This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

CATATAN SORE : MENANTI SUBUH BUAT "KITA",SEIRING SEJALAN ZAID DAN AKIM..

Wednesday, December 15, 2010

Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) adalah parti serpihan Pas yang ditubuhkan di Kelantan pada 16 Februari tahun 1995 dan pernah bertanding dalam Pilihanraya Umum 1999 di Kota Bharu dan Pasir Puteh,tetapi kalah di kedua-dua tempat.Di Kota Bharu,calon Akim ketika itu,Mohd Din Nizam Din tewas kepada calon PKR,Ramli bin Ibrahim dan hilang wang deposit setelah hanya mengumpul 409 undi.Di Pasir Puteh pula,calon mereka Hasim bin Othman juga tewas dan hilang deposit setelah hanya mengumpul 274 undi sahaja.Untuk rekod,AKIM tidak bertanding dalam PRU 2004 dan 2008.


Pun begitu,kemunculan semula parti tersebut dalam arena politik negara berlaku apabila Presidennya,Hanafi Mamat bertanding dalam Pilihanraya Kecil Parlimen P044 Permatang Pauh menentang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon BN Datuk Ariff Shah hampir dua tahun yang lalu.Walaubagaimanapun, Hanafi tewas di tangan Anwar selain hilang deposit setelah hanya mendapat 92 undi sahaja dalam pilihanraya tersebut.Dalam PRK Kuala Terengganu pula,AKIM yang pada mulanya berhasrat untuk bertanding dalam pilihanraya tersebut telah membatalkan hasrat mereka setelah Naib Presidennya ketika itu,Harun Mohamad yang juga Pesuruhjaya AKIM negeri Terengganu menarik diri dan bertindak menyokong calon Pas.AKIM juga dikatakan berhasrat meletakkan calon dalam PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau, walaubagaimanapun gagal berbuat demikian.

Apappun,kehadiran AKIM dalam beberapa siri Pilihanraya kecil dilihat sebagai usaha pemanas badan mereka untuk lebih menonjol dalam pentas politik negara,dilihat bertujuan meraih populariti dan menaikkan nama parti memandangkan siri-siri pilihanraya kecil menjadi tumpuan rakyat Malaysia.Sebagai pengamat politik, mana-mana pihak pasti bertanya mengapa AKIM mulai senyap selepas PRK Kuala Terengganu dan tidak lagi berminat untuk menyertai baki pilihanraya kecil lain terutamanya di Kelantan iaitu Manek Urai dan Galas.Rupa-rupanya,parti tersebut menghadapi krisis dalaman yang serius dan dilihat baru keluar daripada krisis tersebut.Tampuk presiden partu juga telah bertukar tangan daripada Hanafi Mamat kepada Zakaria Salleh.Berikut adalah senarai presiden AKIM semenjak penubuhannya pada tahun 1995:

1995-1998 - Allayarham Musa Salleh (bekas YDP Pas Pasir Puteh)
1998-1999 - Mohd Din Nizam Din
1999-2002 - Mohammad Yusoff
2002-2009 - Hanafi Mamat
2009-2010 - Zakaria Salleh

Untuk rekod,AKIM mendakwa mereka mempunyai seramai 10 000 orang ahli berdaftar,kebanyakannya bekas ahli Pas dan ahli-ahli Hamim,Berjasa dan Semangat 46.Pun begitu,kesahihan jumlah ahli tersebut masih dipertikaikan memandangkan calon-calon mereka sentiasa hilang wang deposit dalam pilihanraya yang disertai.Dalam tahun 1999,krisis dalaman AKIM telah berlaku di mana berlaku pertikaian terbuka antara penyokong presiden dan naibnya ketika itu di mana terdapat pihak mendakwa ada yang bukan ahli menyertai perhimpunan agung luar biasa (EGM) di Dewan Perhimpunan Perempuan Jalan Mahmood.Dalam PRU 1999 juga,gabungan lima parti serpihan Pas yang diketuai Akim itu juga telah bertindak menubuhkan Angkatan Insaf Rakyat bagi menentang Pas Kelantan,namun ternyata gabungan tersebut hanyalah sebuah gimik politik dan langsung tidak mendapat perhatian pengundi di Kelantan.


Hari ini,satu lagi mesyuarat Agung Luar Biasa AKIM diadakan di Tropicana Golf and Country Resort di Kuala Lumpur bagi membolehkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas calon Timbalan Presiden PKR,Datuk Zaid Ibrahim dilantik menjadi Presiden AKIM yang baru.

Mesyuarat yang berlangsung pagi tadi dilihat tiada masalah menaikkan Zaid sebagai Presiden dan menyaksikan beberapa kejutan baru diumumkan oleh Zaid.Pertamanya,Akim bakal ditukarkan namanya kepada Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan bakal didaftarkan sedikit masa lagi.Tambah Zaid juga,perubahan logo akan dilakukan selain menggubal perlembagaan parti yang baru bagi membolehkan parti tersebut menjadi parti pelbagai kaum yang bersifat nasional.Zaid yang dilantik sebagai Presiden Akim yang keenam dilihat menjenamakan semula Akim daripada sebuah parti yang bersifat lokal kepada lebih liberal.


KITA dijangka akan mendaftarkan parti baru mereka itu kepada ROS Januari depan,di mana struktur parti tersebut dibentuk dengan Zaid sebagai Ketua Parti,Rashid Azad Khan sebagai Bendahari Pusat dan dua orang anggota eksekutif iaitu Muhammad Firdaus Abdullah dan Abdul Malek Shamsuddin.KITA dijangka akan membuka cawangannya di seluruh Malaysia,namun parti tersebut hanya akan membentuk sebuah cawangan bagi setiap negeri.

Persoalannya sekarang,adakah Zaid akan membawa KITA ke landasan yang betul atau Zaid hanya akan merosakkan parti tersebut yang tenggelam timbul selama ini?Lebih daripada itu,mengapakah AKIM sanggup menerima Zaid?

Pada pandangan peribadi penulis,AKIM adalah sebuah parti yang kecil.Mereka tidak dapat bergerak maju disebabkan dua faktor besar,pertama kurangnya pengaruh kepimpinan dan kedua yang lebih besar adalah soal kewangan.Sebagai contoh,bekas Presiden AKIM,Hanafi Mamat adalah bekas mudir pondok dan hanya menjalankan perniagaan runcit.Dengan sumber kewangan yang terhad,beliau bertanding dalam PRK Permatang Pauh dan akhirnya hilang wang deposit beliau sebanyak RM10 000.Ditaja atau tidak,bukan isunya tetapi apa yang cuba ditonjolkan adalah betapa perjuangan AKIM selama ini adalah sukar memandangkan mereka tidak memiliki sumber kewangan yang baik.

Justeru,kedatangan Zaid ke dalam parti tersebut adalah bagaikan pucuk dicita ulam mendatang.Zaid dan AKIM saling memerlukan.Zaid perlukan tapak dan AKIM semestinya mahukan sumber kewangan yang kukuh untuk menyertai gelanggang politik tanah air.

Selain itu juga,Zaid adalah seorang pemimpin nasional.Populariti Zaid tersebut adalah penting buat AKIM dalam menjenamakan semula parti tersebut yang baru sahaja keluar daripada krisis kepimpinan sebelum ini. Maka,AKIM mungkin akan menjadi satu parti baru yang menyengat,kalau kena gayanya.Jika terdapat usaha mengangkat imej KITA seperti yang diperoleh oleh Perkasa,maka sudah tentu KITA bakal menjadi saingan "third force" dalam politik tanah air.Pun begitu,adakah KITA akan menyinar atau Zaid sendiri akan tenggelam bersama-sama "kekitaan"nya?

Inilah yang menarik untuk diperhatikan.

Secara umumnya,pengamatan penulis secara jujur mengatakan bahawa Zaid bukanlah orang yang sesuai untuk AKIM,meskipun Akim dan Zaid saling memerlukan.Mengapa penulis berkata demikian?Pertama,kita mesti melihat kepada matlamat dan penubuhan Akim itu sendiri.

a)Matlamat Akim adalah memperjuangkan keadilan berasaskan Islam
Akim adalah parti serpihan Pas.Ini adalah realitinya di mana Akim ditubuhkan oleh YDP Pas Pasir Puteh sendiri pada ketika itu,Allahyarham Musa Salleh.Semestinya,perlembagaan Akim itu menekankan konsep perjuangan Islam dan jika kita masih ingat,Hanafi Mamat dalam PRK Permatang Pauh mengatakan bahawa parti mereka cuba menonjolkan keadilan-keadilan yang dianjurkan di dalam Islam.

Masyarakat juga secara umumnya juga tahu siapa Zaid.Beliau adalah seorang golongan profesional yang liberal dan terbuka.Jika pemimpin Islam lain memilih untuk menggunakan Al-quran sebagai hujjah,Zaid kelihatan lebih merujuk kepada Perlembagaan sesuai dengan dirinya seorang peguam.Penulis rasakan AKIM adalah bukan tempatnya buat Zaid,paling kurang beliau perlu menyertai DAP atau menubuhkan sebuah parti seperti itu.Malah,tindakan beliau yang cuba menyaman kerajaan Pas Terengganu yang memperkenalkan undang-undang Islam masih dirasai oleh penyokong Pas ketika ini.Walaupun beliau mengatakan bahawa tindakannya adalah selari dengan undang-undang (di mana enakmen yang diwarta oleh mana-mana negeri, jika didapati bercanggah dengan perlembagaan,maka ianya akan terbatal secara sendirinya),tindakannya yang dilabel sebagai tidak begitu berhemah itu memberi kesan kepada penilaian masyarakat terhadap keperibadiannya.

Apa yang membimbangkan penulis,tindakan Zaid yang bakal mengubah perlembagaan Akim selepas ini hanya akan menyebabkan penentangan dari dalam parti itu sendiri,sedangkan apa yang kita tahu Akim sememangnya telah berkrisis semenjak daripada dahulu.Jika Zaid yang liberal mahu menjadikan parti itu liberal,maka dikhuatiri ia hanya akan menyebabkan Akim menyimpang daripada matlamat perjuangan asal mereka sendiri.

b)Akim Dilihat Pro-BN
Dalam PRK Hulu Selangor,Akim mengambil keputusan untuk tidak bertanding,namun menyatakan sokongan mereka secara terbuka kepada Barisan Nasional.Oleh itu,tindakan Akim tersebut dilihat umpama meludah ke langit,terpalit di muka apabila jika dahulunya jika Zaid tidak diterima dan tidak disokong,kini mereka sanggup menyambut tangan Zaid ke pangkuan mereka.

Sokongan terbuka Akim buat Barisan Nasional juga akan menentukan ke mana hala tuju Akim,mahu bergerak sendirian,atau menyertai Barisan Nasional seperti yang dilakukan selama ini?Oleh itu,politik nilai dan kejujuran akan menjadi cabaran utama buat kepimpinan KITA dalam merealisasikan cakap-cakap mereka selepas ini.Janganlah terus dengan cakap tidak serupa bikin.

c)Ujian Allah pada Zaid
Barang ditakdirkan Allah,kemasukan Zaid ke dalam Akim ini adalah ujian Allah,bagi membolehkan masyarakat di negara kita memikirkan tentang seorang politikus bernama Zaid Ibrahim ini.Jika dahulu dia mengatakan beliau berprinsip dan kecewa dengan ketidakadilan dalam PKR,cabaran terletak di pundaknya untuk menjadikan KITA sebagai parti paling adil dan sejahtera di Malaysia sesuai dengan namanya yang mahu mensejahterakan tanah air.

Apapun,masih terlalu awal untuk menghukum seorang Ketua Parti baru yang bernama Zaid Ibrahim.Berikan peluang untuk beliau membina kekuatan dan moga-moga sejahteralah Malaysia hendaknya.Semoga akan Subuh menjelang buat Zaid,dan ketika itu beliau boleh melihat cahaya-cahaya keadilan memancar ke segenap pelusuk raya.

dicatat oleh,
Anak Dagang di Bumi Sendiri.

catatan ketika sore,
sebelum fajar menyinsing.


catatan hujung:
Hanafi Mamat masih Presiden yang sah dan diakui oleh ROS Kelantan.Matlamat perjuangan Akim ialah Islam,bukan sosialis.Boleh baca di Malaysiakini.

0 ulasan:

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP