This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

KAK YAH LENGGONG,SEKOLAH 1 ALIRAN TU SUDAH BERKURUN DICADANGKAN KAK OI!

Thursday, October 21, 2010



Sejarah pendidikan Malaysia menyaksikan pelbagai dasar dirangka dan dirombak bermula dengan Laporan Barnes 1951,Laporan Fenn-Wu 1951,Ordinan Pelajaran 1952,Penyata Razak 1956,Penyata Rahman Talib 1960,Laporan Kabinet 1979,Akta Pendidikan 1996 selain pengenalan PPSMI dan kemudiannya pembubarannya tahun hadapan sehinggalah kepada pemansuhan PMR yang diumumkan baru-baru ini.Itu belum kira pemansuhan Penilaian Tahap Satu sembilan tahun yang lalu.Maka tidak hairanlah ada pihak yang akhirnya memandang sinis kepada dasar pendidikan negara yang senantiasa bereksperimentasi dalam dasar-dasarnya.Malah,setiap kali Menteri Pendidikan bertukar sekerap itulah juga dasar bertukar.

Ketika PMR diumumkan bagi digantikan dengan PBS (Penilaian Berasaskan Sekolah),ramai pihak yang bersungut mengenai keputusan kabinet yang sebenarnya tidak menukar apa-apa dasar sebenarnya.PMR sebenar akan terus kekal cuma ditukar format dan namanya kepada PBS.Apa bezanya dengan sekarang?Pelajar masih boleh ke Tingkatan Empat juga.Jika hendak dipatah balik ke belakang,para pelajar Malaysia era millenium boleh dikatakan agak pening kepala terhadap dasar yang sering  berubah-ubah.Sekejap Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris,sekejap dalam Bahasa Melayu semula.Akhirnya,yang menjadi mangsanya adalah para pelajar itu sendiri.


 Semalam pula,dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi sayap wanita,wakil Lenggong,Datuk Khamsiyah Yeop pula mencadangkan diwujudkan sekolah satu aliran,satu bahasa bagi merealisasikan konsep Satu Malaysia.Di sini penulis hendak tergelak juga kerana di era Najib semua perkara telah dinamakan satu di hadapan termasuklah dalam bajet untuk Klinik Satu Malaysia 2010 dan Latihan Satu Malaysia pula tahun hadapan.Ini belum dikira Susu 1 Malaysia,satu ini satu itu.Kini,sekolah satu aliran pula yang dibangkitkan.Penulis hendak tanya Kak Yah Lenggong,hendak dibina sekolah satu aliran apa itu?Aliran Ampang atau Aliran Kelana Jaya?Kak Yah,penulis bukan marah akak,sebenarnya penulis sokong juga cadangan Kak Yah tetapi apa yang penulis hendak bangkitkan di sini adalah betapa soal sekolah satu aliran ini seumpama soal retorik politik zaman-berzaman.Bukan setahun dua ianya dicadangkan,sudah hampir 60 tahun yang lampau.Kemudian senyap.Lama-lama timbul pula.Kemudian senyap semula.Timbul senyap,senyap timbul dan kini Kak Yah Lenggong hendak timbulkan semula?

Mari kita kembali kepada sejarah.Cadangan sekolah satu aliran ini mula diilhamkan secara hitam putih oleh Barnes dalam laporannya pada tahun 1950 di mana beliau mencadangkan sekolah satu aliran dwibahasa untuk sekolah rendah di mana Bahasa Melayu digunakan bagi pelajar hingga Tahun Tiga manakala Bahasa Inggeris seterusnya akan menjadi bahasa pengantar bagi tahun empat ke atas.Namun,cadangan ini gagal dilaksanakan setelah keluarnya Laporan Fenn-Wu yang mahukan sekolah Cina dikekalkan.

Walaupun begitu,Kerajaan British di bawah Ordinan Pelajaran 1952 sebenarnya hampir merealisasikan sekolah satu aliran di Tanah Melayu cuma ianya terhalang disebabkan masalah kewangan dan darurat.Melalui Ordinan tersebut,hanya akan ada dua jenis sistem sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan menggunakan bahasa pengantar Bahasa Melayu dan Sekolah Inggeris.Melalui sistem itu juga,Bahasa Mandarin dan Tamil akan menjadi Bahasa Ketiga.Akhirnya,keputusan ordinan ditimbulkan semula oleh Kak Yah semalam dan penulis rasa terpanggil untuk berbicara mengenai dasar pendidikan tersebut.



Mengapa sampai kini cadangan ini mampu dilaksanakan?Adakah kita mahukan kita sebagai sebuah negara berbilang bangsa yang bersatu padu di kala soal pendidikan sahaja kita sudah tidak mampu berkompromi?Itu belum dikira soal sensitif lain seperti hak keistimewaan dan penguasaan ekonomi.Bagi penulis,terdapat beberapa tembok halangan yang dihadapi dalam mewujudkan sistem sekolah satu aliran.Realiti sebenarnya tidak seindah retorik dan cakap-cakap kosong politik.Di pihak orang Melayu sendiri,mengapa mereka tidak begitu bersedia menerima sekolah satu aliran?Jawapannya mudah.Semuanya soal hak keistimewaan Melayu yang mana mereka bimbang bakal tercabar dengan sistem satu sekolah ini.Penulis tidak mahu guna situasi di tempat lain tetapi di tempat sendiri.

Di kawasan penulis,ada sebuah sekolah menengah harian di mana terdapat juga para pelajar Cina di sekolah tersebut memandangkan tiada SMKJC di kawasan penulis.Apa yang pasti,ada ibu bapa tidak senang dengan pelajar bukan Melayu di mana mereka ini kebiasaannya semua berada di kelas hadapan dan jarang yang berada di kelas hujung.Apabila berlaku keadaan sedemikian,berlaku persaingan dalam pelajaran di mana kadangkala pelajar Cina mendapat kedudukan pertama dalam kelas tersebut.Memanglah pada dasarnya itu adalah persaingan sihat,tetapi kepada ibu bapa yang masih kekal dengan cara pemikiran lama,mereka akan menganggap keadaan tersebut sebagai batu penghalang kepada anak mereka untuk berjaya.Mereka juga bimbang "skuad elit sekolah" (satu program JPN Terengganu) akan didominasi pelajar bukan Melayu di mana mereka masih beranggapan Melayu mesti memperoleh keistimewaan Bumiputera dalam mendapat tempat tersebut memandangkan pelajar ranking atas akan mudah menerima bantuan pelajaran,menyertai kem motivasi dan pelajaran selain bantuan biasiswa daripada jabatan pendidikan negeri.Ini cuma satu contoh.Satu dalam beribu contoh.Pokok pangkalnya berkisar soal orang Melayu masih belum bersedia menerima sistem meritokrasi dan mahu mengekalkan soal keistimewaan dalam pendidikan.

Kerana soal meritokrasi yang tidak menyuluruh jugalah membuatkan pelajar bukan Melayu dilihat selesa di sekolah jenis kebangsaan di mana peluang pendidikan mereka dilihat lebih terjamin dan adil.Tidak dinafikan bahawa sistem sekolah kebangsaan dilihat menguntungkan orang Melayu yang majoritinya bersekolah di sekolah tersebut.Selain itu,soal mempertahankan kebudayaan dan bahasa ibunda juga menjadi sebab mengapa kaum Cina dan India masih mahu mempertahankan sekolah jenis kebangsaan tersebut.Namun,hal ini penulis lihat adalah berdasarkan sentimen semata di mana sistem satu sekolah boleh dilaksanakan sekiranya semua pihak terbuka hati dan ikhlas.Keyakinan penulis ini penulis sandarkan apabila melihat situasi di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.Di universiti Malaya contohnya,tidak timbul soal hilang identiti bangsa apabila universiti satu aliran dilaksanakan (mujurlah tiada universiti kebangsaan dan jenis kebangsaan) di mana pelajar Cina masih boleh aktif dengan kebudayaannya begitu juga dengan pelajar Melayu.

Sesungguhnya sistem pendidikan negara perlu diubah daripada berasaskan kaum kepada meritokrasi seperti di universiti sekiranya kita mahu benar-benar mengatakan bahawa kita mahu rapatkan jurang yang ada di antara kita.Di sini penulis ingin memberikan sedikit cadangan mengenai "model" sekolah satu aliran tersebut:

1.Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama di sekolah sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.

2.Bahasa Mandarin diajar sekiranya terdapat 10 orang pelajar atau lebih.Begitu juga bagi Bahasa Tamil.Bagi pelajar Melayu pula,pelajaran Jawi diwajibkan kembali.Pelajar berlainan bangsa juga digalakkan untuk belajar bahasa berlainan.

3.Tenaga pengajar turut dinisbahkan kepada jumlah pelajar mengikut kaum.

4.Jumlah pelajar setiap kelas dikuotakan sama rata untuk setiap kaum.

5.Pengstrukturan semula SBP Integrasi sebagai percubaan mewujudkan asrama berbilang kaum di Malaysia.

6.Aktiviti pelbagai kebudayaan diserapkan dalam aktiviti kokurikulum.RIMUP,Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan perlu dimaksimakan melalui aktiviti kokurikulum yang pelbagai.

7.Pengstrukturan semula Pendidikan Islam secara lebih mendalam selain pengukuhan semula subjek Pendidikan Moral kepada pelajar bukan Islam.

8.dan lain-lain.

Penulis sebenarnya turut menantikan apakah pendirian semua pihak baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat mengenai isu ini.Adakah kita mahu meneruskan sistem pendidikan sedia ada ataupun kita sudah mula mahu cuba memahami antara satu sama lain?Tatkala ini penulis teringat kata orang dulu-dulu,sebenarnya tiada perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia.Yang ada cuma tolak ansur.Dan apabila kita sudah tidak mampu bertolak dan beransur,maka itulah meletusnya apa yang dinamakan 13 Mei.Fikir-fikirkan.

Kualiti guru Melayu turut menjadi pertikaian kaum Cina

1 Malaysia bakal menjadi retorik kosong jika gagal bina sekolah satu aliran


0 ulasan:

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP