This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

AZIZ LIMAU TERLUNGKUP ATAU DR.ZUL YANG BAKAL TERSADUNG?

Wednesday, November 3, 2010


Ketika artikel ini ditulis,jam menunjukkan 11:00 pagi di Kuala Lumpur.Jika dicongak dan dibahagi,tempoh pembuangan undi kini akan tinggal tidak lebih daripada 21 jam bermula sekarang,manakala tempoh berkempen hanya akan berbaki lebih kurang 13 jam sahaja lagi.Persoalannya,siapakah yang bakal dinobatkan sebagai wakil rakyat baru bagi Dun N45 Galas ini?Adakah calon UMNO,Abdul Aziz bin Yusof ataupun Dr.Zulkifli Mohamed yang bakal dinobatkan sebagai pilihan majoriti di Dun Galas?Di atas kertas,kedua-dua calon tersebut dilihat memiliki kemungkinan menang yang seimbang iaitu 50-50.


KAJIAN BEBAS ZENTRUM : PERSEPSI MIKRO PRK GALAS 2010




Zentrum Future Study,sebuah badan penganalisis bebas politik yang diilhamkan oleh penganalisis politik terkenal,Prof Dr.Abu Hassan bin Hasbullah telah terlibat secara tidak langsung dalam menganalisis peratusan sokongan dan kecenderungan pengundi terhadap parti-parti bertanding dalam pilihanraya kecil di Dun Galas.Secara umumnya, peratusan tersebut bergerak dalam lingkungan seimbang,boleh dikatakan hampir 50-50,namun kelihatannya calon UMNO,memiliki kelebihan sekitar 50.5 peratus manakala Pas pula sekitar 49.5 peratus. Berkemungkinan,peratusan seperti ini adalah sukar diterima oleh sesetengah pihak,namun secara umumnya,kita perlu melihat kepada tujuan sebenar tinjauan ini dibuat.Bacaan yang dihasilkan adalah bersifat rawak,daripada pelbagai latar belakang responden,oleh itu,ketepatan kebenaran masih boleh dipertikai. Namun begitu,sesuatu kajian bebas bukanlah bertindak menentukan siapa yang bakal menang,tetapi lebih daripada itu,memberikan data angka kepada parti-parti supaya mereka menilai kelemahan dan memperbaiki jentera.


Sekiranya kita masih ingat subtopik statistik yang diajar di sekolah,pastinya kita akan ketahui betapa peratusan bagi sesuatu perkara akan senantiasa berubah-ubah bergantung kepada pelbagai keadaan yang perlu diambil kira.Contohnya,dalam kajian mikro seperti ini,barangkali kemungkinan untuk bertemu penyokong BN lebih kerap,ketidakpastian dalam menjawab soalan selain sikap yang berubah-ubah.Ataupun dalam bahasa yang mudah,dalam kajian bebas,bukan ketepatan(accuracy) yang dicari tetapi lebih kepada "frequently" ataupun kedapatan yang berulang-ulang.Persoalannya,apakah perkaitan ketepatan atau keberulangan ini dalam menjangka kemenangan parti yang bertanding?Jawapannya mudah,kita boleh meramal parti yang bakal menjadi dominan,walaupun tidak menang.


Penulis suka untuk mengimbau kembali bacaan serupa di PRK Hulu Selangor yang lalu.Pada mulanya,kajian mendapati calon BN mendahului bacaan harian dengan kelebihan peratusan yang hampir dengan calon PKR.Walaubagaimanapun,lebih kurang dua hari sebelum proses pembuangan undi berlaku,peratusan tersebut telah pergi kepada calon PKR.Namun begitu,adakah calon PKR menang di Hulu Selangor?Oleh itu,analisis pada suatu dasar mungkin baik untuk berharap,tetapi bukannya tiket untuk menang.Malah,kebiasaan yang lazim,calon yang ketinggalan dalam bacaan pastinya akan lebih bekerja keras untuk memperbaiki kedudukan beliau.Justeru,dalam bacaan di Galas ini,penulis masih merasakan peluang untuk menang bagi kedua-dua belah calon dilihat berimbang,malah sekiranya terdapat mana-mana calon yang menang,majoritinya adalah kurang dari 1000 undi.




KAJIAN ILHAM CENTRE : 54% TUNGGU HABUAN POLITIK


Jika kajian Zentrum bertumpu kepada kecenderungan pengundi,satu lagi badan pemerhati bebas,Ilham Centre  pula menganalisis sikap pengundi di Dun Galas. Daripada kajian yang dilaksanakan oleh badan tersebut,54.1 peratus responden mahu mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap habuan politik saat-saat akhir yang bakal ditawarkan oleh kedua-dua belah parti politik yang bertanding sebelum mereka membuat pilihan untuk mengundi calon mana Khamis ini. Berdasarkan laporan Ilham Centre juga,31.2 peratus mendakwa mereka adalah penyokong Barisan Nasional manakala 27.8 peratus pula adalah penyokong Pas. Pun begitu,apa yang menariknya,32.8 peratus tidak memberi respon terhadap sokongan mereka manakala 8.2 peratus pula masih berteka-teki dan kurang pasti.Jika dicampur peratusan tersebut,hampir 41 peratus pengundi masih di tahap tidak berpihak dan berfikiran berubah-ubah.Oleh itu,peratusan inilah yang membentuk kepada peratusan seimbang dalam peluang kemenangan calon-calon di Dun Galas.








KAJIAN BEBAS : BAHAYA BUAT PAS?


Jika kajian Ilham Centre digunapakai,adalah diramalkan satu kedudukan bahaya akan dihadapi Pas di Galas.Hal ini kerana,pengundi di Dun Galas masih ternanti-nanti habuan saat akhir yang mana kebiasaannya menjadi agenda Barisan Nasional dalam mengaut undi.Keyakinan ini disandarkan atas situasi serupa yang berlaku di PRK Hulu Selangor di mana habuan tunai buat peneroka di Sungai Buaya sedikit sebanyak turut mempengaruhi keputusan pengundian.Begitu juga dalam PRK Manek Urai di mana janji membina jambatan menghubungkan Manek Urai Lama dan Baru menyebabkan Pas tewas di peti undi Manek Urai Lama.Jika dilihat kepada keadaan sebegini, dikhuatiri perkara serupa boleh berulang memandangkan sosiopolitik di tiga kawasan berkenaan adalah lebih kurang sama sahaja.Pun begitu,menjadi kemujuran apabila "Duta Projek Segera" Barisan Nasional dengan slogan beliau,"You help me,I help you" tidak dapat hadir di Galas akibat demam campak,namun dikhuatiri juga betapa wakil duta tersebut,TSMY akan hadir menabur janji dan budi di Galas selewat-lewatnya esok.


UNDI CINA,ORANG ASLI DAN MELAYU


Perlu diakui,kekuatan UMNO di Galas adalah di peti undi orang asli,manakala Pas pula dilihat berkubu di kawasan Sungai Terah.Bagi undi Cina pula,Pas dilihat menguasai kawasan tersebut pada tahun 2008 yang lalu mengakibatkan Dun Galas berjaya dirampas dari tangan UMNO.Persoalannya,adakah kekuatan itu masih kekal bagi kedua-dua belah pihak ataupun sudah berjaya ditembus lawan?


Secara umumnya,pada pandangan penulis,peti undi orang asli masih kekal dikuasai UMNO,namun kini hanya tinggal persoalan berapa undi sahaja yang bakal mereka menangi.Jika dilihat senario politik tahun 2008, pertambahan undi orang asli terhadap Pas telah berlaku walaupun UMNO masih menang di kesemua peti undi tersebut.





PETI UNDI
UNDI PAS
UNDI UMNO
PERATUS UNDI PAS
POS BROOK
112
241
31.73 (KALAH)
SUNGAI BER
105
158
39.92 (KALAH)
BELATIM
11
74
12.94 (KALAH)
BALAR
51
85
37.50 (KALAH)
BIHAI
27
82
24.77 (KALAH)
HAU
81
115
41.33 (KALAH)
KAMPUNG PULAI
167
192
46.52 (KALAH)
KAMPUNG BHARU
946
746
55.91 (MENANG)
BANDAR LAMA
671
481
58.25 (MENANG)
BANDAR BARU
375
274
57.78 (MENANG)
KG.BATU PAPAN
619
527
54.01 (MENANG)
LEPAN TUPAI
248
237
51.13 (MENANG)
SUNGAI TERAH
942
432
68.56 (MENANG)


Berdasarkan perkiraan di atas,penulis melihat kedudukan Pas dan UMNO berimbang di mana UMNO menguasai hampir kesemua peti undi orang asli,tetapi itu belum cukup untuk memenangi Dun Galas kerana peratusan orang asli tidaklah begitu besar.Manakala Pas pula,kekuatan mereka terletak pada undi Cina di peti  undi bandar dan kawasan Ladang Sungai Terah.Pun begitu,masih terdapat peti undi yang berimbang yang masih perlu diberi perhatian terutama di kampung-kampung majoriti pengundi Melayu.

UMNO dilihat cukup menjaga peti undi mereka di kawasan orang asli.Malah,petugas mereka telah diletakkan 24 jam di kawasan perkampungan orang asli bertujuan mengelakkan pengaruh Pas menembusi kawasan tersebut.Bagi penulis,orang asli tidaklah menolak Pas,tetapi kadar ketersampaian masih menjadi faktor penentu kepada sokongan mereka terhadap BN.Malah,terdapat kawasan orang asli yang perlu dihubungi untuk tempoh masa enam jam perjalanan menyebabkan pengaruh Pas di sana masih kurang.Apa yang penulis khuatirkan,betapa undi orang asli yang mengundi Pas dalam PRU 12 akan dirampas oleh UMNO setelah mereka berkubu di sana.Dalam PRU 12,undi UMNO di peti undi orang asli ialah sekitar 60 hingga 70 peratus,dan jika peratusan ini bertambah,Pas perlu ada sebab untuk risau.



Dalam pada masa Pas menarik undi Cina yang mungkin berpihak kepada Pas selain mencari pertambahan undi orang asli,Pas perlu berhati-hati dengan undi orang Melayu yang mungkin hilang akibat tindakan menyemai janji-janji oleh UMNO Barisan Nasional.Bagi penulis,jumlah pengundi Pas bakal berkurang sekiranya pengundi yang berada di luar Galas gagal pulang dalam pembuangan undi nanti di mana ianya secara tidak langsung bakal mengurangkan undi Pas.

Apapun,angka tidak semestinya sentiasa betul.Berserahlah kepada Allah dalam menentukan siapa yang bakal mendapat tempat di hati dan  tangan pengundi,samada Aziz Limau mahupun Dr.Zul.Selamat mengundi,Galas!

0 ulasan:

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP