This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

PERSPEKTIF JUJUR POLITIK SEMASA SELANGOR DAN LEMBAH KLANG

Friday, January 7, 2011

Penulis berkesempatan mengikuti empat siri ceramah pada penghujung tahun 2010 ini di sekitar kawasan Lembah Klang.Di samping mendengar penerangan tentang isu semasa,sebenarnya terdapat satu lagi tujuan penulis ke sana.Penulis ingin melihat sejauh mana asas sokongan penduduk setempat ke atas Pas dan Pakatan Rakyat di beberapa buah kawasan terutamanya Selangor.

Adakah Pas kuat di Selangor?Ini yang perlu dipersoalkan.
Pandangan jujur dari kaca mata seorang pemerhati persendirian.

Ketika penulis mengikuti ceramah Pas di Markaz Pas Taman Melewar beberapa minggu lepas,kehadiran pendengar di ceramah tersebut boleh dikatakan agak ramai.Taman Melewar terletak dalam Parlimen Batu, namun kawasannya yang terletak berhampiran dengan Parlimen Gombak turut mencerminkan suasana politik semasa di Lembah Klang.Ceramah Perdana yang bertajuk "Menelanjangkan Si Kitol" itu membariskan penceramah terkemuka seperti Salahuddin Ayub,Hanipa Maidin dan Shamsul Iskandar bin Md Akin.

Melalui pemerhatian penulis,kehadiran pendengar dianggarkan sekitar 400 hingga 500 orang ketika ceramah dimulakan.Kewujudan beberapa buah gerai makan dan lain-lain gerai merancakkan lagi suasana pada malam itu.Berkebetulan juga,pada waktu yang sama berlangsung satu lagi siri ceramah di Taman Melati,Gombak yang menampilkan Anwar Ibrahim melalui pendedahan Wikileaks.Justeru,kehadiran pendengar dari kawasan sekitar Gombak dan Batu mungkin terpecah dua.Pun begitu,kemuncak ceramah di Taman Melewar menyaksikan kehadiran mencecah hampir 800 orang berkemungkinan mereka yang hadir dari ceramah Anwar yang tamat pada jam 10.30 malam.

Dua minggu sebelumnya pula,penulis telah menghadiri satu siri ceramah umum di Jalan Gurney dalam Parlimen Titiwangsa yang dianjurkan oleh Pas Kawasan Titiwangsa.Ceramah tersebut adalah berhampiran dengan kawasan Lembah Keramat.Ceramah tersebut yang menampilkan Saudara Herman Shamsuddin,Haji Muhammad bin Sabu dan Ustaz Azman Shapawi bin Abdul Rani itu bertemakan Isu Bantahan Kenaikan Tarif Air di Selangor dan nasib melayu di Kuala Lumpur.

Kehadiran pendengar dalam ceramah itu tidaklah sebegitu ramai.Kalau hendak dicongak satu persatu,boleh dikatakan kehadiran pendengar berada dalam lingkungan 150 orang sahaja.Tempat ceramah yang terletak dalam kawasan tertutup dan berhampiran dengan kawasan lalu lintas utama menggangu pemerhatian pendengar dengan suasana bising kenderaan yang lalu lalang.

Dua minggu lepas pula,penulis sempat pula menghadiri satu lagi siri ceramah umum anjuran Pas Kawasan Petaling Jaya Selatan di Taman Medan.Ceramah tersebut telah disampaikan oleh dua orang penceramah iaitu Ustaz Azrul Hakim Suradi,AJK DPP Selangor dan Ustaz Sidek Noor,mantan Pesuruhjaya Pas Negeri Perak.

Pada mulanya,penulis tidak bercadang untuk ke ceramah tersebut,memandangkan tiada nama besar (satu pandangan yang silap) yang hadir berceramah pada malam itu.Walaubagaimanapun,pandangan itu nyata tidak tepat apabila penulis cukup terkesan mendengar ceramah daripada kedua-dua mereka yang dianggap mempunyai gaya dan persembahannya yang tersendiri.Ucapan yang masih diingati sampai saat ini adalah daripada Ustaz Sidek yang memberi satu perumpamaan:

"Umno menganggap rakyat seperti tepung roti canai.Semasa diuli,tepung dibelai dengan lembut diuli.Selepas diuli,tepung disimpan rapi pula semalam dengan diselimutkan pula dengan tuala putih good morning.Tapi itu cuma semalaman.Keesokan harinya,tepung ditekan-tekan,dilenyek-lenyek dan dilambung-lambung. Kemudiannya pula dibakar di atas kuali panas.Apabila diangkat,ditampar-tampar dan dicarik-carik pula. Begitulah rakyat diibaratkan seperti roti canai.Diuli lembut hanya ketika berkempen pilihanraya.Dijaga rapi hanya ketika hari membuang undi.Selepas itu,ditampar,ditekan,dilenyek dan dicarik-carik sehingga lumat. Begitulah politik roti canai yang telah diamalkan oleh Umno selama ini."

Ceramah pada malam itu diadakan di Markaz Pas PJS di Taman Medan.Kedudukannya berhadapan dengan lot-lot parkir kereta yang luas,dikelilingi oleh kawasan flat-flat perumahan.Cuacana malam itu boleh dikatakan redup dengan hujan lebat sebelumnya.Apa yang boleh diperhatikan pada malam itu juga,kehadiran para hadirin pada dasarnya adalah tidak begitu memuaskan bagi sebuah Dun yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Jika dicongak,jumlah kehadiran pendengar berada dalam lingkungan 160 orang sahaja.Itupun tidak dilihat ramai apabila para pendengar berselerak di kawasan sekitar.Apapun,kiraan itu mungkin silap jika hendak dikira sama jumlah pendengar yang turut memasang telinga dari dalam rumah pangsapuri belasan tingkat tersebut.

Dalam minggu terakhir bulan Disember pula,pada hari Khamis yang lalu,berkebetulan penulis sempat pula untuk menghadiri satu lagi siri ceramah yang diadakan di Batu 16 Dusun Tua dalam Parlimen Hulu Langat yang menampilkan Cikgu Badrul Hisham Shaharin dan Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi.Penulis walaubagaimanapun gagal untuk hadir awal dan hanya tiba ketika ceramah tersebut hampir di penghujungnya. Dusun Tua adalah satu Dun di Selangor yang dikuasai oleh Umno melalui wakilnya Ismail Sani.

Dalam ceramah tersebut,Ustaz Nasruddin walaubagaimanapun tidak hadir berkemungkinan kerana menghadapi masalah banjir di kawasan perumahannya di Kuantan dan diganti dengan pemimpin pemuda Pas yang lain iaitu Ustaz Kamal Ashaari.Secara jujurnya,penulis berasa terkejut dengan kehadiran pengunjung pada malam tersebut. Jumlah pendengar boleh dikatakan tidak melebihi 50 orang sahaja,satu jumlah yang kecil untuk negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.Kawasan Batu 16 walaupun agak ke dalam ke arah Pangsun Hulu Langat, mempunyai jumlah penduduk yang agak ramai terutamanya berhampiran Pekan Batu 14,dua batu daripada kawasan tersebut.

Jumlah kehadiran yang terlampau kecil itu penulis rasakan seperti berada di negeri Johor,di mana para pendengar ceramahnya boleh dibilang dengan jari.

INILAH PANDANGAN JUJUR PENULIS

Secara peribadinya,penulis merasakan bahawa Pas mahupun Pakatan Rakyat itu sendiri tidaklah begitu kuat di Selangor.Begitu juga dengan Umno.Jika kehadiran pendengar ke program ceramah mana-mana parti boleh dikira sebagai indikator dan indeks,maka Umno dilihat lebih lemah berbanding Pas di Selangor itu sendiri. Apapun,kekuatan mana-mana parti kini bergantung kepada majoriti pengundi atas pagar yang bersikap non-partisan.Inilah kunci utamanya.

Penulis pernah meramal sedikit prediksi mengenai peluang Pakatan Rakyat mengekalkan Selangor dalam entri yang lalu. Dalam tulisan tersebut,penulis meramalkan bahawa kedudukan kerusi dalam Pilihanraya ke 13 nanti dilihat tidak banyak berubah berbanding sekarang.Asasnya boleh diketahui secara lebih terperinci dalam entri tersebut.Pakatan Rakyat dijangka akan melonjakkan lagi sokongannya dari kalangan pengundi Cina,namun bakal menghadapi undi tepecah-pecah dalam kalangan masyarakat India.Mengapa undi India terpecah? Hal ini ada asasnya.Undi India meningkat naik kepada Pakatan Rakyat dalam PRU 12 adalah kerana satu asas iaitu momentum perhimpunan Hindraf pada akhir 2007 yang berjaya menjadi faktor penolak India kepada Barisan Nasional.

Walaubagaimanapun,usaha bersungguh Najib untuk membina imej dalam kalangan masyarakat India selain mengendurnya momentum Hindraf 2007 menyaksikan bahawa undi India mula kembali kepada Barisan Nasional.Asas ini bukan rekaan penulis.Untuk mendapatkan bukti yang jelas,pembaca boleh melihat trend undi India dalam dua PRK lepas di Hulu Selangor dan Bagan Pinang yang menunjukkan bahawa Barisan Nasional telah berjaya mencuri kembali undi India.Jika pembaca mahu mendapatkan kajian yang lebih, pembaca boleh memerhatikan trend undi India dalam PRK Tenang selepas ini.

Bagaimana pula undi Melayu?Undi Melayu secara peribadinya penulis bahagikannya kepada dua kelompok, bandar dan luar bandar.Undi Melayu luar bandar diketahui condong kepada Umno manakala undi Melayu bandar terpecah kepada dua.Walaubagaimanapun,undi Melayu bandar dalam PRU 12 dilihat condong kepada Pas dan PKR,menyebabkan Pakatan Rakyat menang di kerusi Melayu Bandar seperti Gombak Setia, Batu Caves,Bukit Antarabangsa,Dun-dun di kawasan Ampang,Shah Alam dan Petaling Jaya Selatan. Asas ini jika digunapakai dalam PRK Hulu Selangor dilihat masih ada apabila calon PKR masih memperoleh undi yang tinggi di kawasan Bukit Beruntung dan Taman Bunga Raya.

Oleh itu,berdasarkan pemerhatian jujur penulis dalam empat siri ceramah Disember lalu,dijangkakan peluang Pas masih cerah di kawasan Melayu Bandar seperti dalam kajian kes di ceramah Pas di Taman Melewar. Di kawasan Petaling Jaya Selatan pula,penulis melihat akan adanya pertentangan sengit Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.Di kawasan pedalaman pula (seperti di Dusun Tua),Umno dijangka masih mampu mengukuhkan tapak mereka itu jika dilihat daripada dakyah berterusan mereka mengatakan bahawa Pakatan Rakyat sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Perspektif jujur ini menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat sebenarnya perlu risau dan meningkatkan gerak kerja untuk memenangi hati pengundi,bukan hanya kepada para penyokong tetapi lebih daripada itu,mencuri undi golongan atas pagar yang sebenarnya membentuk majoriti di Selangor.

Percayalah pada kekurangan,dan kita bergerak ke arah kesempurnaan.

2 ulasan:

Anonymous,  January 8, 2011 at 6:00:00 AM PST  

Salam,

Saya setuju dengan penulis.
Sebenarnya nak dapat sokongan melayu PAS kena jelaskan apa yang ia boleh buat dekat orang melayu kalau perintah ....saya bagi contoh kalau PR perintah ...apakah agensi macam MARA akan diteruskan ..kita tahu MARA byk tlg orang melayu cthnya saya sendiri ..info mcm ni kena disebarkan secara terus menerus dgn pelbagai cara supaya orang melayu jelas. Sekarang saya rasa benda ni tak berlaku ditambah pula propaganda media kerajaan so objektif kena jelas dan biar sampai .

Anonymous,  September 30, 2011 at 3:26:00 AM PDT  

saya org pas...dan org pas bukan penipu macam kamu, kami cakap terusterang kami nak islam dan kami taknak umno yg tidak percaya islam boleh perintah dgn betul. haha...obvious gle blog blog penipu =P wassalam.

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP