This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

TERENGGANU BINA JAMBATAN LIPAT,DUIT RAKYAT TERLIPAT SAMA...

Wednesday, October 13, 2010






Ketika pemimpin UMNO berceramah pada zaman pemerintahan Pas di Terengganu,mereka selalu melaungkan ayat,"sesungguhnya tiada pembangunan yang dibuat Pas di Terengganu.Apabila UMNO menawan kembali Terengganu,kita akan buat pembangunan yang tidak pernah dilihat dek mata dan tidak pernah didengar dek telinga." Begitulah hebatnya ceramah UMNO.Dan benar,projek-projek pelik itu dilaksanakan apabila mandat diperolehi semula oleh UMNO di Terengganu.Projek hebat yang tidak pernah dilihat di Terengganu bahkan di mana-mana berlaku.Projek tersebut adalah stadium runtuh,masjid runtuh,hentian bas runtuh dan segala macam projek retak dan runtuh.Sebagai rakyat Terengganu yang mengkagumi seni bina,penulis sendiri berasa malu apabila bangunan kolonial yang dibina beratus tahun masih tersergam manakala bangunan yang dibina kerajaan kolonial Idris Jusoh jatuh menyembah bumi tidak sampai setahun selepas siap.Inilah yang dikatakan sebagai rumah siap pahat berbunyi.

Apapun,penulis masih memuji tindakan kerajaan negeri yang bersungguh-sungguh membina pembangunan kosmetik di Bandaraya Kuala Terengganu.Mungkin ramai yang masih belum tahu bahawa persisiran sungai Kuala Terengganu sudah mula berubah menjadi Venice Timur.Ketika pulang berhari raya bulan lalu,penulis terkejut melihat orang ramai berebut-rebut untuk mengelilingi sungai Terengganu menerusi sebuah terusan seperti di Itali.Malah penulis menggelarkannya sebagai Terusan Ahmad Said.Begitulah bersungguhnya kerajaan Terengganu memperindahkan kawasan bandar setaraf kedudukannya sebagai sebuah bandaraya.Malah,Kuala Terengganu semakin hampir menyamai kota besar yang lain setelah hampir kesemua kampung tradisi di tengah bandar "diusik" oleh kapitalisme.Selepas ini Kampung Ladang dan Kampung Tanjong hanya akan tinggal nama sahaja setelah pemilik tanah kelabu mata dengan harga seekar tanah yang khabarnya mencecah harga jutaan ringgit.

Semalam,Ahmad Said Datuk Menteri Besar mengumumkan projek kosmetik terbaru kerajaan negeri untuk membina sebuah jambatan lipat menghubungkan Dataran Shahbandar (Pulau Warisan) dan Pulau Duyong di seberang Sungai Terengganu (kawasan Seberang Takir).Pada mulanya,penulis hanya membaca tajuk akhbar sepintas lalu sahaja memandangkan penulis beranggapan ianya adalah projek pembinaan jambatan yang sedang dibina Ketua Pemuda UMNO Terengganu di Jeram Tokong.Rupanya penulis silap.Ianya adalah projek "Jambatan Lipat",satu lagi projek yang tidak pernah dilihat oleh rakyat Terengganu.Hebat sungguh pemikiran Idris Jusoh.Sebenarnya,projek jambatan lipat ini idea Idris.Bagi mereka yang pernah melihat video yang dihasilkan oleh Inai Kiara pasti dapat melihat imaginasi Idris membangunkan kawasan muara Sungai Terengganu.Di bawah penulis siarkan link video tersebut untuk tatapan pembaca.(kepada yang sudi melihat)

INI PULAU WARISAN KT,BUKAN VENICE DI ITALI



Penulis bukanlah dengki dengan pembangunan yang dibawa oleh UMNO Terengganu.Kalau cantik,negeri penulis,buruk tetap negeri penulis.Tetapi penulis sedih dengan situasi di negara kita pada hari ini.Ramai di antara kita yang cuba membandingkan kehebatan sesebuah bandar dengan bandar yang lain sebagai pengukur kemajuan sesebuah negeri.Bagi penulis ini silap sama sekali.Ya,proses pembandaran itu penting,tetapi apa yang penting adalah bagaimana pembandaran itu memberi manfaat pada penduduknya.Penulis sama sekali tidak setuju jika bandingan dibuat antara KT dengan KB.KB dengan KL.KL dengan JB dan sebagainya.Lihatlah Terengganu sendiri.Betapa untuk menunjukkan kehebatan membangunkan negeri,projek pembangunan berteras pelancongan diutamakan.Tetapi perkara lain yang lebih penting diabaikan.

Masih ramai penduduk Terengganu berumah kayu reput beratap zink berkarat.Mana yang lebih utama?Rumah rakyat atau masjid kristal?Sistem pengangkutan Terengganu cukup menyedihkan.Bas tidak ikut waktu,berdebu dan usang.Alangkah bagusnya jika wang membina resort di Pulau Duyong digunakanbagi menubuhkan sebuah syarikat pengangkutan awam milik kerajaan negeri.Penulis juga tertanya-tanya,mana janji kerajaan mewujudkan 100 ribu peluang pekerjaan di Terengganu?Kerajaan negeri seperti tidak kisah apabila Najib merompak idea kerajaan negeri mewujudkan Terengganun Investment Authorities menjadi 1 Malaysia Development Bhd.Pembangunan pelaburan yang sepatutnya dimiliki Terengganu akhirnya dipunggah ke Sungai Besi.Kini,kerajaan Terengganu menan sorak kampung tergadai.

contoh jambatan lipat di London

Berbalik kepada pembinaan jambatan lipat di Kuala Terengganu tersebut,penulis melihat betapa pembaziran terang-terangan mula dilakukan kerajaan.Bayangkan,harganya bukannya sejuta dua,tetapi RM100 Juta!Penulis tidak marah pembinaan jambatan binaan Ketua Pemuda UMNO di Jeram Tokong kerana ianya suatu keperluan mendesak.Untuk rekod,Kuala Terengganu dihubungkan dengan kawasan berkepadatan penduduk tinggi di Kuala Nerus melalui Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir.Namun ianya tidak dapat lagi menampung jumlah kereta yang terlampau banyak sehinggakan kesesakan sering berlaku pada setiap petang.Malah,kalau diikutkan perancangan kerajaan negeri tahun lepas,dua jambatan baru bakal dibina bernilai 400 juta tahun ini sebuah di Serada yang dialihkan ke Jeram Tokong dan sebuah lagi di Losong berhampiran muzium negeri.Dan sekiranya ditambah jambatan lipat yang bakal dibina,Kuala Terengganu bakal mempunyai lima jambatan menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus selain sebuah jambatan di Selatan bandaraya tersebut berhampiran Kuala Ibai.

TIDAK BERSETUJU PEMBINAAN JAMBATAN LIPAT 

Penulis bukan anti-pembangunan.Akan tetapi,pembinaan jambatan ini bukan dibuat atas dasar kepentingan ramai tetapi lebih kepada bersifat kosmetik bagi menjayakan angan-angan Idris Jusoh.Pembinaan jambatan pada dasarnya bertujuan mengurangkan kesesakan akan tetapi pembinaan jambatan lipat ini hanya akan menambahkan lagi kesesakan di tengah bandar Terengganu.Bayangkanlah,kedudukan Pulau Warisan yang terletak di hujung kuala hanya dihubungkan dengan jalan dua lorong.Kawasan tersebut juga terkenal sebagai kawasan yang sentiasa sesak kerana di situlah terletaknya Pasar Payang yang menjadi tumpuan pelancong.Pembinaan jambatan tersebut tidak membantu sistem penyuraian trafik,bahkan memburukkan lagi keadaan trafik di tengah bandar.Akhirnya,penulis bimbang jambatan tersebut bakal menjadi ekslusif kepada sesetengah jenis kenderaan sahaja kerana dikhabarkan jalan terus akan turut dibina sehingga ke Lapangan Terbang Kuala Terengganu.

Apapun,pembinaan jambatan lipat ini sudah hampir pasti.Marilah kita berdoa agar jambatan ini tidak akan runtuh ketika kenderaan berada di atasnya.Dan penulis melihat betapa akan hilang duit rakyat Terengganu bernilai RM100 juta yang jarang dapat dirasakan golongan yang memerlukan.Selain itu,penulis berharap tiada peruntukan tambahan diminta selepas ini kerana alasan harga barang naik mendadak seperti yang berlaku dalam pembinaan LPT.Selamat menerima jambatan lipat kepada penduduk Terengganu.

berita asal di:



0 ulasan:

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP