This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

GENERASI ULUL ALBAB VS GENERAK DI TERENGGANU

Wednesday, November 10, 2010

Terengganu pimpinan Datuk Menteri Besar Ahmad bin Said terus mencipta sejarah dan memahat tamadun. Baru-baru ini,khabarnya seramai 16 929 orang murid KAFA telah berjaya mengkhatamkan al-quran secara serentak di beberapa venue terpilih di seluruh negeri.Apa yang lebih menarik perhatian adalah konsep khatam yang diperkenalkan tahun ini adalah lain daripada yang lain iaitu khatam secara berteknologi.Murid-murid KAFA ini,bermula daripada murid tahun Satu hingga Enam telah mengkhatamkan bacaan mereka menggunakan e-book,sesuatu yang baru dan berevolusi dalam pembacaan al-quran di peringkat sekolah.Apapun,penulis terfikir juga sekali dua,jika murid tahun Lima dan Enam mungkin mereka mempunyai e-book,tapi di manakah pula murid tahun Satu,Dua,Tiga dan Empat yang khatam mengambil e-book. Oh,mungkin mereka meminjam e-book abang dan kakak mereka agaknya.

KISAH E-BOOK DAN KHATAM ZAMAN IDRIS JUSOH

Projek Khatam al-quran beribu-ribu murid ini pada dasarnya adalah bermula pada zaman Idris Jusoh.Penulis masih ingat,pada tahun 2004 penulis turut berkesempatan hadir mengikuti Program Khatam Al-Quran pertama di era Islam Hadhari di Terengganu.Peristiwa enam tahun lalu itu masih boleh penulis ingati dengan jelas.Ketika itu,penulis menemankan jiran penulis,seorang ustaz yang membawa beberapa orang murid tahun Enam termasuk adik penulis ke Masjid Ladang di Kuala Terengganu.Ketika itu bulan Ramadhan.

Majlis khatam al-quran itu hanyalah selang enam bulan selepas UMNO berjaya menduduki semula Terengganu pada tahun 2004.Ketika itu,exco Islam Hadhari Haji Ramli Nuh menyampaikan ucapan dengan kesungguhannya menyampaikan konsep Islam Hadhari kepada para hadirin.Walaubagaimanapun,apa yang menariknya,program di bawah kelolaan Wisma Darul Iman itu dibuat secara kelam kabut di mana setiap sekolah diminta menghantar empat wakil,dua lelaki dan dua perempuan,dan bila dicampur-campur,maka cukuplah beribu-ribu murid tahun Enam di sana termasuklah separuh yang diimport dari sekitar Kuala Terengganu.Apa yang menariknya lagi,pemilihan itu bersikap ikut suka,di mana murid yang dibawa tidak semestinya benar-benar khatam,cukuplah sekadar pandai membaca bertujuan "meramaikan" sahaja peserta program tersebut.Malah,adik penulis yang tajwidnya masih lintang pukang dipilih mewakili sekolah atas kapasitinya sebagai ketua pengawas.Itulah ceritanya "batch" pertama generasi Ulul Albab Idris Jusoh,di mana tahun-tahun berikutnya menyaksika jumlah khatam al-quran berkali ganda,malah menjadi modal dan berita di tepi-tepi jalan utama Terengganu.

Kisah e-book juga tidak kurang menariknya.Baru-baru ini kita turut disajikan dengan berita mengenai skandal ebook Terengganu di bawah kendalian syarikatnya iaitu Top IT Sdn Bhd.Seperti yang didedahkan Jabatan Audit Negara dan ADUN Batu Buruk,Dr.Syed Azman Syed Nawawi,terdapat keraguan yang jelas dalam skandal ebook ini di mana jumlah asal yang menelan RM30 juta telah mendadak naik sehingga RM87.95 juta.Selain itu,kualiti ebook dan kelewatan juga menjadi isu yang dibangkitkan.Malah,seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara bagi Audit tahun 2009,peratusan pelajar yang membawa ebook ke sekolah adalah rendah dengan alasan yang pelbagai termasuklah masalah ketiadaan soket mengecas di sekolah selain masalah kerosakan yang kerap berlaku.

Pemberian ebook secara umumnya mengandungi pro dan kontra yang tersendiri.Sebenarnya,perisian pendidikan di dalam ebook tersebut adalah boleh dipuji,lengkap dengan sistem kamus,translitasi,tutorial dan bahan bantu mengajar yang lain.Pun begitu,adakah perkara ini dimanfaatkan?Jawapannya tidak berapa hendak menjadi.Penulis hanya melihat realiti di tempat penulis di mana anak-anak jiran dan adik-adik sendiri telah menyalahguna ebook tersebut bagi memasukkan pelbagai jenis "games" seperti counter strike dan lain-lain selain digunakan untuk memuatnaik lagu-lagu ke dalam ebook.Hal ini kerana pelajar dibekalkan ebook seorang setiap satu dan ebook ini dibenar dibawa pulang ke rumah.Malah,para pelajar kadangkala menjadi lalai dan leka dengan ebook sehingga mengabaikan ulangkaji.Lebih daripada itu,terdapat kes yang dilaporkan Metro tahun lalu di mana ebook telah digunakan oleh abang seorang murid tahun lima untuk memuaturun gambar  lucah.Penulis menyokong pemberian ebook,namun pada masa yang sama,penggunaannya yang tidak menyeluruh dan kajian kewajaran penggunaan ebook di sekolah menyebabkan ianya menjadi tidak setimpal dengan jumlah yang telah dibelanjakan oleh pihak kerajaan.

Dan kini,ebook melangkah setapak lagi dengan software al-qurannya.

+  +  +

SANDIWARA EBOOK DALAM KHATAM AL-QURAN?

Seperti yang dilaporkan oleh wartawan portal Buletin Online.net,kerajaan negeri dilihat cuba membohongi rakyat Terengganu dengan program khatam beramai-ramai yang memecahkan rekod negara dan dunia.Dalam pendedahan tersebut,wartawan Buletin Online telah mendakwa hasil temuramah mendapati bahawa terdapat pelajar yang masih belum lagi khatam al-quran sepenuhnya tetapi menyertai program tersebut dengan alasan mengikut rakan-rakan.Malah,seorang guru turut mendakwa  bahawa pemilihan ke program ini dibuat berdasarkan angkat tangan, di mana para pelajar yang berminat hanya perlu mengangkat  tangan supaya nama mereka turut dimasukkan sebagai peserta program.Oleh itu,sekiranya dakwaan tersebut,kerajaan negeri adalah tidak peka dengan kesahihan angka yang benar-benar khatam al-quran.

Bukti murid tidak menggunakan ebook
Selain itu juga,pendedahan Buletinonline mendapati bahawa tindakan kerajaan Terengganu yang berbangga dengan khatam cara baru menggunakan ebook tidak berjaya setelah para peserta lebih gemar untuk membaca nashkah al-quran yang telah dibekalkan oleh pihak penganjur.Sesungguhnya,membaca al-quran menggunakan ebook tidak mendapat sambutan peserta sendiri,berkemungkinan kesukaran untuk membaca kerana tidak jelas selain posisi mata daripada baris huruf yang tidak kena.Oleh itu,kerajaan Terengganu mungkin berjaya memahat tamadun dan sejarah di dalam Malaysia Book of Records, namun realitinya adalah tidak seperti yang digambarkan.

Apapun,bukan itu yang menjadi persoalan penulis.Tindakan khatam beramai-ramai kalau benar,maka baguslah.Tetapi lebih daripada itu,persoalannya sekarang,adakah generasi ulul albab itu boleh dilaksanakan dengan hanya khatam al-quran?Hal ini kerana itu sahajalah usaha kerajaan negeri dalam pendidikan untuk membentuk generasi pintar soleh dan serba boleh selain kelas J-Qaf yang telah diwajibkan kepada pelajar pada setiap petang.Selain itu,apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ulul albab ini sebenarnya?


Seterusnya,antara ciri ulul albab pula adalah:

Siapakah para 'Ulul Albab?
1. Mereka kaya Hikmah & Kearifan (QS. 2:269)
2. Mereka banyak ambil Hikmah dari sejarah umat manusia (QS. 12:111)
3. Mereka giat mencari ilmu dengan sungguh-sungguh (QS. 3:7 & QS 3:190)
4. Mereka adalah para penegak kebenaran yang lurus dan gigih (QS. 5:100)
5. Mereka pendengar yang baik dan obyektif (QS. 39:18)
6. Mereka penyeru dan penyebar kebaikan yang santun dan sabar (QS. 14:52 & QS 
13:19-22)
7. Mereka hanya takut kepada Sang Pemilik Alam Semesta saja (QS. 2:197, 5:179 & 
QS. 65:10)
8. Mereka tekun ibadah malam (39:9)
9. Mereka ingat selalu kepada Sang Pencipta setiap saat, dalam setiap nafas 
(3:191)


Persoalannya sekarang,adakah sistem pendidikan kebangsaan yang terguna pakai di Malaysia dan khususnya di Terengganu mampu melahirkan generasi ulul albab seperti yang diilhamkan oleh Idris Jusoh.Adakah dengan cara menukar nama MRSM Kota Putera di Besut dengan nama MRSM Ulul Albab boleh dikatakan usaha ke arah pembinaan generasi ulul albab sekiranya kurikulum asal langsung tidak berubah,malah realiti di Malaysia sekarang,subjek Agama Islam menjadi terkebelakang dalam kepentingan ilmu-ilmu di sekolah,malah subjek Sejarah bakal menjadi lebih mulia daripada subjek Agama Islam setelah syarat wajib lulus Sejarah bakal diperkenalkan selain syarat sekurang-kurangnya memiliki kepujian untuk memasuki IPTA.Sedar atau tidak,subjek Pendidikan Islam ini diketersampingkan sama sekali.

Oleh itu,bagi penulis,bagi mewujudkan generasi ulul albab di Terengganu adalah dengan mengiktiraf, membantu dan memperbanyakkan pondok,tahfiz dan sekolah beraliran agama kerana inilah sebenar-benar tempat untuk melahirkan generasi ulul albab.Perlu diingatkan,bukan hanya sekadar berjaya menjadi doktor,polis dan bomba sudah dikira menjadi ulul albab seperti yang ditayangkan dalam papan-papan iklan di Terengganu.Malah,generasi Ulul Albab bukan sekadar mereka yang berjaya mengkhatamkan al-quran atau menghafalnya,tetapi lebih daripada itu adalah mereka yang boleh beramal dan melaksanakan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya.

Ketika Pas memegang Terengganu,Undang-undang Islam di bawah Fasa IIIA telah diwartakan oleh Sultan Terengganu,Sultan Mizan Zainal Abidin pada 1 November 2003,dengan menjadikan al-quran,sunnah,ijmak dan qias sebagai sumber rujukan tertinggi negeri Terengganu.Persoalannya,adakah kerajaan UMNO melaksanakan undang-undang yang telah diwartakan ini?Idris Jusoh yang bangga dengan Islam Hadhari sebenarnya tidak direstui oleh Sultan Mizan sendiri kerana bagindalah Sultan yang mewartakan Undang-undang Islam di Terengganu termasuklah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri.Oleh itu,usaha-usaha kerajaan UMNO Terengganu kini sebenarnya masih jauh untuk mewujudkan generasi tersebut dan penulis membayangkan agenda ini telah berakhir dengan kejatuhan Idris Jusoh daripada tampuk pentadbiran Terengganu,namun usaha kerajaan Ahmad Said itu tidak lain dan tidak bukan mengembalikan nostalgia kita kepada ideologi Islam Hadhari yang dipelopori Idris Jusoh dan Abdullah Mat Zin.

TERENGGANU MENUJU ULUL ALBAB TAPI TERBABAS KE ARAH GENERAK

Apakah itu Generak?Sebenarnya,itu cuma singkatan yang direka oleh penulis bagi singkatan kepada Generasi Rosak Akhlak (Generak).Sepertimana yang diketahui,tindakan mengutamakan pembangunan fizikal sesebuah negeri dengan tidak diimbangi oleh pembangunan rohani hanya akan menyuburkan krisis identiti dan kesopanan di sesebuah negeri.Lihatlah apa yang sudah jadi di Terengganu sekarang,merempit, merogol, menghisap dadah,menyamun dan berzina mula membarah ke dalam masyarakat.Perlu diingatkan,penulis bukanlah hendak melonggokkan kesalahan ini ke atas pimpinan negeri,namun isu nasional seperti ini perlu diberikan penekanan yang serius,baik daripada pihak Pas mahupun UMNO.Di sini tidak timbul soal siapa benar dan siapa yang silap,namun lebih daripada itu,apakah tanggungjawab mereka yang memegang amanah?

Penulis sedih,tatkala kita sibuk mencanang dan bergendang mengenai perpaduan dan ketuanan Melayu,apa sudah jadi pada anak bangsa kita sendiri?Seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia Isnin lalu,kes penagihan dadah di Terengganu terus membimbangkan dengan peningkatan sebanyak 14 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini dengan sebanyak 7635 kes telah dilaporkan di seluruh negeri.
Selain itu,indeks jenayah negeri untuk enam bulan pertama tahun ini,walaupun pada dasarnya berkurang sebanyak 25 peratus,namun jumlah tersebut masih tinggi dengan 2066 kes telah dilaporkan berbanding 2755 tahun sebelumnya.Walaubagaimanapun,kes jenayah membabitkan kekerasan meningkat kepada 249 kes Jun lalu selain sembilan kes samun dan pecahmasuk stesen minyak yang dilaporkan.Selain itu juga,jenayah berprofil tinggi yang berlaku di Terengganu termasuklah kes kecurian motorsikal,samun dan ragut.

Apa sudah jadi dengan negeri Terengganu?Penagihan dadah,jenayah,rogol dan zina di mana-mana.Pelbagai berita yang kita dengar termasuklah guru agama merogol pelajar,kes lahirkan anak dalam mangkuk jamban,tangkap basah,buang anak dan segala macam gejala maksiat yang lain.Persoalannya,salah siapakah?Selagi kerajaan negeri gagal berdasar dengan enakmen yang telah sedia wujud,malah seakan menafikannya,selagi itulah penyakit sosial akan terus mewarnai negeri Terengganu Darul Iman.Atau mungkin nanti akan dibina Sekolah Termengandung Ali Rustam cawangan Terengganu pula selepas ini?


0 ulasan:

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP