This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

BATU PUNYA KERAS,SAPI DAPAT NAMA...SEJENAK DI BATU SAPI

Saturday, October 30, 2010





Hari ini sudah masuk hari keempat tempoh berkempen dalam Pilihanraya Kecil Parlimen P185 Batu Sapi, pertandingan tiga penjuru antara PBS-SAPP-PKR.Secara umumnya,ramalan kemenangan calon yang bertanding masih lagi samar walaupun semua pihak mendakwa mereka mempunyai sokongan yang lebih baik. Jika diukur secara atas kertas,BN-PBS melalui calonnya,Datin Linda Tsen Thau Lin dilihat sebagai di hadapan kerana turun sebagai penyandang kepada kerusi tersebut.Malah,pengaruh pembangkang di Parlimen tersebut juga masih belum teruji memandangkan pada tahun 2004,mendiang Chong menang di kerusi tersebut tanpa bertanding manakala pada tahun 2008,PKR pula gagal meletakkan calonnya setelah calon mereka ditahan polis.


Pun begitu,situasi dan landskap politik negara telah berubah.Sabah pada tahun 2008 mungkin tidak mengalami politik yang jelas seperti di Semenanjung,namun usaha berterusan PKR dalam mengukuhkan kedudukan mereka di Sabah juga perlu diambil kira.Ramai bekas pemimpin BN di Sabah telah bertindak menyertai PKR termasuklah Datuk Jeffrey Jeffrey Kitingan,Datuk Kalakau Untol dan pengasas UMNO Sabah,Datuk Karim Ghani,malah cabang PKR terbanyak menyaksikan Sabah berada di tempat kedua selepas Selangor.Mungkin sebelum tahun 2008,PKR kurang pengaruhnya di Sabah,namun dengan kehadiran nama-nama besar dalam arena politik di Sabah,PKR bakal menjadi harapan baru buat rakyat Sabah.Malah, Anwar Ibrahim pada suatu tahap ingin memberikan kuasa autonomi buat Sabah sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Persekutuan.


+  +  +


TEROPONG CALON


Persoalannya sekarang,siapakah yang bakal memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi ini?Oleh itu,penulis berasa suka untuk memerhati sedikit sebanyak mengenai calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya kali ini:


Datin Linda Tsen Thau Lin


Pada dasarnya beliau adalah balu kepada mendiang MP Batu Sapi,Edmund Chong Ket Wah.Bagi penulis,pencalonan beliau sebagai calon di Batu Sapi adalah lebih kepada bersifat mendapatkan undi simpati pengundi.Namun begitu,jika dilihat kepada trend pengundian semasa,calon yang mempunyai "pertalian" dengan penyandang sebelum ini tidak menjamin kemenangan mereka.Contohnya,calon BN di Sibu adalah sepupu kepada mendiang Robert Lau tetapi akhirnya beliau ditolak oleh pengundi di Sibu.Secara umumnya,calon BN kali ini boleh dianggap sebagai bersih. Namun,kredebiliti beliau sebagai seorang calon juga perlu diambil kira.Khabarnya,beliau ini tidak begitu fasih berbahasa Melayu dan lebih gemar berbahasa Inggeris.Malah,dalam kempen kali ini,KM Sabah,Dato Seri Musa Aman lebih menyerlah seolah-olah beliau adalah di calon di Batu Sapi.Oleh itu,para pengundi di Batu Sapi perlu mengambil kira faktor ini dalam memilih wakil di Parlimen kerana dibimbangi kelak,wakil mereka di Parlimen hanya akan menjadi "wakil bisu" yang hanya mengiakan setiap tindakan di Persekutuan kesan daripada ketidakbolehan bertutur dan berbahas dengan baik.Selain itu,calon BN ini juga hanyalah seorang yang berkelulusan Ijazah dalam bidang muzik,tidak seperti calon-calon lain yang mempunyai ijazah undang-undang.Adakah pengundi Batu Sapi mahu seorang peguam ataupun seorang pemain piano di Batu Sapi?




Datuk Yong Teck Lee


Beliau adalah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), di mana parti tersebut telah mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional pada tahun 2008,dipercayai ada perkaitannya dengan Projek 16 September Anwar Ibrahim.Untuk rekod, Yong juga adalah bekas Ketua Menteri Sabah pada tahun 1996 hingga tahun 1998.Beliau kini sedang giat memainkan kempen "Sabah Untuk Orang Sabah" melalui desakan supaya Sabah diberikan kuasa autonomi oleh kerajaan Persekutuan.Walaubagaimanapun,penulis merasakan bahawa beliau bukanlah orangnya untuk mewakili pengundi di Batu Sapi setelah nama beliau sendiri telah tercemar.Segala keburukan beliau semasa menjadi Ketua Menteri dibangkitkan kembali oleh Barisan Nasional termasuklah dalam isu tanah dan kroni.Malah,apabila sahaja SAPP mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional,usaha SPRM untuk membuka fail rasuah beliau terus bermula.Yong juga telah dibuktikan bersalah dalam Mahkamah Pilihanraya mengakibatkan beliau digantung daripada bertanding selama lima tahun sehingga tahun 2007.




UMSERY@ANSARI BIN ABDULLAH


Jika calon Pas,Dr.Zulkefli Mohamed adalah lulusan perubatan Universiti Malaya,calon PKR ini pula adalah lulusan Undang-undang dari universiti yang sama.Di Sabah,Ansari adalah seorang peguam terkemuka di bawah firmanya,Messrs Ansari&Co.Kesetiaan beliau bersama PKR tidak perlu dipertikaikan memandangkan beliau telah menyertai PKR semenjak dari penubuhannya lagi pada tahun 1999.Beliau sebelum ini juga adalah mantan Pengerusi PKR Sabah selain menjadi ahli MPP PKR.Pada masa ini,beliau adalah Ketua Cabang PKR Tuaran setelah memenanginya baru-baru ini.Kewibawaan beliau dalam bidang guaman juga telah membawa beliau untuk memangku pingat Ahli Seri Darjah Kinabalu(ASDK) dan Jaksa Pendamai.Kebolehan beliau berucap dan berbahas sesuai dengan pengalamannya sebagai seorang peguam perlu dimanfaatkan oleh pengundi Batu Sapi bagi membawa suara mereka di Parlimen.Malah,Haji Ansari seorang bumiputera Muslim berkemungkinan akan mampu menarik undi pengundi Muslim yang berjumlah lebih 60 peratus di sini.


Oleh itu,setelah dibuat sedikit peneropongan,bagi penulis,calon yang paling layak untuk diangkat dalam Pilihanraya kecil Batu Sapi ini adalah tidak lain dan tidak bukan ialah Haji Ansari Abdullah.Walaupun beliau bukan penduduk asal Batu Sapi dan Sandakan,namun pemilihan beliau sebagai calon sebenarnya mendapat restu daripada cabang Batu Sapi malah cabang tersebutlah yang telah mencalonkan beliau.Ansari dilihat sebagai seorang yang berpewatakan sederhana,berkaliber dan seorang yang vokal sepatutnya dipilih sebagai wakil pengundi di P185 Batu Sapi.


GULA-GULA BATU SAPI DAN SAMSENG SANA-SINI


Politik Samseng diamalkan BN di sebuah kampung
dengan mengugut dan menakutkan PKR dan SAPP
berkempen di Batu Sapi...Istimewa sungguh kampung
tersebut,sesuai namanya Kg.Istimewa



Budaya politik samseng telah diamalkan di kampung-kampung di Batu Sapi di mana petugas PKR dihalang untuk berkempen di kampung-kampung tanpa kebenaran daripada ketua kampung tersebut.Malah,mereka diugut untuk dipukul dan kehadiran polis bagi mengiringi petugas PKR tidak menggentarkan mereka untuk terus mengamalkan budaya samseng mereka.Beginikah yang dinamakan diskriminasi ala BN?Melalui tindakan provokasi seperti ini,telah terbukti betapa mereka sebenarnya mulai takut dengan kehadiran pembangkang di kawasan Batu Sapi setelah mendiang Chong sebelum ini gagal menjalankan tugas beliau sebagai seorang ahli Parlimen yang baik.Apapun,tindakan samseng seperti ini sedikit sebanyak bakal memberikan undi simpati terhadap calon PKR di Batu Sapi.

EPISOD POLITIK KATAK BERULANG DI BATU SAPI

Episod keluar parti beramai-ramai menjelang pilihanraya kembali sama seperti di Hulu Selangor dahulu.Terbaru,Timbalan Ketua Cabang Batu Sapi,Amir Bak dan Naib Ketua Cabang tersebut,Abdullah Madu telah bertindak keluar parti dan menyertai UMNO bersama-sama 200 pengikut mereka.Sumber ini penulis perolehi daripada Berita Harian. Selain itu,50 orang ahli SAPP dan bekas calon Bebas Batu Sapi,Dr.Chong Kwong Wing juga telah bertindak menyertai UMNO dan PBS.Itulah episod lama yang berulang kembali,cuma pelakon dan latar tempatnya sahaja yang berubah-ubah.Tindakan keluar parti tersebut mungkin berkaitan dengan pergaduhan di Lapangan Terbang tempoh hari.Bagi penulis,biarlah luncai terjun dengan labu-labunya.


GULA-GULA PILIHANRAYA DI BATU SAPI

Tanpa projek segera dan gula-gula politik,pilihanraya kecil bagi BN adalah seperti tidak hidup.Akan ada pelbagai projek-projek segera yang dibawa masuk khusus bagi memancing undi daripada para pengundi.Setakat ini,beberapa projek telah dibawa masuk termasuklah projek membina masjid baru di Batu Sapi yang bernilai RM5 juta selain projek perumahan rakyat di Lupak Meluas.Dengan tempoh berkempen yang masih berbaki,diharapkan kepada para pengundi di Batu Sapi meminta apa sahaja jenis permintaan termasuklah membina menara warisan seratus tingkat di sana.


Ansari telah cedera akibat dua kali
jatuh ke dalam air ketika berkempen

REALITI HIDUP PENDUDUK BATU SAPI

Penduduk Batu Sapi masih ramai yang daif.Malah,ada di antara mereka yang bekerja selama hampir 13 jam sehari dengan mendapat bayaran cuma RM10 sehari.Inilah realiti yang masih berlaku di Sabah.Rumah-rumah penduduk terutamanya yang tinggal di rumah air amat menyedihkan dengan sistem rumah yang usang.
Malah,calon PKR sendiri telah dua kali terjatuh ke dalam air akibat kayu jeti yang reput membuktikan bahawa BN masih gagal membangunkan insfrastruktur di Batu Sapi.Justeru,adalah penting bagi penduduk Batu Sapi memilih seorang calon yang benar-benar layak bagi mewakili mereka di Batu Sapi.

Semoga pilihan tepat dibuat oleh para pengundi di Batu Sapi. Selamat menerima seorang wakil rakyat yang baru di Batu Sapi.













0 ulasan:

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP