This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

Kita Terlalu Mempolitikkan Sesuatu Isu

Tuesday, September 14, 2010


Pernah beberapa pihak bertanya,bilakah agaknya politiking dan cakap-cakap politik akan berakhir?Era pasca Mac 2008 menyaksikan soal politik hebat diperkatakan.Selepas satu isu timbul,datang pula isu yang lain.Maka,tidak hairanlah bila orang ramai sendiri mempertikai tindakan kerajaan,baik Barisan mahupun Pakatan yang asyik bercakap soal politik itu dan ini sehingga mengurangkan tanggungjawab sebenar mereka sebagai kerajaan.Kini,Malaysia mengalami era "perang tanding" di mana kerajaan Persekutuan dan Negeri berlainan parti   berlumba-lumba membuktikan siapa lebih benar dalam membawa ideologi politik mereka.Apabila timbul persoalan tersebut,maka jawapan sebenarnya ialah soal berpolitik ini tidak akan berakhir!Ya,sama ada ianya hadir atau dicipta,ianya pasti akan melingkari kehidupan kita dalam bermasyarakat.Persoalan utamanya kenapa?Sekiranya orang ramai mula tidak bercakap lagi soal politik,surat khabar akan lingkup kerana ketiadaan isu untuk dilaporkan.Blog-blog dan internet akan jadi tiada serinya.Ahli politik dan mereka yang menumpang rezeki di bawahnya juga akan kehilangan tempat bergantung.

Ramai orang obses dengan cakap politik ini.Bayangkan,jika dahulu hanya ahli politik sahaja dilihat nbijak berpolitik,kini tidak lagi.Segenap lapisan masyarakat kini arif tentangnya.Ada yang menjadi pemerhati,ada yang menganalisis dan tidak kurang pula yang bersifat tunggu dan lihat seumpama menunggu pisang dan tanaman berbuah.Ramai orang bimbang,bila rakyat terlalu berpolitik,ianya akan merugikan negara itu sendiri.Hal ini mungkin kerana wujudnya suasana cakap lebih,perlaksanaannya kurang.Samalah seperti pepatah,"umpama tin kosong,gegarnya sahaja kuat,tetapi isi tiada."Sebenarnya,sikap kita yang makin cenderung berpolitik ini adalah satu proses membentuk ketamadunan kita,dalam menuju ke arah negara maju seperti yang terkandung dalam prinsip masyarakat demokratik yang matang dalam Wawasan 2020.

Akan tetapi,adakah kita dalam kerangka menuju ke arah politik yang matang?Itu sendiri turut menjadi pokok pangkal yang utama.Tahun 2020 adalah 10 tahun yang akan datang.Walaubagaimanapun,politik negara masih belum stabil.Pembentukan sistem dua parti masih belum menampakkan hasil dan kewajarannya dalam konteks negara.Secara pemerhatiannya,landskap pemikiran politik Malaysia yang bebas hanyalah bermula di era reformasi,10 tahun yang lalu.Itupun disekat oleh pelbagai akta.Namun,apabila Tun Abdullah menggantikan  Mahathir,barulah kebebasan itu sedikit demi sedikit mula dirasai.Kekurangan ketegasan pentadbiran Abdullah membina landskap politik negara sekaligus mencorak negara ke arah kuasa rakyat dalam menentukan kerajaan.

Walaubagaimanapun,sayang beribu kali sayang.Perjalanan politik kita kini dicemari dengan politik fitnah yang melampau.Bayangkan semua pihak cuba menegakkan kebenaran dan cuba menidakkan pihak lawan.Cacian,cemuhan dan kutukan makin menjadi-jadi.Kebebasan menulis di internet kini memerlukan analisis dan pemikiran yang terkedepan dalam menyaring segala fakta-fakta yang bercanggah antara satu sama lain.Ketika blog baru dikenali satu masa dahulu,ianya dianggap sebagai media alternatif kepada media massa yang terkongkong.Walaubagaimanapun,media alternatif ini sendiri telah dicemari dengan fakta yang bersimpangan,sehinggakan kita sendiri tidak tahu mana yang benar dan mana yang salah.

Dan kini,kita terlalu mempolitikkan segala isu yang timbul.Setiap hal yang melingkari kehidupan kita pasti dipolitikkan,mengikut selera politik masing-masing.Apabila soal hak dan kemudahan masyarakat yang dipersoalkan tidaklah menjadi satu isu,namun kini apa sahaja perkara yang langsung tidak berkait dengan soal politik pastinya akan dipolitikkan juga.Contohnya,kes pembunuhan jutawan kosmetik,Dato' Sosilawati dan tiga yang lain.Telah terang dan nyata,ianya adalah bersabit dengan soal penipuan dan perniagaan.Namun,akhirnya ia dipolitikkan dengan seluas-luasnya.Suspek dituduh ahli DAP,dituduh ingin menyertai MIC dan lain-lain.Kenapa perlu dipolitikkan?Kerana tertuduh ahli DAP,adakah DAP yang membunuh mereka.Adakah MIC yang arah mereka dibunuh?

Cukuplah segala isu dipolitikkan.Biarlah soal politik sahaja dipolitikkan.Soal lain,adalah tidak manis dijadikan spekulasi dan dakwaan kosong.Biarlah kita berilmu dalam menyusun kata,bukannya sekadar bersentimen
semata-mata.

Ketika pembunuhan diceritakan,
di malam aidilfitri ke-6.

0 ulasan:

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP