This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

HIKAYAT PEJUANG BANGSA II :hikayat hidupku yang melompat-lompat

Wednesday, September 8, 2010





BAHAGIAN 2


Setelah hampir lima tahun aku diam di Kem Kemuntong itu,aku dibenarkan keluar.Banyak yang aku belajar ketika berada di dalam sana.Aku mula berkawan baik dan mengenali rakanm-rakan penjaraku yang berlainan parti iaitu Parti Islam Federal,atau lebih dikenali sebagai Pifa.Mereka inilah yang mengajar aku tentang sepak terajang politik.Barulah aku faham bagaimana realpolitik berlaku di negaraku.Lima tahun sebenarnya telah menjadikan aku kebal,alah dengan hentakan,sepak dan penumbuk.Umpama sel-sel kulitku telah mati.Lumpuh.Deria sentuhku umpama telah hilang.Apa yang penting,aku berazam untuk terus berjuang dalam politik.Tapi kali ini aku mahu mencari untung.Aku tidak mahu lagi ditipu.Dalam politik,ditipu atau menipu.Jadi,aku mahu pilih yang kedua.Aku telah khatam baca berkali-kali karya The Art of Wars karya Sun Tzu.Buku Machievelli,The Prince pun aku baca.Kini aku tanam satu falsafah dalam diriku,"matlamat menghalalkan cara"!


Setelah dibebaskan,aku ambil keputusan untuk pulang ke kampung halamanku.Lama sudah tidak menjenguk ibu dan ayah di kampung.Kini,Kampung Mas telah berubah.Telah pesat membangun.Wakil rakyatnya Haji Din Bangkok.Tua sedikit dari aku.Dulu aku bersekolah rendah sama dengannya.Cuma aku ke sekolah Inggeris dan dia masuk belajar pondok.Perkara pertama bila aku pulang ialah mengaktifkan diriku dalam partiku,Parti Keris Melayu,PKM.Aku dilantik jadi ketua pemuda.Dan selang setahun kemudian,pilihanraya umum berlangsung.Sebulan sebelum itu,Mahazir Mamat turun ke Chih-Tu.Semua ketua bahagian berkampung di Pantai CInta Berahing di kampung Chepa.Lobi-melobi berlaku.Aku pun apa kurangnya.Inilah masanya.Pada malam hari aku sanggup memanjat tangga hotel tempat Mahazir tidur.Aku mahu buat perkiraan dengannya.Beliau terkejut aku datang.Malam-malam buta.Waktu menganjak 2 pagi.Aku kata,penting.Nasib penduduk Chih Tu dalam tangan pemimpin muda.Termakan juga dia kataku.Akhirnya aku terpilih jadi calon Parlimen Mas Berpasir.


Dan ditakdirkan Allah,aku diberikan kemenangan di sana.Menewaskan Haji Din Bangkok.Wah,terkenal juga aku.Mana tidaknya,aku sanggup gadai berekar tanah nenek untuk buat modal.Aku hulur,hulur sini.Aku mencarut sana memaki sini.Aku beri kain pelikat,upah kain batik.Untuk anak muda,persembahan dikir barat besar-besaran.Habis tukang karut di Kelantan aku panggil.Seman,Arifin Ana,Pak Nik Man dan lain-lain.Akhirnya tersungkur Haji Din yang asyik bercerita pasal  negara Islam.Aku panjangkan langkah kaki.Aku melobi pula untuk jawatan Menteri Belia.Aduh,sudah diisi.Tapi kerana aku memang pandai membodek,akhirnya aku dapat juga jawatan Menteri di Jabatan Bendahara.Meluat juga bila ada Arab jadi Menteri.Ini negara Ketuanan Melayu.Arab dan Afrika mana layak!Itu pandanganku.Tapi last-last aku dimarah pula oleh Mahazir Mamat.Ini helah politik katanya.Hendak dilihat adil.Akhirnya aku diam-diam saja.Tapi bila aku pergi berceramah,aku bangkitkan pula soal ketuanan Melayu ini.


Dua tahun kemudian,PKM berpecah.Ini kerna Tengku Zali rakanku dari Parlimen Gua Bermusang cuba menentang Si Mahazir.Aku jadi penyokong Zali senyap-senyap.Aku masih tidak berpuas hati dengan Mahazir yang tidak beri aku jadi menteri.Tapi apakan daya,Si Mahazir ini hebat juga.Ditipunya undi.Dibelinya perwakilan.Aku sendiri pernah ditawar perempuan dari Jalan Hamzah.Dihulur wang bersusun.Aku tidak tahan.Aku ambil juga.Nanti masa pemilihan aku buat undi rosak.Senang cerita.Tengku Zali tidak puas hati dengan keputusan tersebut.Dibawanya ke mahkamah.Maka riuhlah ahli parti.Last-last aku dengar cerita ada agen Temasek menyusup masuk.Mereka pengaruhi hakim membubarkan PKM.Akhirnya pecahlah parti ketuanan Melayu.Aku juga hilang arah.Aku ambil jalan untung.Tidak memihak.


Selang beberapa bulan kemudian aku dengar Tengku Zali tubuh parti baru.Semangat Ketuanan nama partinya.Masa itu,Mahazir Mamat pun tubuh parti yang baru,tapi masih pakai nama PKM.Ahli-ahli PKM yang dulu berpecah dua.Akhirnya aku ambil keputusan menyertai parti SK.Barulah kena dengan semangat Ketuanan Melayuku.Aku hentam si Mahazir habis-habisan.Aku mempersoal ketulenan Melayu si Mahazir.Kenapa pelik sahaja warna  kulitnya.Aku bantai penguasaan Arab dalam ekonomi.Aku perlekeh si afrika yang legam.Ketika itu,akulah wira sanjungan orang Melayu.Tiba pilihanraya,aku menang bergaya lagi di Emas Berpasir.Terguling-guling calon PKM yang menentangku.Ah si pondan itu menangis tidak berlagu.Begitulah hebatnya susukku,Ibrahim Alias Pejuang Melayu.Tapi sayangnya SK cuma menang di Kelantan.Aku menyumpah PKM yang guna wang.Mengugut orang-orang kampung.Aku bertempik sana sini.Berguling-guling di Kota Baru.Aku tenangkan hati.Mujurlah Tuan Guru Aziz nasihatkan aku.


Masa terus berlalu.Kini tinggal setahun sebelum pilihanraya.Semangat Ketuanan makin lemah.Ramai ahli keluar parti.Cis,mereka ini sebenarnya mengejar harta.Patutlah tidak tahan.Aku pun buat perkiraan.Tidak boleh jadi fikirku.Sokongan pada SK makin kurang.Parti Islam makin jelas mahu menggantikan calon mereka di kerusiku,Haji Din Bangkok.Lalu,aku ambil keputusan.Aku kembali semula ke pangkuan PKM.Umpama sirih pulang ke gagang.Aku tebalkan mukaku bertemu Mahazir Mamat.Aku buat-buat cerita.Aku katakan yang aku terkena sihir Tengku Zali.Buat aku jadi ingat-ingat lupa.Mujurlah Mahazir percayakan aku.Selang beberapa bulan kemudian,Tengku Zali sendiri pulang ke pangkuan PKM lalu bubarlah Semangat Ketuanan.Semangat terbang entah ke mana.Parti Ketuanan kembali kukuh.


Pilihanraya tiba lagi.Aku berikrar mempertahankan kerusiku.Aku guna taktik sama.Aku arahkan orang-orangku menabur wang.Pada masa sama,aku bertempik sana sini.Aku kutuk Tuan Guru Aziz,Haji Din Bangkok dan lain-lain yang dulu rakanku.Aku persoal perjuangan sia-sia mereka.Akhirnya aku silap langkah.Pengundi marah aku memperlekeh kepimpinan Islam.Akhirnya aku tumbang dua pilihanraya berturut-turut.Pengaruhku di kawasan sendiri makin berkurang.Tapi aku tetap ketua bahagian.Segala projek mesti melalui aku.Kerana dendamku pada pengundi aku sekat projek di kawasanku.Wang peruntukan aku guna buat joli.Selebihnya aku melabur.


Dalam awal tahun millenium,lebih kurang tahun 2002,Mahazir mula buat onar.Dipecatnya aku daripada ketua bahagian.Aku jatuh terjelopok.Aku betul-betul marah.Tiga hari tiga malam aku menyumpah seranah Mahazir di rumahku.Rakan-rakanku yang simpati turut menyokong aku.Akhirnya aku bertindak keluar parti.Sebenarnya itu taktik aku semata.Dengan harapan aku akan dipujuk oleh pengundi setia.Namun,aku tersilap langkah.Kerana terlalu banyak keluar masuk parti,akhirnya lembaga disiplin mengharamkan aku dari PKM.Aku menangis tidak berlagu.


Walaupun begitu,sebagai pejuang tulen,aku tak menyerah kalah.Aku hentam Mahazir di pentas-pentas pembangkang.Namun aku belum bersedia bersama mereka.Aku hentam kerajaan.Dan tibalah pilihanraya umum 2004.Aku bertanding atas tiket bebas.Ditentang Haji Noh kawan sekampung dan Encik Mamat Ketua Bahagian yang baru.Tapi,nasibku malang.Ketika itu,Mahazir telah pencen.Diganti pula oleh Mr.Clean anak ulama Negeri Pinang.Karismanya hingga terbawa-bawa ke kampungku.Akhirnya,aku kalah teruk.Wang depositku hilang.Tauke Arab yang membantuku marah.Dia rasa pelaburannya tidak berbaloi.Kerana sebelum itu aku janji akan benarkan dia buka kilang Barbican di Kampung Mas.


Setahun kemudian,ditakdirkan Adun Pasir Berpangkalan meninggal dunia.Kini pilihanraya kecil diumum.Pifa akan mempertahankan kerusi dan seperti biasa dilawan PKM.Aku tidak mahu bersara dalam politik.Aku cuba nasib di sana.Tapi nasibku memang tidak berapa nak baik,aku hilang wang deposit.Jatuh terduduk aku.Sudahlah aku gadai rantai emas isteri mudaku untuk bertanding.Apalah yang mahu dijawab padanya dan bapa mertua.Begitulah dugaan hidup ketika itu.Akhirnya aku melarikan diri sementara waktu ke rumah anak sulungku di Australia.Bercuti menenangkan diri selama sebulan.Di sana aku memikirkan nasib politikku selepas ini.Untung sabut timbul,untung batu tenggelam.


BERSAMBUNG....

2 ulasan:

Panglima7 September 8, 2010 at 8:49:00 AM PDT  

Salam Tuan,

Blog tuan telah hamba linkkan dalam blog hamba under bloglist2. Mohon linkkan blog hamba jua. Dan hamba pun turut follow blog tuan. Selamat hari Raya Maaf Zahir dan batin.

kamisokongpas | O | September 8, 2010 at 9:31:00 AM PDT  

insyaallah tuan hamba....blog hamba pun baru lagi....

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP