This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

Projek PPR : Pertama Kali Sokong Dan Tabik Kepada MB Ku Mat Said

Friday, March 4, 2011

Satu perbandingan antara dua MB Terengganu iaitu Mat Said dan Idris Jusoh adalah Mat Said sedikit bagus berbanding Idris Jusoh.Mengapa penulis berkata demikian?Sudah beralihkah sokongan penulis daripada Pas kepada Umno?Tidak,janganlah disempitkan pemikiran kita hanya disebabkan oleh perbezaan parti.

Walaupun terdapat persamaan antara kedua-duanya,jika Idris memunggah projek ke Jerteh dan Mat Said ke Kijal,tetapi sekurang-kurangnya Mat Said lebih banyak melaksanakan projek berkepentingan umum berbanding Idris Jusoh.Jika zaman Idris pelbagai projek di bawah Patrick Badawi adalah bersifat mengarut dan membazir, di bawah Mat Said terdapat juga beberapa projek yang berkepentingan umum dilaksanakan oleh Mat Said.

Contohnya,pembinaan jambatan ketiga yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus (Utara Kuala Terengganu) dari Jeram Tok Kong ke Bukit Guntong,walaupun dianugerahkan kepada kroninya,MZ Hakujaya (milik Ketua Pemuda Umno Terengganu),tetapi sekurang-kurangnya projek tersebut bakal mengurangkan kesesakan jalanraya yang terlampau meruncing di Kuala Terengganu termasuklah pada waktu puncak dan hari cuti.Berbanding dengan Idris yang lebih gemar melakukan projek bersikap kosmetik seperti Monsun Cup dan Masjid Kristal,sekurang-kurangnya kerajaan Mat Said hari ini lebih melihat kepada keperluan penduduk.

Malah,kerajaan Mat Said juga berjaya menyelamatkan Bas Keranda yang diwujudkan pada zaman Idris Jusoh daripada menjadi projek gajah putih dengan menjadikannya Bas Bandar yang dikenali sebagai Cas Ligas.Kerajaan negeri di bawah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu telah memperbadankan sebuah anak syarikat di bawah PMINT yang dinamakan Cas Ligas Sdn Bhd bagi menguruskan "bas tradisional" yang turut dikenali sebagai "bas keranda" satu masa dahulu dengan menjadikannya bas perantara ke seluruh Bandaraya Kuala Terengganu,sekaligus dapat memperbaiki sedikit sebanyak mutu pengangkutan awam di bandaraya tersebut.

Selain itu juga,kerajaan Terengganu juga dikatakan akan membina KT Sentral yang menjadi pusat hentian bas dan teksi baru yang lebih selesa di negeri ini.Bayangkanlah,sebuah bandar yang dikatakan bertaraf bandaraya pada hari ini masih menggunakan sebuah tempat yang diibaratkan sebagai "bangsal kelapa" dalam menjadikannya sebagai hentian teksi di Kuala Terengganu.Keadaan ini,adalah tidak berubah seperti tahun 1970-an!Ini bukan satu pembohongan,tetapi disertakan dengan bukti bergambar di sebelah kiri artikel ini.

Oleh itu,bersyukurlah jika sekiranya pihak negeri bersetuju membina sebuah hentian moden yang bersepadu di negeri Terengganu.Apapun,bukan itu yang menjadi fokus utama penulis dalam artikel pada kali ini,tetapi lebih kepada pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang telah mula giat dijalankan oleh pihak kerajaan Terengganu.Bermula dengan pembinaan Flat Ladang Gemilang Fasa I dan II,kini kerajaan Terengganu telahpun bersetuju membina sebuah lagi projek perumahan rakyat di Padang Hiliran Kuala Terengganu.


Sebelum ini,diketahui bahawa wujud kontroversi di Ladang,akibat ketidakpuasan hati penduduk mengenai janji sebelum dan selepas pembangunan Flat Ladang Gemilang (rujuk artikel Inilah Harga Yang Perlu Dibayar Penduduk Terengganu).Pun begitu,projek perumahan rakyat di Terengganu,masih dialu-alukan oleh penduduk Terengganu selagi ianya tidak menyusahkan rakyat di Terengganu.

Sebenarnya,pembangunan PPR di Padang Hiliran ini bukanlah satu projek yang baru dirancang.Ianya adalah antara janji manis gula-gula pilihanraya sempena PRK Kuala Terengganu awal tahun 2009 yang lalu.Ketika mengumumkan perkara tersebut ketika pilihanraya,para pimpinan Umno bersungguh-sungguh memancing undi dengan menyatakan projek tersebut bakal disegerakan dan dimasukkan ke dalam RMK-9,seterusnya dilaksanakan selewat-lewatnya Jun 2009.

Akhirnya,Umno pun kalah.Maka,senyap sunyilah projek itu untuk sekian lama.Hampir setahun lebih kemudiannya,barulah projek tersebut diumumkan semula tahun lalu.Oleh itu,penulis bawakan gambar di atas bagi memaparkan kita kepada model projek perumahan rakyat tersebut.Untuk rekod,Padang Hiliran adalah sebuah kawasan yang terletak di kawasan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu dan berhampiran dengan kawasan Bandar Baru Bukit Besar yang bakal dibangunkan selepas ini.


Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang bakal dibangunkan di Terengganu pada dasarnya adalah mengikut model yang digunapakai di kebanyakan Projek Perumahan Rakyat di Kuala Lumpur.Antara kawasan di Kuala Lumpur yang dipenuhi oleh kawasan PPR adalah di kawasan Lembah Pantai.Rekaan model yang dilancarkan oleh Najib adalah hampir sama pattern dan binaannya sepertimana yang ada di Kuala Lumpur. 

Malah,Flat Ladang Gemilang sendiri telah menggunapakai model yang sama dengan PPR di Pantai Dalam Kuala Lumpur.

Persamaan Flat di seluruh negara

Oleh kerana flat-flat ini menggunapakai model yang sama,maka masalah yang timbul di hampir kesemua kawasan PPR di Malaysia adalah serupa.Antara masalah yang meruncing di hampir kesemua flat rakyat kelas rendah dan pertengahan ialah:

1.Masalah Kesesakan Melampau di Kawasan Perumahan
Seperti yang diketahui,antara masalah terbesar di kawasan flat di Malaysia adalah kesesakan lalulintas.Hal ini menjadi lebih meruncing pada waktu puncak setiap hari.Masalah kesesakan ini kebiasaannya bergantung kepada faktor jalan keluar masuk ke kawasan perumahan,di mana jalannya bersifat sehala dan sempit. Keadaan ini diburukkan lagi dengan tindakan penduduk yang meletakkan kenderaan di bahu jalan akibat kekurangan lot parking. 

Selain itu juga,kelaziman yang berlaku di kawasan perumahan flat sebegini adalah pembinaan gerai-gerai dan warung-warung kecil di pinggir jalan.Di Kuala Lumpur misalnya,hampir kesemua rezab jalan akan diambil bagi dibina warung,kedai topup,fotostat,kedai runcit,kedai jahit,kedai gunting,bengkel motor dan sebagainya.

Mahu tidak mahu,para pengunjung di kedai-kedai tersebut akan memarkir kereta di bahu jalan yang sudah sedia sesak tersebut.Di sini,kita bukanlah hendak menyalahkan peniaga,tetapi sekurang-kurangnya pihak pemaju dan kerajaan yang membangunkan projek ini patut menyediakan ruang kepada para peniaga seawal menyediakan kertas kerja kepada projek perumahan tersebut.

2.Masalah Kekurangan Petak Parking
Penulis tidaklah mengetahui apakah kriteria yang telah ditetapkan kepada setiap pemaju untuk membina petak parkir mengikut nisbah rumah.Tetapi seorang rakan pernah memberitahu bahawa,kerajaan telah menetapkan satu lot rumah bakal mendapat satu lot parking untuk setiap flat yang dibangunkan.

Pun begitu,masalah parking menjadi sangat kronik di kawasan perumahan awam sebegini.Puncanya mudah. Setiap keluarga mendiami sebuah rumah.Akan tetapi,ini tidaklah bermakna satu keluarga memiliki sebuah kereta.Kebiasaannya,setiap keluarga kadangkala mempunyai dua tiga buah kereta.Ini belum ditambah dengan jumlah motorsikal dan basikal mengikut rumah.Apabila keadaan ini berlaku,maka terjadilah masalah ruang parking yang meruncing,sehingga kadangkala susunan kereta diletak berlapis-lapis,menyebabkan ada kenderaan tidak dapat keluar daripada lot parkingnya.Ini semua perlu disedari oleh kerajaan pada masa akan datang dalam membina kawasan perumahan berskala besar seperti ini.

Selain itu juga,kawasan flat ini didiami oleh masyarakat bawahan yang kerjanya memandu bas dan lori.Oleh itu,keadaan ini akhirnya menyesakkan lagi kemudahan parking di sesebuah kawasan perumahan tersebut.

3.Ukuran Luas Rumah yang Sempit
Masalah rumah yang sempit ini pernah diulas penulis dalam isu flat Ladang Gemilang baru-baru ini.Ternyata hasil tinjauan blog sahabat mendapati keadaan setiap unit rumah PPR tidak memuaskan kepada golongan yang mempunyai keluarga yang besar.Mungkin kerajaan negeri menyasarkan keluarga kecil yang baru mendirikan rumahtangga untuk mendiami rumah sebegini,tetapi tidakkah kerajaan terfikir bahawa keluarga ini kelak akan berkembang biak?Maka,lama kelamaan terjadilah masalah tidak selesa kepada para penghuni. Jika membeli rumah teres berkemungkinan penghuni boleh berikhtiar untuk membesarkannya,tetapi masakan kita boleh membesarkan sebuah rumah flat?

4.Masalah Lif Yang Tidak Cekap
Sepertimana yang ditulis oleh Exco Perumahan Selangor,YB Iskandar Abdul Samad dalam kolum Tinta YB Selangor Kini,masalah lif adalah antara masalah terbesar di kebanyakan flat di Malaysia khususnya di Selangor.Di Ampang misalnya,terdapat rumah kerabat penulis yang tinggal di tingkat 10 di sebuah apartmen, tetapi malangnya hanya terdapat dua buah lif untuk satu blok apartmen yang mempunyai 17 tingkat.Lebih malang daripada itu,hanya satu sahaja yang berfungsi manakala satu lagi tidak!Maka,itulah lif yang terpaksa dikongsi oleh beratus-ratus orang dalam satu masa.Berhimpit-himpit,malah kerapkali pula menghidu bau sampah apabila diangkut sama turun ketika di dalam lif.Inilah realitinya.

Pihak pemaju juga pandai.Mereka biasanya hanya mempunyai tempoh warranti sekitar tiga empat tahun kemudiannya mereka akan lepas tangan.Maka terjadilah isu penduduk merayu kepada kerajaan negeri. Walaupun bukan di bawah masalah kerajaan negeri,tetapi sebagai pemimpin yang dipilih rakyat,maka kerajaan terpaksalah menanggung kos membaikpulih lif yang rosak.Ini semua adalah diakibatkan oleh sikap sambil lewa dan sikap inginkan untung lebih oleh para perumahan.Hasilnya,kerajaan Selangor telah mula membaikpulih lif-lif di sekitar negeri Selangor.

5.Masalah Bau Busuk dan Sampah
Masalah bau dan sampah bukanlah isu baru dalam kawasan perumahan flat.Para penduduk sememangnya menghadapi kesukaran terutamanya kerana terpaksa membuang sampah ke tong sampah besar di bawah.Jika tinggal di tingkat empat belas,setinggi itulah anda perlu turun untuk membuang sampah.

Begitulah realitinya.Hasilnya,jika ada penduduk yang malas dan mengambil jalan mudah,sampah akhirnya dibuang di tepi tangga dan lebih daripada itu ada yang melontarkannya ke atas bumbung dan ke bawah.Malah ada satu iklan dalam televisyen satu masa dahulu di mana seorang remaja bertindak membuang sampah dari atas dan terkena kepada datuknya sendiri hingga berdarah.

Tambahan lagi,masalah bau busuk juga berlaku terutamanya pada koridor dan tangga.Jika flat sudah berusia lebih dua tahun,daki-daki pada dinding akan timbul.Selain itu,cat pada dinding mulai pudar,terutamanya akibat cat berkualiti rendah yang digunapakai.Maka akhirnya,jadilah sesebuah flat itu suram,kusam dan hapak akibat masalah yang dinyatakan di atas.

6.Masalah Keselamatan yang Rendah
Seperti yang diketahui,masalah keselamatan juga menjadi antara masalah utama yang meruncing di kawasan perumahan flat dan apartmen di Malaysia.Paling kerap yang dilaporkan adalah kes kecurian motorsikal di kawasan tersebut.Perkara ini semestinya memberikan masalah kepada para penduduk di kawasan kejiranan tersebut.

7.Masalah Penyelenggaraan Bangunan
Menurut YB Iskandar,ketika beliau melawat Singapura satu masa dahulu,keadaan kebanyakan flat samada daripada kos rendah mahupun kos yang tinggi,kualiti binaannya adalah hampir sama dan tiada bezanya kecuali dari segi keluasannya sahaja.Di negara jiran tersebut,kesemua kawasan perumahan dijaga rapi,hasil daripada akta yang digubal di negara mereka.Di Singapura,mereka yang tidak membayar yuran penyelenggaraan boleh didakwa di mahkamah,dipenjara dan asetnya dirampas oleh pihak berkuasa.

Ketiadaan akta sebegini di Malaysia menyebabkan kurangnya kesedaran para penduduk di Malaysia untuk membayar wang penyelenggaraan bangunan seperti di Singapura.Maka,akhirnya timbullah masalah kerosakan yang gagal dibaikpulih di kebanyakan flat di Malaysia.Perkara meruncing ini ditambah pula dengan kualiti binaan yang rendah menyebabkan kerosakan berlaku di sana dan sini.

Di Malaysia,antara kerosakan biasa yang berlaku di kawasan perumahan sebegini adalah masalah kerosakan lampu koridor,bumbung bocor,selain masalah kebersihan persekitaran yang tidak diselia dengan baik.

8.Vandalisme
Perkara ini mungkin tidaklah perlu diulas panjang memandangkan kita sendiri sedia maklum akan mentaliti masyarakat kita terhadap kurangnya kesedaran dalam menjaga harta benda awam.Sikap "gatal tangan" sesetengah pihak yang suka menconteng sana menconteng sini,usik sana dan usik sini selain sikap tidak suka melihat perkara yang sempurna.

Oleh itu,kepada kerajaan pimpinan Mat Said,diharap masalah-masalah yang dinyatakan di atas difikirkan oleh pihak tuan dalam membangunkan projek pembangunan rakyat selepas ini.Cukuplah masalah di Flat Ladang Gemilang yang menjadi pengajaran kepada kita menambahbaik kemudahan kepada rakyat.Penulis fikir, selepas ini kerajaan Terengganu akan memperbanyakkan lagi projek perumahan rakyat sebegini.Justeru,di bawah diperturunkan beberapa penyelesaian kepada masalah perumahan rakyat yang menjadi masalah meruncing di kebanyakan kawasan sebegini:

1.Pastikan kawasan rezab jalan tidak dihalang oleh mana-mana pihak
2.Sediakan tapak perniagaan mampu milik di setiap kawasan perumahan
3.Perbanyakkan ruang parking termasuk mewujudkan basement untuk parking
4.Memperbanyakkan lif selain mengutamakan penyelenggaran lif
5.Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil alih pengurusan penyelenggaraan perumahan
6.Mengstruktur semula saiz keluasan setiap unit rumah
7.Mewujudkan satu sistem perkongsian kos penyelenggaraan antara kerajaan dan penduduk
8.Membentuk pasukan kawalan daripada pihak polis bagi mengawal keselamatan

Oleh itu,diharap kerajaan dan pihak berwajib yang ingin membangunkan sesuatu kawasan perumahan mengambilkira masalah rakyat dan alternatif bagi menyelasaikannya.

1 ulasan:

Anonymous,  March 4, 2011 at 5:34:00 PM PST  

suka article ni, bukan suka BN tp mslh yg menghimpit penduduk flat kos rendah.....rumah sekadar tempat berteduh....masalah yg timbul keliling pinggang. pihak berkuasa patut tetap kan syarat2 yg lebih mesra pengguna dalam mengelak masalah berulang

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP