This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

Meneliti Peluang Pas di Kerdau, Sejarah Lama Sanggang Sedang Diulangtayang

Wednesday, March 2, 2011

Pilihanraya kecil N26 Sanggang telah diadakan hampir sebelas tahun yang lalu,iaitu pada 1 April 2000,lebih dikenali sebagai Pilihanraya Kecil Y2K Alaf Baru.Sanggang terletak dalam Parlimen Mentakab telah menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Pas,Dato' Hishamuddin Yahaya,Pengarah Urusan Harakah ketika itu dan calon Umno,Redzwan Harun yang merupakan seorang ustaz berkelulusan dalam bidang agama.

Pilihanraya kecil Sanggang dianggap panas memandangkan ianya diadakan hanya selang beberapa bulan selepas Pilihanraya Umum 1999 yang menyaksikan kekalahan besar Umno di banyak kerusi majoriti Melayu.Malah di Sanggang sendiri,kekalahan kecil Pas di Sanggang dengan majoriti sekitar 1038 undi menyemarakkan usaha Pas dalam menawan Dun Sanggang.Malah, kemenangan besar Barisan Alternatif di Temerloh dengan menguasai tiga daripada empat Dun,Semantan,Guai dan Teriang (kecuali tewas di peringkat Parlimen dan Dun Bera),selain kemenangan Pas di Dun berjiran iaitu Dun Jengka menambahkan lagi semangat Pas untuk menang di sana.

Insiden yang paling diingati sepanjang tempoh pilihanraya kecil tersebut adalah isyarat lucah Adnan Yaakob yang telah berjaya dirakamkan oleh media di sana.Setelah berlangsungnya pilihanraya yang agak sengit tersebut,Pas masih gagal menguasai Dun Sanggang setelah tewas dengan majoriti yang lebih besar iaitu sekitar 1963 undi,selain jumlah undi yang diperoleh Pas merosot sebanyak 190 undi berbanding tahun 1999.

Dua tahun berikutnya,Dun Sanggang akhirnya dibubarkan.Dewan Undangan Negeri tersebut dipecah dua,sebahagiannya dimasukkan ke dalam kawasan Kerdau yang baru diwujudkan dan sebahagian lagi ke dalam Dun Jengka. Parlimen Mentakab juga telah dihapuskan dan diganti dengan Parlimen Kuala Krau.Tindakan tersebut dilihat adalah lebih kepada usaha memecahkan kawasan majoriti Melayu yang dilihat begitu memihak kepada Pas ketika itu.

Dan kini,berlangsung kembali satu lagi siri Pilihanraya kecil di kawasan sama,cuma berlainan nama.Jika dahulu Sanggang menjadi tumpuan,kini tumpuan terarah kepada Kerdau.

N28 Kerdau,antara tiga parlimen yang terletak dalam Parlimen Kuala Krau mempunyai 13 buah daerah mengundi iaitu Rumpun Makmur,Jengka 25,Jengka 22,Batu Sawar,Jengka 23,Kuala Tekal,Pulau Pasir Mandi,Kerai,Lipat Kajang,Desa Murni,Kerdau,Kuala Kerdau dan Teluk Sentang.


Dalam pilihanraya umum 2008,calon BN,Datuk Zaharuddin Abu Kassim telah ditentang oleh Ketua Penerangan Pas Pahang,Saudara Hasanuddin Salim.Berikut adalah keputusan Pilihanraya Umum bagi kawasan N28 Kerdau:


Di bawah pula diperturunkan perbandingan pergerakan undi di Dun Kerdau pada tahun 2004 dan tahun 2008:


Berdasarkan dua pilihanraya sepanjang pembentukan Dun Kerdau,Pas pada tahun 2004 hanya mampu mendapat lebih kurang 30 peratus undian berbanding Umno.Walaubagaimanapun,kedudukan itu diperbaiki apabila Pas berjaya menambah lapan peratus lagi undian pada tahun 2008.Pas mampu menambah sebanyak 649 undi,di mana Umno hilang sebanyak 301 undi berbanding 2008.

Ini bermakna,Umno hilang lebih 300 undi yang diperolehnya pada tahun 2004,dengan menganggap Umno gagal mendapat pertambahan sebarang undi daripada pengundi baru.Sedangkan Pas,berjaya mencuri 301 undi tersebut,selain menambah baki 348 undi lagi daripada pengundi baru yang tidak mengundi pada tahun 2008.Walaubagaimanapun,pergerakan undi tersebut tidaklah sebegitu besar untuk menjatuhkan Umno di Dun Kerdau.

Dalam pilihanraya umum 2008,seramai 80.33 peratus pengundi telah keluar mengundi.Dijangkakan bahawa peratusan tersebut tidak akan banyak berubah dalam pilihanraya kecil kali ini.Persoalannya,mampukah Pas melakukan kejutan di Dun Kerdau?Inilah yang menarik untuk diperhatikan.Dalam politik,optimis sahaja tidak cukup.Ianya berkaitan dengan persepsi.Untuk itu,persepsi umum mengenai peluang Pas di Kerdau tidaklah sebegitu tinggi,tetapi ini tidaklah bermakna Pas tidak boleh melakukan kejutan di sana.Bagi penulis,Pas sudah boleh dianggap berjaya sekiranya berjaya mengurangkan majoriti yang diperoleh Umno pada sekitar 1000 undi atau kurang,sama seperti apa yang pernah dicapai dalam Pilihanraya Umum 1999 di Dun Sanggang yang lalu.Ini kerana,pencapaian Pas pada tahun 1999 di Kerdau (Sanggang) adalah antara yang terbaik untuk siri-siri pilihanraya terakhir setakat ini.

Sebenarnya,adalah tidak sukar untuk Pas merapatkan jurang undi tersebut.Untuk mengurangkan jumlah majoriti Umno kepada 1000 undi,Pas hanya memerlukan sekitar 600 undi sahaja.Untuk itu,Pas perlu menyasarkan untuk mengurangkan jumlah undi rosak yang wujud dalam pilihanraya umum yang lalu iaitu sebanyak 122 undi.Pas perlu mengesan samada undi rosak tersebut adalah dibuat atas faktor buta huruf ataupun protes.Jika protes itu datang daripada pengundi Umno,Pas perlulah mencari faktor penarik terhadap golongan ini.Selain itu juga,penghijrahan 12 orang ahli Umno ke dalam Pas mungkin akan memberikan lebih undi buat Pas kali ini.Selain itu juga,Pas boleh mencuri undi daripada generasi pengundi baru pasca 2008 di Dun Kerdau yang telah mencatatkan peningkatan sebanyak 548 orang pengundi.

Selain itu juga,undi pengundi Cina sebanyak 454 orang pengundi juga mungkin boleh membantu Pas dalam menambah bilangan undi kali ini.Untuk rekod,jumlah pengundi Cina terbesar yang dicatatkan di Dun Kerdau adalah di daerah mengundi Kerdau yang membentuk 48.19% ataupun seramai 427 orang pengundi berdaftar di daerah mengundi tersebut.

Apapun,selain meneliti peluang Pas di Kerdau ini,satu lagi perkara menarik adalah sejarah lama dalam Pilihanraya Kecil Sanggang kini telah berulang kembali dalam Pilihanraya Kecil Kerdau.Berikut adalah antara pengulangan tersebut:

1.Calon Agama Umno Lawan Calon Profesional Pas

Dalam Pilihanraya Kecil Sanggang,Umno mengambil keputusan untuk menaikkan seorang calon berlatar belakangkan agama bagi menyaingi pengaruh Pas yang agak kuat di bahagian Pahang Tengah ketika itu. Hal ini kerana,hampir semua Dun yang dimenangi Pas kebanyakannya berpusat di Temerloh dan Mentakab iaitu Semantan,Guai dan Jengka selain Dun Triang yang dimenangi oleh DAP.

Hal ini menyebabkan Umno meletakkan Ustaz Redzwan Harun bagi menyaingi calon Pas.Pun begitu,Pas tidak mengekalkan calon berlatarbelakangkan agama pada tahun 1999 di Sanggang,sebaliknya menampilkan Pengarah Urusan Harakah,Datuk Hishamuddin Yahaya,yang berkelulusan dalam bidang undang-undang. Calon Pas yang merupakan anak jati Sanggang itu merupakan bekas Ahli Parlimen Maran di bawah tiket Barisan Nasional.

Dan kali ini,sejarah tersebut berulang apabila Umno mencalonkan Syed Ibrahim,berkelulusan Al-Azhar sementara Pas meletakkan seorang calon berkelulusan juruukur,seorang profesional dalam bidang kejuruteraan pembinaan.

2.Penguasaan Surau dan Masjid Oleh Kerajaan Pahang

Sekitar Februari 2000,semua kuliah agama telah dibekukan oleh Majlis Agama Islam Negeri dan Daerah, atas arahan yang membabitkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu.Perkara ini telah menimbulkan satu isu yang agak besar dalam kalangan jemaah masjid di seluruh negeri Pahang dan telah disiarkan dalam Harakah ketika itu.

Contohnya,hasil temuramah Harakah dengan seorang penduduk Kampung Tanjong Perah,Kamaruzaman Khatib Zuki mendakwa beliau yang dahulunya sentiasa mengikuti kelas pengajian tafsir di Masjid Bandar Kerdau tidak dapat lagi berbuat demikian atas arahan tersebut.

Walaubagaimanapun,ketika Pilihanraya Kecil Sanggang berlangsung,Pejabat Majlis Agama Islam Temerloh akhirnya menghentikan pembekuan tersebut,malah menganjurkan pula program yang dinamakan sebagai "Dakwah Berkampung".

Dan kini,ketika pilihanraya kecil Kerdau pula,calon Pas Hasanuddin Salim mendakwa kesemua 22 buah masjid dalam Dun Kerdau telah diambilalih sementara oleh Majlis Agama Islam Pahang sepanjang tempoh PRK Kerdau ini.Dakwanya, tindakan itu akan memberikan kelebihan kepada lawannya Syed Ibrahim Syed Ahmad daripada BN yang mudah berkempen di rumah ibadat tersebut dan tidak memberikan peluang sama rata kepadanya.

3.Janji Demi Janji

Rasanya tidaklah perlu diulas lagi mengenai perkara ini.Kita semua sedia maklum bahawa setiap kali adanya pilihanraya kecil di Malaysia,maka berbakul-bakul janji akan dibuat oleh Umno kepada penduduk tempatan.

Dan kini,RM10 juta sedang menunggu penduduk di Dun Kerdau.Persoalannya,adakah penduduk Kerdau telah lupa akan janji Sanggang yang tinggal janji hingga sekarang?




0 ulasan:

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP