This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

BERAT NANANG: KECURIAN KABEL SECARA BESAR-BESARAN DI STADIUM RUNTUH

Monday, January 30, 2012

Gambar-gambar yang diambil oleh jurukamera Berita Harian, Imran Makhzan sangat mengejutkan di mana gambar yang diambil pada 30 Januari 2012 itu memaparkan keadaan dalaman Stadium Sultan Mizan yang berselerak dengan wayar akibat daripada kecurian kabel yang boleh dianggap sebagai satu kecurian dalam skala besar.

Stadium yang telah runtuh hampir dua tahun setengah yang lalu khabarnya akan hanya mula dibaiki pada tahun ini dan kos baikpulih khabarnya akan ditanggung oleh kontraktor yang membina stadium tersebut. Cakap-cakap kedai kopi pula menyatakan bahawa rekabentuk stadium itu akan diubah dan atapnya ditempah dari German. Tidak kurang pula cakap-cakap yang menyatakan stadium itu sudah tidak selamat lagi kerana berlaku keretakan di sana-sini. Wallahualam.

Tapi melihat kepada perkembangan terbaru stadium ini dengan berlakunya kecurian kabel dan barang-barang yang terdapat di dalamnya termasuk di pusat boling, kontraktor tersebut mungkin akan terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi untuk membaikpulih stadium,bukan hanya perlu membaiki atap tetapi memasang semula pendawaian elektrik dan siling yang dikopak oleh pencuri kabel.

Berikut adalah sebahagian gambar yang penulis petik dari Berita Harian Online





BILIK kawalan elektrik di Stadium Sultan Mizan diceroboh pencuri yang mengambil kesempatan mencuri kabel. - Foto Imran Makhzan












GENERATOR yang bernilai RM70,000 dimusnahkan pencuri kabel untuk mengambil wayar tembaga di Stadium Sultan Mizan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong badak,Kuala Terengganu





SEBAHAGIAN sisa wayar kabel curi di buang ke dalam longkang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin






SILING stadium dipecahkan oleh pencuri kabel untuk mencuri wayar di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin











RUANG bowling yang musnah sementara peralatan dan silingnya dipecahkan oleh pencuri kabel di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin






SEBAHAGIAN runtuhan yang belum dibersihkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ketika gambar ini diambil pada 30 Januari 2012.



sumber http://www.bharian.com.my/bharian/Ga...html?idg=SSMZA

Read more...

KEM TENTERA DI RHU RENDANG: USAHA JATUHKAN TUAN GURU BERMULA?!

Wednesday, January 25, 2012

Semalam, media arus perdana melaporkan pembinaan sebuah kem tentera di Marang, yang bakal menempatkan 5 RIBU ANGGOTA apabila siap nanti.


Tapak kem tentera itu akan dibina di satu kawasan di Kampung Tebuang, Jenang, Marang, satu kawasan yang agak hulu. Perkara ini diumumkan oleh Exco Kebajikan Terengganu yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, YB Yahya Khatib.Yahya yang juga Anggota Dewan Undangan (Adun) Pengkalan Berangan, berkata projek itu dijangka menjadi kenyataan selewat-lewatnya selepas pilihan raya umum akan datang.


Untuk rekod, Kampung Tebuang terletak berhampiran Kampung Batangan di Marang. Penulis tidak mengetahui lokasi sebenar kawasan tersebut tetapi Kampung Batangan adalah salah satu daripada Unit Peti Undi (UPU) yang terdapat dalam kawasan Presiden Pas sendiri iaitu Dun Rhu Rendang!


Dalam PRU 12, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menang di Dun Rhu Rendang dengan majoriti 2686 undi manakala di peringkat Parlimen Marang,beliau menang dengan majoriti 2747 undi.Ini bermakna, sekiranya berlaku pertambahan mendadak undi pos dalam kawasan Rhu Rendang atas nama pembinaan kem baru, Pas mungkin akan kalah sekitar 2000 hingga ke 3000 majoriti kepada Umno sekiranya trend pada tahun 2008 masih kekal.


Dengan cara ini, undi pos yang tidak pernah memihak kepada Pas itu pastinya akan menjadi cabaran besar kepada kekuatan undi Pas di Marang selepas ini.


Persoalannya, adakah wujud usaha yang terancang untuk menjatuhkan Pas di Terengganu? Apakah Pas mampu mempertahankan kerusi tiga dari lima kerusi yang terdapat di Marang selepas ini?



Mungkin kita ada asas untuk risau,tetapi ingatlah bahawa Allah jualah yang sebaik-baik perancang.Semoga Pas terus utuh di Terengganu dan di Marang khususnya.

Read more...

SEPERTI PADANG ARAFAH - CERAMAH PR DI KEDAH BERJAYA KUMPUL 30 RIBU PENYOKONG

Sunday, January 15, 2012

Ketika berucap dalam Rapat Umum sempena Konvonsyen Pakatan Rakyat kali ketiga di Stadium Suka Menanti, Alor Setar semalam, Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberikan respons berikut kepada kehadiran lautan manusia dalam program tersebut, - ramai seperti di Padang Arafah.

Penulis sendiri sempat hadir ke majlis rapat umum pada malam semalam, yang menyaksikan puluhan ribu yang hadir ke ceramah tersebut. Menghala ke kawasan ceramah, kesesakan teruk berlaku di Jalan Suka Menanti yang boleh dikatakan bermula daripada simpang empat menghala ke Bandar Baru Mergong. Para penyokong yang mengunjungi perkarangan stadium tersebut terpaksa memarkir kereta sejauh lima kilometer setelah semua bahu jalan kiri dan kanan dipenuhi oleh kereta dan motorsikal.Bandar Alor Setar yang dianggap bandar yang sepi pada waktu malam dikerumuni oleh puluhan ribu manusia dari seluruh Kedah terutamanya rakyat dalam kawasan Parlimen Alor Setar,Kuala Kedah,Pokok Sena,Pendang,Kubang Pasu dan Jerlun yang berada dalam lingkungan yang hampir dengan kawasan Alor Setar.

Lautan manusia di Stadium Suka Menanti


Penulis secara peribadinya melihat kedatangan puluhan ribu penyokong ini sebagai bukti bahawa rakyat Kedah masih bersama dengan kerajaan pimpinan Ustaz Azizan di Kedah.Malah,boleh dikatakan bahawa ceramah pada malam ini adalah antara ceramah yang paling "happening" di Malaysia setakat ini, apatah lagi ianya dipengerusikan oleh YB Mahfuz Omar yang sering berceloteh dan berjenaka. Hal ini ditambah pula dengan kehadiran hampir kesemua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat bagi menyampaikan ceramah pada malam ini. Paling mencuri tumpuan adalah bagaimana YB Karpal Singh tetap bersemangat memberikan ceramah walaupun beliau terpaksa diusung di atas kerusi rodanya untuk menaiki grandstand stadium yang agak tinggi.

Apapun, apa yang menarik perhatian penulis pada ceramah pada malam ini adalah betapa rakyat Kedah telah menunjukkan sikap mereka untuk terus bersama Pakatan Rakyat dalam mempertahankan Kedah dan menuju ke Putrajaya di sebalik isu-isu jahat yang dimainkan oleh pihak lawan dalam memburukkan pentadbiran Pas Kedah selama ini. Ustaz Azizan ketika menjawab pelbagai isu juga ada menyentuh soal pembangunan Kedah dan kontroversi Madrasah Salihiah di Kanchut.

Menurut Ustaz Azizan, badan bertindak madrasah tersebut telah dua kali memfailkan injuksi di mahkamah supaya menghentikan pembinaan projek Aman Sentral, namun kedua-duanya telah ditolak oleh mahkamah. Sekarang ini, pihak madrasah akan mula memfailkan saman terhadap Mufti Kedah pula. Sebenarnya, Ustaz Azizan melihat isu ini sengaja dibangkitkan setelah mereka terkejut akibat kemampuan kerajaan negeri menyelesaikan projek Plaza Tunku Yaakob yang terbengkalai selama 30 tahun hanya dalam masa dua tahun.

Malah,pembinaan Aman Sentral sebagai sebuah pusat membeli-belah seperti Orchard Road di Singapura, pembinaan hotel lima bintang dan apartment mewah telah membuktikan bahawa Pas mampu membawa kemajuan di Kedah.

Gambaran Surau Aman Sentral yang akan menggantikan
Madrasah Salihiah

Read more...

YB MALIK KASIM EXCO PENANG TIDAK MEMILIKI SEBARANG HARTA WALAUPUN SEBUAH RUMAH!

Thursday, January 12, 2012

Hari ini ahli exco Pulau Pinang dan ahli ex-officio seperti pegawai undang-undang,kewangan dan SUK telah mengisyhtiharkan harta mereka secara rasmi bagi membuktikan amalan ketelusan dan CAT yang diamalkan selama ini. Apa yang lebih penting, ia dapat membuktikan betapa bersihnya pemerintahan Pakatan Rakyat selama hampir empat tahun dalam mentadbir Pulau Pinang.

Mendahului Pulau Pinang adalah Selangor yang telah dibuat sejak Mac 2009. Ketelusan kerajaan Pakatan Rakyat seperti inilah yang menyebabkan orang-orang seperti Zah Hujan dan lain-lain tidak boleh mencari makan dalam Pakatan Rakyat termasuklah mendapatkan projek.


Seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini, exco yang paling tumpuan ialah ahli exco dan ADUN Batu Maung Datuk Abdul Malik Abul Kassim kerana borang pengisytiharannya menunjukkan beliau tidak memiliki sebarang harta mahupun membuat sebarang pelaburan.

Beliau hanya memiliki kereta Proton Tiara apabila mengambil alih jawatan pada tahun 2008, dan baru-baru ini membeli sebuah Honda CRV 2.0 berharga RM143,000 yang dibayar dengan pinjaman kerajaan.

"Rumah saya kepunyaan isteri kerana dia bekerja. Saya kini tinggal di sebuah rumah sewa. Rakan-rakan saya melawak bahawa sekiranya saya bergaduh dengan isteri saya, maka saya akan tidur di kereta," katanya.


Penulis melihat cara hidup YB Malik ini tersangatlah sederhana, yang mana betul-betul mengamalkan sikap berhemah dan berbelanja mengikut kemampuan dirinya sendiri.

Beliau yang merupakan Adun Batu Maung dalam Parlimen Bayan Baru (yang mana ahli Parlimennya Zahrain yang keluar PKR) adalah merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna bagi Pulau Pinang.

Bayangkan beliau langsung tidak memiliki sebarang harta,tidak sepertimana wakil-wakil rakyat yang lainnya, hanya satu penggal naik menjadi Adun sudah mampu memiliki pelbagai kekayaan termasuklah banglo mewah dan sebagainya.

Tidak seperti Adun-adun Umno seperti Khir Toyo dan Adun Pelabuhan Klang suatu masa dahulu, mampu membina banglo bertaraf rumah agam dengan hanya menjadi Adun selama beberapa penggal. Malah di tempat penulis sendiri dalam satu Dun di daerah Dungun,Adunnya yang dahulu hanya pengusaha kecil yang mendapat pinjaman Tekun kini sudah mampu untuk membina banglo sendiri.

Orang seperti YB Malik inilah yang kita mahukan.Walaupun beliau layak untuk membeli sebuah rumah, beliau kekal sama seperti sebelum menjadi Adun. Pembelian kereta pula hanyalah kerana kereta lamanya sebuah Tiara mungkin tidak sesuai lagi digunakan yang mungkin sudahpun uzur. Malah, beliau membeli kereta baru pun dengan kaedah pinjaman bukannya cash seperti Adun lain.

Syabas YB Malik!

Read more...

ISU HASAN ALI : PENYOKONG PAS TOLONG JANGAN MUNAFIK!

Monday, January 9, 2012

Semalam kita dikejutkan dengan pemecatan Dr. Hasan Ali oleh Tuan Guru Presiden selepas satu mesyuarat, satu keputusan yang berani oleh Pas yang sebelum ini dikritik sebagai bersifat berlembut terhadap isu Kerajaan Perpaduan beberapa tahun lalu.

Satu keputusan yang sememangnya telah dijangka. Ramai pihak yang sudah pasti bahawa Dr. Hasan akan diambil tindakan, namun untuk mengagak bahawa Dr. Hasan akan dipecat adalah agak mengejutkan. Sekurang- kurangnya ramai yang beranggapan beliau mungkin hanya akan diberi amaran ataupun digantung keahlian. Pun begitu, tindakan memecat Dr. Hasan ini adalah satu tindakan yang boleh dikatakan "tidak untung dan tidak rugi".

Mengapa penulis menganggap tindakan ini tidak menguntungkan Pas? Kerana dalam suasana hampir ke arah pilihanraya, konflik seterusnya ke atas pemecatan ini adalah krisis lain terhadap jawatan Exco Agama yang disandang oleh Hasan.Apakah beliau dengan penuh tanggungjawab akan melepaskan jawatan itu, atau akan ada satu lagi manipulasi isu selepas ini? 

Namun, tindakan Pas membuang duri dalam daging ini pada satu sisi lain memberikan satu kekuatan kepada Pas. Hal ini kerana Pas akan dilihat lebih berani selain menyingkirkan terlebih dahulu liabiliti mereka sebelum menjelang PRU 13. Sekiranya Pas terus berdiam diri terhadap Hasan sehingga PRU 13, adalah dikhuatiri beliau melakukan sabotaj pada waktu menjelang PRU - sesuatu yang perlu dikhuatiri dengan penuh berhati-hati.

Sesungguhnya, pemecatan Dr. Hasan telah membawa kepada pelbagai perspektif dari seluruh pihak baik dari seluruh pihak, ada yang menyokong dan tidak kurang pula yang berkecuali. Yang menentang pun hanyalah geng-geng songkok tinggi yang kerjanya asyik mengkondem Pas.

Pun begitu, ada sedikit perkara yang menyebabkan penulis berasa tidak "berkenan" dengan tindakan segelintir penyokong Pas baik di blog dan facebook yang mula mengeluarkan cerita-cerita buruk mengenai Dr. Hasan Ali.

Tidaklah mahu penulis nyatakan pihak mana, tapi beberapa jam sahaja selepas Dr.Hasan dipecat, keluar cerita dan status yang menyatakan bahawa surat perlantikan Dr.Hasan sebagai MB Selangor selepas PRU 12 masih di tangan Presiden Pas yang menunjukkan bahawa Dr. Hasan seorang yang gila kuasa.

Kemudiannya timbul pula dakwaan bahawa Hasan Ali pernah meminjam wang daripada Harakah beberapa tahun dahulu untuk membayar hutang dan kemudiannya menerima pula tajaan daripada SYABAS atas dasar sogokan dan rasuah.

Penulis melihat, tidak mustahil akan ada beberapa pendedahan lain selepas ini mengenai keburukan Hasan Ali. Jika ini masih berlaku, persoalan penulis adalah, APA BEZANYA PAS dan UMNO?

Sebelum ini, apabila ada sahaja pemimpin BN yang meninggalkan parti, maka selepas itu akan timbullah pelbagai cerita buruk mengenai mereka. Contohnya, apabila sahaja SAPP meninggalkan BN Sabah pada tahun 2008, tanpa berlengah SPRM telah membuka kertas siasatan ke atas Yong Teck Lee.

Persoalannya sekarang, sekiranya politik seperti ini turut dimainkan oleh Pas dan Pakatan Rakyat, apa bezanya kita dengan BN? Selamat berfikir dan selamat beramal!

HBA,
Jitra-Kedah.

Read more...

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP