This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

PENDUDUK KAMPUNG BARU TIDAK HALALKAN TANAH UNTUK RAJA NONG CHIK

Thursday, March 17, 2011

Ketika singgah membeli Nasi Lemak Antarabangsa di Kampung Baru beberapa malam yang lepas,penulis tertarik dengan dua helai kain rentang yang tertulis "Kami Tentang Perbadanan Kampung Baru" dan "Tidak Kami Halalkan Tanah Ini Untuk Perbadanan Kampung Baru".Begitulah maksud tulisannya jika penulis tidak silap.


Pada mulanya,penulis menganggap penentangan ini dibuat bukanlah secara menyeluruh.Akan tetapi,apabila penulis berkunjung semula ke Kampung Baru pada waktu siang hari ini,lebih banyak kain pemidang dan kain rentang yang dinaikkan oleh para penduduk di Kampung Baru.Malah,mereka juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak yang mempromosikan penentangan terhadap Perbadanan tersebut di dalam facebook dan Twitter di Save Our Kampung Baru di facebook dan @Savekgbaru di twitter.


Tidak Kami Halalkan Tanah Ini Untuk Perbadanan Kampung Baru


Bayangkanlah,tatkala kawasan di seberang Kampung Baru menjadi antara kawasan termaju di Malaysia iaitu kawasan Kuala Lumpur City Centre,Kampung Baru masih terkepung dengan imej tradisional 100 tahun lampau, meskipun dikelilingi oleh pusat pertumbuhan perniagaan dan perkhidmatan di Kuala Lumpur seperti kawasan Chow Kit,KLCC dan menara-menara kerajaan dan swasta.


Sepertimana yang diakui sendiri oleh Tun Mahathir dalam blognya suatu masa dahulu,antara kegagalan terbesar beliau ketika menjadi Perdana Menteri adalah gagal memulih dan memajukan kawasan Kampung Baru.Menurut Mahathir,meskipun kawasan itu telah diumum untuk dibangunkan ketika beliau menerajui kerajaan namun timbul beberapa masalah terutama berkaitan dengan soal pemilikan dan harga tanah.  Dalam soal pemilikan tanah, ujarnya, ramai di kalangan penduduk Kampung Baru yang asal telah berpindah ke tempat lain kerana penempatan di kampung berkenaan tidak lagi selesa setelah berlaku kemajuan di kawasan sekeliling. “Pada masa sama ramai juga di kalangan tuan tanah telah meninggal dunia dan siapa pewaris mereka sukar dikesan.  “Tuntutan harga oleh tuan tanah juga terlalu tinggi dan ini menyebabkan kos pembangunan melambung tinggi. Dengan ini orang Melayu tidak mungkin dapat membeli kedai atau ruang untuk kediaman apabila projek itu siap dibina,” katanya. Dr. Mahathir berkata, jika situasi itu berlaku, mungkin hanya orang bukan Melayu sahaja yang mampu memiliki hartanah di Kampung Baru. 




“Sekiranya harta yang dibangunkan dijual kepada bukan Melayu maka akan hilanglah Kampung Baru sebagai kawasan Melayu di ibu kota,” ujarnya.  Mengulas isu sama, beliau berkata, kerajaan pada masa pemerintahannya juga telah mengenakan syarat kepada pemaju supaya penduduk Kampung Baru terus berada di kawasan itu.  Syaratnya, jelas beliau, setiap penduduk Kampung Baru bukan sahaja dibayar harga tanah tetapi mereka akan diberi tempat perniagaan serta kediaman di bangunan yang akan didirikan itu.   

“Syarat ini boleh menjamin orang Melayu yang sekarang berada di situ akan terus berada di Kampung Baru. 

Mereka tidak akan terusir keluar. Tetapi sekali lagi syarat ini akan menaikkan kos pembangunan.  “Pemaju Melayu mungkin tidak berminat. Bukan Melayu juga mungkin tidak berminat kerana kemampuan Melayu membeli amat rendah,” katanya lagi.  Sedangkan, tambah Dr. Mahathir, pada masa ini masih banyak terdapat premis kediaman dan kedai yang diperuntukkan kepada orang Melayu tidak dapat dibeli oleh mereka.  “Oleh sebab ini pembangunan Kampung Baru gagal dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri,” katanya.


Untuk rekod juga,rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru akan mula dibentangkan di Parlimen Jun depan.Walaubagaimanapun,para penduduk Kampung Baru telahpun menolak Perbadanan ini di bawah satu deklarasi disebabkan oleh:


Deklarasi Pemilik&Pewaris Tanah Kampung Baru di
Pejabat Khidmat Masyarakat Dr.Lo Lo
1.Seksyen 19 : Penubuhan Majlis Penasihat yang diwakili oleh penduduk Kampung Baru tidak mempunyai sebarang makna kerana kerajaan tidak terikat untuk mengikut cadangan dan nasihat penduduk.Akhirnya, orang Kampung Baru tidak ada suara dalam proses pembangunan Kampung Baru

2.Perbadanan adalah kebal di sisi undang-undang.Keputusan mereka tidak boleh dicabar dalam mana-mana Mahkamah.

3.Pembatalan dan pembubaran Enakmen M.A.S dan Lembaga M.A.S bermakna tanah Kampung Baru terbuka untuk dimiliki oleh orang-orang bukan Melayu.Akta ini tidak menyatakan secara spesifik bahawa hakmilik tanah Kampung Baru mesti dimiliki oleh orang Melayu.

Secara umumnya,terdapat seramai 998 orang pemilik tanah di Kampung Baru,di mana 400 orang daripadanya adalah ahli PAKAM,Pertubuhan Anak Kampung Baru.PAKAM dilihat antara pertubuhan yang menyokong Perbadanan Kampung Baru,berbanding sekreteriat yang menentang penubuhan perbadanan tersebut.Oleh itu,para pemilik tanah di kawasan tersebut dilihat terbahagi dua,suatu kumpulan yang menyokong dan satu kumpulan yang menentang penubuhan perbadanan tersebut.Walaubagaimanapun,tidak diketahui pula seramai mana pihak yang berkecuali dalam kes ini.


Secara peribadinya,setelah penulis melihat permasalahan ini melalui pemahaman dan pembacaan umum, penulis tertarik dengan pendapat seorang kolumnis dalam Malaysian Insider:


"Additionally, Kampung Baru is one of the very few areas left in the city centre that caters for the less affluent.  Nurses, teachers and policemen can afford to live or rent in the area."
-sedutan artikel Preserving Kampung Baru's Heritage-

Oleh itu,penentangan penduduk Kampung Baru terhadap Perbadanan ini,bukan sahaja berkait soal tanah dan pembangunan,tetapi lebih daripada itu adalah nasib para penduduk di kawasan terbabit.Ini termasuklah para penyewa rumah dan flat di Kampung Baru.Walaupun dianggap sebagai usang dan tidak tersusun,Kampung Baru adalah rumah dan syurga kepada rakyat berpendapatan rendah di kawasan bandar.Di situlah tinggalnya tukang sapu,pengawal keselamatan,peon dan pekerja rencam.

Justeru,dengan wujudnya pembangunan,di manakah lagi tempat yang boleh mereka tinggal di tengah ibu kota ini?Adakah kerajaan akan pindahkan mereka ke Bukit Bangsar,Bukit Pantai atau kawasan elit yang lain? Sudah tentu tidak.Bagi penulis sendiri,membangunkan Kampung Baru bererti melenyapkan kediaman termampu kepada golongan bawahan selain mengacau periuk nasi para peniaga kecil Melayu di tengah-tengah bandar.

Cukuplah sudah kampung-kampung Melayu yang hilang daripada peta Kuala Lumpur.

Contoh mudah sudah dilihat oleh mata kepala penulis sendiri tahun ini.Jika tahun lalu,terdapat beberapa buah kedai makan Melayu yang menjadi tumpuan ramai di kawasan Abdullah Hukum,di mana kampungnya kini hanya sekadar tinggal nama.Di kawasan tersebutlah berdirinya Mid Valley City Centre,tempat berkumpul orang kaya sekalian alam di Malaysia.

Walaupun pembangunan dibuat besar-besaran di kawasan tersebut beberapa tahun yang lalu,kedai-kedai makan kecil melayu masih wujud di tepi jalan kecil bersebelahan Sungai Pantai tersebut.Di kedai tersebutlah setiap hari berkumpulnya para pekerja kerajaan dan swasta menikmati nasi lemak untuk sarapan.Malamnya pula,terdapat beberapa buah kedai masakan panas.

Dan dalam sekelip mata,semua kedai tersebut hilang atas nama pembangunan.Mungkin beberapa tahun akan datang tersergam tinggi beberapa buah menara,tetapi bagi mereka yang tidak lupa,di sinilah dahulunya orang ramai mencari sarapan.

Semoga Kampung Baru dilindungi Allah!

2 ulasan:

anakjatikg.baru,  March 17, 2011 at 7:58:00 AM PDT  

Allahyarham Dato Harun Idris semasa jadi MB Selangor(waktu itu Wilayah Persekutuan belum ujud lagi)telah memulakan projek memperbaiki keadaan Kg.Baru dengan cara memberikan "soft loan" kepada penduduk Kg.Baru untuk membina rumah yang layak untuk Bandaraya.Sekiranya "raja tanpa negeri" ni beria-ia sangat nak majukan Kg.Baru,dan benar-benar nak tolong Melayu,skim mengubah wajah Kg.Baru sebagai mana yang sudah dimulakan oleh Dato Harun Idris,boleh diteruskan dan diperbaiki sistemnya.Dengan kaedah ini,wajah Kg.Baru akan berubah dan pemilik tanah tidak akan gusar tanah mereka dirembat oleh cukong.
Kepada Raja Nongchik(Raja tanpa negeri) gunakanlah otak sikit,jadi menteri pun ikut pintu belakang.Otak kontrektor raja ni,memang sudah forkus untuk melanun tanah orang Melayu Kg.Baru.

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP