marlias di samping penghijrahan jurulatih mereka iaitu Mohd Azrai Khor Abdullah ke Perak.

Dalam saingan Liga Super musim ini, pasukan Negeri Sembilan bergelut untuk mencari kemenangan dan menjadi antara pasukan yang menghuni tangga tercorot liga bersama Terengganu FA. Malah sehingga kini, pasukan Negeri Sembilan gagal menjaringkan sebarang gol melalui pemain mereka kecuali satu jaringan gol sendiri Perak ketika menentang Negeri Sembilan. Malah, pemain penyerang import mereka iaitu Emmanual del Porras juga gagal beraksi sebagai seorang penyerang yang baik di posisinya. Selain itu juga, jurulatih baru Negeri Sembilan iaitu Divaldo Alves yang berasal dari Portugal masih belum mampu untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang jurulatih merangkap pengurus pasukan.

Ketika mengulas mengenai perkara tersebut, Dato' Seri Mohamad Hassan mengakui kekecewaannya terhadap prestasi semasa pasukan Negeri Sembilan FA. "Walaupun dibayar  20, 30 ribu ringgit sebulan, pemain (import) gagal untuk menunjukkan prestasi yang sebenar," luah Mohamad Hassan kepada moderator.

Tambah Muhammad, "saya selaku Presiden memang sentiasa memantau pasukan semenjak dahulu. Cuma tahun ini saya terpaksa stop sekejap bola untuk memberi tumpuan kepada persiapan PRU".

Persoalannya sekarang, masihkah ada peluang untuk Mohamad Hassan membetulkan semula pasukan Negeri Sembilan selepas pilihanraya umum nanti atau jawatan beliau selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan bakal diambil alih pula oleh Menteri Besar Pakatan Rakyat selepas ini?

1 ulasan:

cik myna February 14, 2013 at 5:14:00 AM PST  

penulis sangat betah berkata2.. teruskan menulis! ;P

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP