This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

Hikayat Hidup Pejuang Bangsa :Penyambung Legasi Tuah,terikut acuan hidup Si Jebat...

Wednesday, September 8, 2010


BAHAGIAN SATU

Namaku Ibrahim.Aku lahir di sebuah kampung di dalam jajahan negeri Chih-Tu.Negeriku aman,cantik dan harmoni.Semasa aku lahir 57 tahun yang lalu,negeriku masih bergolak.Lasykar Inggeris telah diam di negeriku.Sultan kesayangan rakyat negeriku diugut dan dikawal oleh Si Inggeris.Tak ada siapa yang berani lawan.Malah Abang Janggut pejuang di Kampung Putih yang menentang Sharikat telah mati digantung songsang.Itulah ceritaku dengar dari ibuku.Kampung Putih dan kampungku,Kampung Mas tidaklah sejauh mana.Cuma dipisahkan oleh Kampung Kota sahaja.Di sebelah Kampung Kota ada Kampung Chepa.Bapaku kata di sana  ada ramai alim ulama.Aku ketika itu baru berusia empat tahun.Aku mengangguk saja.Akhirnya ditakdirkan Tuhan,tahun itu ada berita gembira.Negeriku telah merdeka.Bapaku kata,lasykar telah pulang.Kini Chih-Tu bergabung dengan Malaya Land,gabungan negeri-negeri.Ada Taring Anu,dan negeri Mahang.Lain-lain negeri aku ingat-ingat lupa.

Masa merdeka itu,aku sudah mula bersekolah tadika.Sudah pandai membaca.Tiap hari,aku akan baca apa yang dinamakan orang surat khabar.Tajuknya Utusan Melaya.Di situ aku kenal gambar bendera berkapal.Biasa juga aku lihat di kampungku.Lalu aku tanya nenek.Apa bendera ini? Nenekku yang sedang menadah kitab menjawab acuh tak acuh."Itu bendera Barisan Melaya.Orang yang jadi ketua di negeri kita sekarang."Aku kurang faham.Tapi aku buat-buat faham.Entah mengapa aku mula minat dengan kumpulan bendera berkapal ini.Aku lihat tiap hari keluar gambar lelaki bersongkok tinggi di dalam akhbar.Aku pun bercita-cita.Nanti besar,aku pun mahu jadi seperti dia.Ya,pasti!

*  *   *
Aku makin membesar.Kini aku berada di sekolah Melayu.Dalam darjah empat.Di sekolah aku dipanggil rakan-rakan sebagai Heng.Mungkin kerna namaku Ibrahim.Di sekolah aku terkenal sebagai pelajar yang paling kuat suaranya.Kalau aku bertempik,boleh didengar hingga ke bilik guru.Aku sering didenda Ustaz Lah kerana bising di kelas.Kini khabarnya Ustaz Lah telah menjadi guru pondok di Geting.Dek kerana kelantangan suaraku,aku dilantik mewakili sekolah sebagai konduktor kawad kaki.Aku masih ingat,semasa di darjah lima,aku mengetuai perbarisan hari kemerdekaan di Kampung Kota.Semua pemimpin negeri hadir.Aku cuba cari bendera berkapal,orang pakai songkok tinggi tapi tiada.Barulah kutahu,pemerintah di tempatku telah berubah.Kini kumpulan bendera bulat pula yang menjadi ketua.Mereka ini ramai yang bersongkok.Kata Ustaz Lah,mereka ini rata-ratanya alim ulama dari Kampung Chepa.

Cita-citaku untuk menjadi pemimpin makin hari makin membara.Satu hari,bapa saudaraku yang kerja di Federal pulang ke kampung.Dibawanya satu alat yang dipanggil radio.Wah,bukan main seronok lagi aku. Tiap malam lepas isyak,pasti aku sekeluarga akan mendengar orang membaca berita,orang beri syarahan dan sekali sekala ada lakonan di radio.Masa itu,orang belum kenal televisyen.Sejak ada radio,aku sudah mula pandai bercakap.Berdebat dengan rakan-rakanku di sekolah.Kini mereka panggil aku Yang Berhormat.Aku suka hentam orang.Mencarut sana,memaki sini.Sehingga pernah aku dicili mulut oleh ibu kerana mencarut kepada anak ketua kampung.

Aku dikatakan agak cemerlang dalam pelajaran.Aku lulus Penilaian Darjah Lima.Seterusnya aku masuk sekolah Inggeris di Kampung Kota.Kehidupan aku sebagai remaja biasa-biasa saja.Kini aku makin gemar berdebat dan berbahas.Maklumlah,aku di kelas yang depan.Ada juga rakan-rakanku yang mempunyai hobi serupa denganku.Lalu kami senang sahaja mewujudkan Kelab sembang-sembang di belakang kelas.

*  *  *

Dipendekkan cerita,aku lulus dalam Sijil Pelajaran.Kini umurku telah 18.Aku muda remaja.Satu hari ketika baru pulang membantu ibu di sawah,aku menerima surat bersampul coklat.Inilah kali pertama aku menerima surat bersetem.Sebelum ini,pernah sekali dua aku terima surat dari pelajar perempuan.Sempatlah aku berbalas-balas surat beberapa kali.

Wah,aku terkejut.Isi suratnya melonjakkan aku keriangan.Tahniah,saudara telah diterima masuk ke Institut Teknologi Raya Melaya Land.Oh,nampaknya,aku bakal berhijrah ke Federal,ibu kota negaraku.Sama seperti bapa saudaraku yang beli radio.Sama seperti anak ketua kampungku yang kini telah jadi kerani di sana.Aku khabarkan perihal surat tersebut pada ibuku.Bapaku yang baru pulang dari latihan dikir barat di balairaya malam itu nyata gembira.Dinyanyi-nyanyikan lagu Wau Bulan.Serak-serak basah seperti Seman Karut terekenal.Gembira benar mereka.Sampaikan bergendang-gendang mengikut irama wau bulan.

Sebulan kemudian,aku telah di universiti.Mengambil Ijazah Kepimpinan dan Politik.Ini jurusan baru.Rata-rata rakan kuliahku orang Melayu,anak bandar.Mereka ini semuanya berduit.Hanya beberapa kerat sepertiku orang kampung.Ah,aku tidak kisah.Aku terima biasiswa Federal.Poketku sentiasa berisi.Ya,aku ahli politik dalam pembikinan.Kehidupanku di universiti agak radikal.Aku menjadi pemimpin pelajar yang terkedepan.Aku dan rakan-rakanku bertempik sana-sini,berdemo di ibu kota menuntut hak-hak kami.Bila Iran melakukan revolusi,aku antara penyokong utama.Aku mula mendaftar sebagai ahli parti.Kini parti bendera berkapal telah tiada.Yang ada kini adalah parti bendera berdacing.Lebih dikenali sebagai Barisan Federal.

Kini aku telah graduate.Bangga hatiku.Didadaku penuh ilmu politik.Aku kira akulah orang  yang paling berilmu dan arif tentang politik.Dasar itu,dasar ini dalam kepalaku.Satu hari,aku pergi berjumpa Menteri Perdana Federal.Orangnya bernama Mahazir Mamat.Muda lagi,seorang doktor.Aku berikan pandangan dan cadangan padanya yang kukira bernas.Banyak cadangan yang kuberi.Semuanya diterima.Kini,kereta nasional dan dasar pandang ke utara itu,idea akulah.Aku mula meningkat naik dalam parti.Aku dilantik menjadi exco Pemuda.Ketika  itu,ada pertikaian kaum.Orang Melayu marah apabila si Arab,Mabhuh Mahfiz minta jawatan Naib bendahara.Mahu lawan ketua Bendahara.Cis,ini Melayu Land!Siapa dia berani cabar ketuanan Melayu!Orang Arab tidak boleh diberi muka.Lalu aku bertempik di jalanan,bersilat bersama rakanku yang sayangkan bangsa.Tapi,aku silap.Aku telah mengundang murka Menteri Perdana.Akhirnya aku ditangkap ke dalam penjara dalam Ops Rumput.Hampir lima tahun juga aku merengkok di Kem Kemuntong di negeri Gangsa.Inilah nasibku pejuang bangsa.

BERSAMBUNG.....

0 ulasan:

Post a Comment

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP