This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

PENDIDIKAN SEKS:GULAI MASIN DITAMBAH GULA,HABIS PUNAH

Wednesday, December 1, 2010


Sistem pendidikan Malaysia dikhabarkan berada pada tangga kelapan terbaik di dunia.Pun begitu,sistem pendidikan negara dilihat terlalu bereksperimentasi  dalam melaksanakan dasar-dasar pendidikan negara.Pada dasarnya,empat subjek menjadi teras utama dalam sistem pendidikan Sekolah Kebangsaan (Rendah) merangkumi pembelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman dan Penulisan),Matematik,Sains dan Bahasa Inggeris. Seterusnya,subjek lain yang dianggap penting adalah subjek Pendidikan Islam.Selain itu juga,murid-murid Tahap Dua juga didedahkan dengan beberapa subjek tambahan seperti Kajian Tempatan,Kemahiran Hidup selain Pendidikan Jasmani dan Kesihatan bagi kesemua tahap Satu dan Dua.Berikut adalah senarai matapelajaran teras dan wajib seperti yang terkandung dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR):

 Mata Pelajaran Teras:

           1. Bahasa Melayu
           2. English Language
           3. Bahasa Cina (SJKC)
           4. Bahasa Tamil (SJKT)
           5. Mathematics
           6. Science
           7. Pendidikan Islam
           8. Pendidikan Moral

        Mata Pelajaran Wajib:

           1. Pendidikan Jasmani
           2. Pendidikan Kesihatan
           3. Pendidikan Seni Visual
           4. Pendidikan Muzik
           5. Kajian Tempatan (Tahap Dua)
           6. Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan



Selain itu,untuk rekod juga,rata-rata sesi persekolahan bagi tahap Satu kebiasaannya bermula jam 7.45 pagi dan berakhir jam 12.45 tengahari manakala bagi murid Tahap Dua pula kebiasaanya akan tamat persekolahan sekitar jam 1.15 minit tengahari.Oleh itu,purata jam persekolahan bagi murid-murid Tahap Satu adalah sekitar lima jam sehari manakala bagi murid Tahap Dua adalah sekitar lima jam tiga puluh minit.Waktu ini juga belum dicampur dengan waktu kokurikulum sekurang-kurangnya dua jam setiap minggu selain kelas J-Qaf (KAFA) pada sebelah petang.Penulis masih ingat tentang perbualan dengan seorang guru di salah sebuah sekolah rendah yang mengatakan betapa waktu P&P,pengajaran dan pembelajaran adalah tidak mencukupi terutamanya bagi pelajar Tahap Dua.Bayangkan,satu waktu dalam jadual P&P adalah bersamaan dengan tiga puluh minit di sekolah rendah.Setiap minggu,kebiasaannya sesuatu subjek teras diberi masa sebanyak lima hingga enam waktu setiap minggu.

Contohnya,guru terbabit adalah seorang guru Bahasa Melayu untuk murid Tahun Enam.Memandangkan tahun tersebut adalah tahun penilaian UPSR bagi murid-murid,usaha yang lebih diperlukan untuk proses pembelajaran dan latihtubi memandangkan Bahasa Melayu bakal menyumbangkan dua A kepada murid-murid.Pun begitu,dengan masa yang amat terhad,masa mengajar adalah sangat terhad kerana wujudnya subjek-subjek sampingan yang banyak.Untuk rekod,seorang murid Tahun Enam di sebuah sekolah kebangsaan akan mempelajari lima matapelajaran teras dan lima matapelajaran "wajib" yang ditetapkan kementerian.Apapun,subjek-subjek "wajib" ini akan menjadi tidak wajib lagi apabila guru-guru matapelajaran teras akan mengambilalih kelas tersebut yang dianggap tidak berapa penting dan diganti dengan apa yang lebih penting untuk kelas-kelas peperiksaan.Lalu persoalannya kini,apakah rasionalnya matapelajaran tambahan di sekolah?Adakah ia pelengkap sahsiah dan jatidiri murid ataupun sekadar bebanan buat guru-guru semata-mata?

Bermula Januari 2011,satu lagi subjek wajib baru akan mula diperkenalkan di sekolah bagi murid tahun Satu iaitu Pendidikan Seks.Setakat ini,perlaksanaan pendidikan seks di sekolah masih kabur perlaksanaannya tanpa kurikulum yang jelas,walaubagaimanapun akan terjawab sebulan daripada sekarang.Apa yang hendak ditekankan di sini,bukanlah pro dan kontra yang diceritakan orang,tetapi realiti di sebalik apa yang berlaku di bawah bumbung setiap sekolah di Malaysia.

MATAPELAJARAN TAMBAHAN BERSIFAT LEPAS TANGAN?


Sebelum perkara ini dibincangkan,perlu dijelaskan bahawa sistem pendidikan negara adalah sebuah sistem berasaskan peperiksaan.Walaupun sistem ini bakal berubah,namun sistem lama masih lagi digunapakai.Oleh itu,dalam sistem pendidikan masa kini,ibu bapa tidak begitu mementingkan kebolehan dan bakat anak-anak seperti yang ingin dicapai dalam pendidikan tambahan tetapi lebih memberi penekanan terhadap prestasi anak-anak dalam subjek-subjek teras yang berorientasikan peperiksaan.Ibu bapa tidak berbangga jika lukisan dan pengetahuan am anak mereka mendapat markah A,tetapi mereka peduli jika anak mereka mendapat cukup makan dalam Sains dan Matematik,dan inilah hakikatnya.

Penulis kira,kita semua pernah bersekolah.Pendidikan Muzik contohnya,jarang antara kita yang bersungguh memahami not-not rekorder yang diajar,cukuplah sekadar mengingati lirik lagu-lagu patriotik Anak Kecil Main Api.Malah,ada juga guru-guru yang mengambil peluang waktu ini untuk bercerita kosong bersama muridnya selain bermain permainan menguji minda dan inilah realitinya.Kajian Tempatan,Pendidikan Sivik dan terbaru Pendidikan Seks akan dianggap waktu senggang dalam sesi persekolahan.Apa yang nampak konsisten sedikit pun adalah Pendidikan Jasmani.Itupun kerana istiqamah murid-murid untuk bersuka ria.Inilah realitinya.Kenapa menjadi begini?

Salah satu punca yang jelas adalah kerana guru yang mengajar subjek-subjek tersebut adalah bukan guru opsyen bagi matapelajaran tersebut,malah kebiasaannya guru-guru ditangkap muat dan dihantar berkursus sebulan dua bagi mengajar subjek Sivik dan lain-lain.Bagi guru tersebut pula,mengajar subjek-subjek tambahan adalah seperti satu bebanan memandangkan mereka juga adalah menjadi pengajar untuk subjek teras selain perlu melakukan kerja-kerja perkeranian dan pengurusan.Malah,ada guru yang dianggap serba boleh kerana dalam satu tahun beliau dikehendaki mengajar tiga subjek sekaligus termasuk Bahasa Melayu,Matematik dan Pendidikan Seni.

Oleh itu,kehadiran subjek pendidikan seks ini tidak lain dan tidak bukan hanya akan menambah bebanan guru kerana jika difikirkan secara logik,apakah ada guru yang opsyen majornya adalah pendidikan seks semata-mata?Lulusan Ijazah Seks mungkin?Pastilah mereka ini guru-guru yang telah mengajar sebelum ini dan akhirnya menjadi guru seks bidan terjun.Kementerian Pelajaran perlu sedar betapa kita telah terlalu banyak memberi bebanan terhadap guru-guru selain menambahkan kos mengurus kementerian setiap tahun dengan adanya subjek baru di sekolah.Mahu tidak mahu,semestinya Bahagian Pendidikan Seks akan mula ditubuhkan di setiap Pejabat Pelajaran Negeri dan Daerah bagi memantau perlaksanaannya.Selain itu,kerajaan akan membawa pembaziran baru dengan menyediakan beribu-ribu buku teks baru selain alat bantu mengajar yang lain.Itu juga belum dikira dengan keperluan latihan kepada guru-guru untuk mengajar mereka mengajar pendidikan seks itu nanti.

Dengan perbelanjaan besar tentunya,adalah malang subjek ini bukan sahaja tidak mencapai matlamat pembelajarannya malah lebih daripada itu menjadi subjek gajah putih (ambil syarat) di sekolah.Mahu bukti? Lihat sahajalah Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang diperkenalkan semula pada tahun 2005 yang lalu.Adakah pelajar sekarang dilihat lebih bersivik ataupun sama sahaja seperti sebelum subjek tersebut diperkenalkan.Bayangkanlah,di kebanyakan sekolah pada hari ini,ada para pelajarnya tidak pernah membelek buku teks Sivik bermula daripada awal tahun sehingga ke penghujungnya.Dan nasib Pendidikan Seks juga akan kekal serupa.Kementerian perlu didesak melaporkan di Parlimen tentang kedapatan hasil daripada pengenalan PSK lima tahun yang lalu sebelum mengemukakan subjek yang lain pula.Kelemahan kementerian di Malaysia adalah mereka kerap bereksperimentasi sehingga tidak memikirkan untung rugi dalam sesuatu perkara.Contoh terdekat adalah PPSMI yang bakal dimansuhkan selepas ini.


PERLAKSANAAN KABUR PENDIDIKAN SEKS DI SEKOLAH RENDAH




Pendidikan Seks seawal usia tujuh tahun di sekolah adalah satu tindakan yang kurang tepat dan tidak berapa kena.Subjek ini mungkin lebih sesuai untuk diajar ketika seorang pelajar berusia tiga belas tahun iaitu ketika mereka berada dalam lingkungan "peralihan usia" daripada kanak-kanak kepada seorang remaja.Tatkala itulah,otak seorang pelajar mula berfikir ke arah gender dan seks seperti yang kita semua sedia maklum. 


Kekaburan perlaksanaan pendidikan seks di sekolah pada waktu ini juga dilihat dibuat secara tergesa-gesa di mana ibu bapa masih belum didedahkan dengan kurikulum asas yang terkandung dalam matapelajaran tersebut walhal ianya akan mula dilaksanakan sebulan daripada sekarang.Persoalannya,apakah model dan jenis penerapan yang bakal digunakan Kementerian.Sekiranya silibus negara-negara Eropah digunapakai,itu adalah suatu yang silap kerana negara-negara tersebut memperkenalkan pendidikan seks bukan bertujuan menghalang pergaulan bebas dan seks dalam kalangan pelajar tetapi hanyalah semata-mata untuk menghalang perlakuan seks bebas dan mempromosi seks yang selamat dalam kalangan pelajar.


Misalnya,dalam filem 17 Again,terdapat satu babak di dalam kelas di sekolah tinggi di mana memaparkan babak proses pembelajaran pendidikan seks di sekolah.Apa yang mengejutkan,guru yang mengajar telah mengeluarkan sebuah bekas besar yang mempunyai kondom dan membahagikannya kepada para pelajarnya. Babak dalam filem tersebut sendiri mencerminkan apa yang mereka mahu daripada apa yang perkenalkan tetapi penulis percaya kita di Malaysia tidaklah sampai ke tahap itu tetapi asasnya ada untuk kita perhatikan.


Pendidikan Seks:Lauk yang Masin ditambah Gula




Perumpamaan menambah gula dalam semangkuk lauk yang terlampau masin adalah satu analogi mudah yang perlu difikirkan bersama.Katakanlah,kita mempunyai semangkuk gulai yang masin.Untuk menghilangkan masin tersebut,kita lantas menambah gula dan akhirnya gulai tersebut tidak disentuh oleh kita kerana ternyata kita langsung merosakkan terus rasa gulai tersebut. Masin bercampur manis,hampir serupa dengan pengat.Dalam keadaan begitu kita tidak terfikir pula untuk menambah sedikit air dan santan ke dalam gulai tadi.Begitulah jadinya jika gopoh dan tidak berilmu.


Sepatutnya,untuk membendung gejala seks bebas bukan dengan memberi kondom dan memberikan pendidikan seks.Itu adalah mazhab sekular anutan mereka yang tudak beragama.Selaku penganut agama Islam dan mereka yang berpegang pada adat tradisi,  Islam adalah sebaik-baik penyelesaian terhadap permasalahan ini.Pendidikan Seks boleh didedahkan,(malah sebenarnya telahpun diajar sekian lama dalam Bab Hadas Besar pada Darjah Tiga).Adakah Kementerian sendiri terlepas pandang betapa Pendidikan Islam di sekolah telah menceritakan Fekah berkaitan Hadas dan Mandi ini seawal usia sembilan tahun?Malah,ketika di Tingkatan Satu,pelajar mula diceritakan dengan homoseksual dalam kisah Nabi Luth dan kaumnya.Jika benar kerajaan benar-benar bersungguh melaksanakan pendidikan seks,mediumnya telah ada,iaitu tidak lain dan tidak bukan iaitu Pendidikan Islam, Moral selain Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.


Mengapa perlu kita membazir wang,tenaga dan masa?

0 ulasan:

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP