This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

MAT SAID MB TERENGGANU BUAT-BUAT "GILA" DI TASIK KENYIR

Thursday, September 30, 2010


Penulis hendak berguling-guling dan termuntah juga membaca tajuk berita ini."TASIK KENYIR KAWASAN BEBAS CUKAI 2012".Begitulah hebatnya idea Menteri Besar Terengganu Ahmad bin Said.Idea yang tidak pernah dibuat orang,mungkin mengambil ilham Lim Goh Tong membina kasino di atas bukit Genting satu masa dahulu.Penulis sebagai rakyat Terengganu "bangga" mempunyai Menteri Besar berfikiran jauh sebegini.Di dunia ini,tasik terbesar adalah Laut Kaspia di Kazakhtan,Tasik Victoria,Laut Aral,Baikal dan lain-lain.Penulis cuba mencari sama ada telah wujud pulau bebas cukai di tasik-tasik tersebut.Selamat,masih belum ada.Oleh itu,projek Kerajaan Ahmad bin Said Terengganu ini bakal mencatat rekod dunia sebagai "Pusat Beli Belah Paling Hijau dan Harmoni di dunia."Sambil melihat tasik,ikan dan burung-burung,kita boleh membeli belah di sana.Mungkin begitulah iklan yang akan ditayangkan di televisyen nanti.


Sebelum memuji Mat Said ini dengan lebih lanjut,mari kita lihat apa yang ditakrifkan sebagai Kawasan Bebas Cukai mengikut Undang-undang Malaysia ini:



Zon Perdagangan Bebas (FCZ) iaitu zon untuk aktiviti perdagangan termasuklah perniagaan runcit, pecah pukal, mengred membungkus, melabel semula dan transit, tanpa bayaran duti kastam, duti eksais, cukai jualan atau cukai perkhidmatan. Sebagaimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 12 (1) dan (2) Akta Zon Bebas 1990 yang menyatakan apa-apa jenis barang boleh dibawa ke dalam zon perdagangan bebas untuk perniaggan runcit atau selainnya, dan Menteri boleh, melalui perintah melarang apa-apa barang atau kelas barang daripada di bawah ke dalam sesuatu zon perdagangan bebas.




Nah,inilah yang Mat Said cuba maksudkan.Kalau ikut bahasa orang-orang kampung,Pulau Bebas Cukai ini tempat di mana kita boleh beli barang murah-murah.Macam di Rantau Panjang tu,Awang.Itulah maksudnya.Di Malaysia ini kawasan bebas cukainya terletak di kawasan-kawasan strategik seperti di Rantau Panjang,Wang Kelian dan Pengkalan Kubor yang terletak di sempadan Siam.Kawasan ini strategik kerana barang-barang buatan Thailand yang murah akan melalui kawasan tersebut terlebih dahulu untuk mengeksport barangan.Seterusnya,pulau-pulau bebas cukai diwujudkan di Labuan,Langkawi dan Tioman.Pulau ini dijadikan kawasan bebas cukai kerana kedatangan pelancong yang tinggi di sini.Mungkin ilham Mat Said ini mahu samakan Kenyir dengan pulau-pulau tersebut.Tetapi Mat Said silap sedikit.Pulau di laut dan pulau di darat tidak sama.Mereka-mereka yang ke pulau di tengah laut memang sudah tiada peluang untuk membeli di kawasan lain,oleh itu,wajar mengambil keuntungan atas keterbatasan.Tetapi di Tasik Kenyir ini,pelancong ada  banyak pilihan.Lebih baik ke Pasar Payang dan Noor Arfa Batik.Mereka ke Kenyir untuk melihat alam semulajadi bukannya alam buatan!


Projek-projek Mat Said ini kebanyakannya pelik-pelik.Pembangunan beliau banyak bersifat di mata dari dirasa tubuh badan.Semacam pemberian e-book pada pelajar sekolah,memang bagus dan terkehadapan,tetapi tolonglah fikirkan kemampuan diri sendiri dahulu.Adakah bahagia golongan miskin tegar yang makan susah melihat anak memperoleh e-book?Adakah kenyang dan tenteram hati keluarga dengan e-book.Tidak lain dan tidak bukan hanya untuk kepentingan kroni semata.(penulis tergelak apabila teringatkan perihal e-book sepupu yang rosak selepas 3 hari Mat Said beri).Seterusnya,Mat Said buat pula sebuah bandar dalam "rok"(belukar) di Kijal.Dulu-dulu,masa baru pegang negeri, Mat Said sanggup habis berjuta memberi kurma nabi dan air zam-zam pada rakyat Terengganu sampaikan ada mak cik-mak cik (wanita UMNO) menangis terharu kerana tidak pernah makan kurma Nabi.Kini,Mat Said dengan projek Pulau Bebas Cukainya pula.Penulis ingatkan beliau sembang kosong sahaja sebelum ini,tetapi rupanya benar-benar dibuatnya.


Satu lagi pembaziran telah bermula di Terengganu!Bayangkanlah,seperti yang dilaporkan akhbar,RM27 juta akan digunakan sebagai fasa pembinaan projek ini bagi menyambung bekalan elektrik dari Kampung Kepah ke Pulau Bayas.27 JUTA BUKAN SEDIKIT!!!!Projek gila Mat Said ini belum rata tanah,belum buat rumah kedai sudahpun guna 27 juta.Mungkin projek Mat Said ini akan jadi 313 billion,sama harga dengan projek I'da World di Seri Tujuh.Inilah dia MB-MB UMNO Terengganu.Kalau dulu Idris Jusoh sibuk bangunkan Pulau Wan Man,kini Mat Said sibuk bangunkan Tasik Kenyir pula.Kenapa Mat Said tidak fikir panjang ya? Kalaulah penulis yang jadi Menteri Besar,lebih baik pulau bebas cukai itu dibuat di Pulau Wan Man sahaja daripada dibuat di tengah hutan banat seperti itu.Mungkin kos boleh dikurangkan banyak-banyak juta.


Untuk makluman pembaca juga,syarat membina satu zon bebas cukai mestilah berpagar,di mana akan hanya pintu keluar masuk di kawasan kastam sahaja bagi mengelakkan berlaku penyeludupan barang tanpa duti.Agaknya,berapa beribu gulung pagar yang diperlukan untuk memagar Pulau Bayas nanti ya?Berapa pula kosnya.Lihat,belum buat bangunan,wang sudah habis buat kabel dan pagar.Seterusnya kena buat tapak meniaga,kena buat kompleks Kastam lagi.Mampus kering la poket negeri Terengganu.Seterusnya dalam laporan akhbar tersebut,bagi menunjukkan kehebatan Mat Said merencana ekonomi maka dikatakan pula akan dibina hotel lima enam bintang,taman burung,taman gajah,taman rama-rama dan segala macam taman di Tasik Kenyir.Mungkin lepas ini boleh tukar nama jadi Taman Kenyir.


Apabila selesai membaca laporan tersebut,penulis tertanya-tanya pada diri sendiri.Kalau Tasik Kenyir jadi pulau bebas cukai,apa akan jadi dengan Hub Tekstil Bandar Baru Kijal nanti?Kalau segala macam taman siap,harus melingkup Zoo Mat Said di Kemaman.Kerana itulah penulis lihat betapa ini projek gila Mat Said.Duit 27 Juta tadi,bukan sedikit.Kalau siap nanti,berapa juta yang akan habis?Apa faedahnya rakyat Terengganu dapat.Oh,kerajaan Ahmad Said.Duit sebanyak itu lebih baik kau guna untuk baiki rumah-rumah rakyatmu yang miskin.Tolong bantu orang tidak ada pekerjaan sesuai janji negeri mewujudkan 100 ribu peluang pekerjaan.Kenapa kau suka buat projek di dalam hutan dan belukar?Kau mahu beri manfaat kepada monyet atau manusia?Cukuplah usaha berlebihan untuk tarik pelancong luar,sedangkan rakyat terkangkang di sini.Kera di hutan disusukan,anak di rumah mati kelaparan!Tapi,zaman Mat Said bukan sahaja kera disusukan malah dibuat kawasan bebas cukai di kawasan rumah kera.


Penulis tidak marah projek bebas cukai.Tapi biarlah kena pada tempatnya.Apa sudah tiada tempat di bandar-bandar,di pekan-pekan dan kampung-kampung sehingga menyorok ke dalam hutan?Wakaf Mempelam,Gong Badak,Chendering,Wakaf Tapai dan Kuala Berang sudah habis tanahkah?Mat Said sepatutnya sedar,dalam perang tanding hebat antara beliau dan Idris Jusoh,duit rakyat juga yang terbang.Masing-masing membandingkan siapa lebih hebat membuat pembangunan.Apabila usaha-usaha Mat Said ini penulis lihat tidak kena pada tempatnya,maka penulis teringat kisah di Kedah dahulu.Kerajaan UMNO Kedah juga mempunyai idea seperti Mat Said seperti tanam padi atas bumbung,projek Marina Kuala Kedah,Muzium Padi,Muzium Lalang dan segala bagai stadium lagi.


Penulis tidak marah Mat Said Menteri Besar mahu bangunkan Tasik Kenyir,namun biarlah kena pada tempatnya.Selama ini orang ke sana kerana memancing,melihat alam semulajadi dan merehatkan minda.Penulis tidak pelik jika Taman Herba,Taman Strawberi,Taman Gajah dan lain-lain taman dibina di sana kerana kena dengan persekitarannya.Akan tetapi,bila dibina kawasan bebas cukai sebegini,bimbang juga ikan naga yang memakan orang mengamuk kerana kesunyian Tasik Kenyir mulai terganggu dengan tawar-menawar dan jual beli orang ramai.Mat Said juga perlu memikirkan betapa kuasa membeli orang Terengganu ini tidak tinggi.Pendapatan isi rumah Terengganu sekitar purata RM2000 sahaja sebulan.Terengganu juga bukanlah negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.Mungkin Mat Said lihat pembinaan pulau bebas cukai tepat pada masa siapnya Lebuhraya Pantai Timur tahun 2012 nanti.Tetapi Mat Said perlu berfikir juga.Kalau orang Kuala Lumpur atau belah-belah Pantai Barat hendak membeli barang murah,tidak perlu mereka sampai ke Tasik Kenyir membeli barang.Jarak Terengganu beratus batu sedangkan Nilai 3 lebih dekat,Masjid India juga dekat dan lebih baik membeli di kawasan pelabuhan Klang.


Bukanlah penulis hendak katakan bahawa tidak akan ada orang yang akan mengunjungi pulau bebas cukai tersebut nanti tapi kerajaan Terengganu perlu bertanya,adakah projek berjuta-juta akan memberi pulangan modal kepada negeri secara jelas?Sedangkan sampai kini kita belum mengetahui keuntungan hasil pembinaan Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam.Penulis bimbang peniaga-peniaga di sana akan gulung tikar selepas ini.Hal ini kerana barang-barang yang dibawa masuk ke sana sudah tentunya bukan barangan buatan Tasik Kenyir tetapi barangan Siam,Golok dan China.Oleh itu,penulis dapat rasakan barang-barang yang dijual tidak mempunyai beza harga ketara dengan pasaran kerana peniaga hanya terlepas duti import sedangkan kos pengangkutan dan lain-lain kos masih perlu ditanggung.


Apapun,penulis berdoa agar projek Mat Said di Tasik Kenyir ini tidak akan menemui kegagalan dan menjadi gajah putih.Kerana sekiranya gagal,bukan duit  Mat Said yang terbang tetapi duit rakyat yang hilang.Kepada para pengunjung Pulau Bebas Cukai nanti,selamat membeli penulis ucapkan tetapi hati-hati dengan ikan yang makan orang.


Orang Terengganu,
di Pantai Dalam.


Read more...

JALAN PAS DI GALAS BERLIKU SEPERTI JALAN2 DI GUA MUSANG




Gua Musang BUKAN Kubu Umno,ianya Kubu Ku Li.Kuatnya UMNO di Gua Musang kerana Ku Li,kalau tiadanya UMNO lembek tidak berdaya.Seperti Marang yang sinonim dengan Haji Hadi,Anwar di Permatang Pauh dan Nik Aziz di Pulau Melaka,tempat jatuh Ku Li adalah Gua Musang.Kini,satu lagi pilihanraya kecil akan berlaku dalam Parlimen Gua Musang di kerusi N45 Galas berikutan kematian penyandang,Allayarham Che Hashim Sulaima(Pas) beberapa hari yang lalu.Oleh itu,penulis rasa,sangat molek "sengoti" pada waktu ini kiranya kita imbau kembali kedudukan kekuatan baik UMNO mahupun Pas di kawasan Galas ini.

Berikut adalah keputusan Pilihanraya Umum bagi Kawasan N45 Galas untuk tempoh 1986-2008:






Pilihanraya Umum 1986
Haji Ibrahim Renjar                             PAS                 1281
Zakaria bin Hasan                             BN                   3420

Majoriti:  2139             Undi Rosak: 225          Peratus Pengundian: 69.98%

Pilihanraya Umum 1990
            Zakaria Hasan                                      BN                   1760

            Haji Omar Mohamed                         S46                  4465

Majoriti: 2705              Undi Rosak:199                       Peratus Mengundi: 75.53%



Pilihanraya Umum 1995

            Zakaria bin Hasan                                BN                   3163
            Nik Ismail Wan Idris                            AKIM              205
            Omar bin Mohamed                           S46                  4056
                             
Majoriti: 893                Undi Rosak: 472                      Peratus Mengundi: 70.81%


Pilihanraya Umum 1999

            Zulkifli bin Mohamad                          Keadilan          3072
            Mohamad Saufi Deraman                  BN                   5336

Majoriti: 2264              Undi Rosak: 297          Peratus Mengundi: 72.00%


Pilihanraya 2004

            Mohamad Saufi Deraman                  BN                   4184
            Che Hashim Sulaima                           PAS                 2455
           
Majoriti: 1729              Undi Rosak: 156          Peratus Mengundi: 85.26%



Pilihanraya Umum 2008
            Che Hashim bin Sulaima                                PAS                 4399
            Mohamad Saufi bin Deraman              BN                   3753

Majoriti: 646                Undi Rosak: 171                      Peratus Mengundi: 80.89%







Berdasarkan rekod,UMNO menang tiga kali di Dun ini,pertama sebelum Ku Li keluar parti.Selepas Ku Li menubuhkan Semangat 46,Galas menjadi kubu S46 untuk dua penggal sehinggalah Ku Li menyertai UMNO kembali.Hasilnya,dalam PRU 1999,walaupun faktor Anwar turut berlaku di Kelantan,UMNO(Ku Li) masih kukuh di Dun Galas walaupun berlaku peningkatan undi buat PKR.Setelah Pas mengambil kembali Dun Galas,berlaku penurun undi Pas di sana mungkin disebabkan faktor Abdullah Badawi ketika itu.Walaubagaimanapun,Galas terkena juga tsunami 2008 menyebabkan Pas berjaya menguasai Dun tersebut.


Apa yang penulis ingin sampaikan,betapa kesukaran kini berlaku untuk Pas mempertahankan Kerusi N45 Galas ini.Mengapa?


SEKILAS MENGENAI GALAS


Galas adalah salah sebuah daripada tiga Dun dalam Parlimen Gua Musang.Secara geografinya,Galas terletak di Barat Daya negeri Kelantan,menjadi pusat pentadbiran KESEDAR di Gua Musang.Walaupun Dun ini terletak di kawasan Hulu Kelantan,namun kawasan Galas adalah "bandar" di kawasan hulu tersebut merangkumi Bandar Baru dan Lama Gua Musang."Urbanisasi" walaupun tidak sepesat Kuala Lumpur,namun proses pembandaran Gua Musang tetap berjalan seperti di jajahan lain.Title "bandar" telah menyebabkan taraf pemikiran penduduk di sana agak "terbuka" dan membuatkan mereka bertindak menukar Adun daripada diwakili wakil UMNO kepada Pas.Dun Galas mempunyai 13 buah peti undi iaitu:




1.POS BROOK
2.SUNGAI BER
3.BELATIM
4.BALAR
5.BIHAI
6.HAU
7.KAMPUNG PULAI
8. KAMPUNG BHARU
9.BANDAR LAMA GUA MUSANG
10.BANDAR BARU GUA MUSANG
11.KAMPUNG BATU PAPAN
12.LEPAN TUPAI
13.SUNGAI TE

Daripada 13 buah peti undi tersebut,enam adalah peti undi majoriti Orang Asli,Lima Melayu dan dua peti undi  Cina.Untuk perhatian,enam peti undi orang asli bukanlah bermakna kaum tersebut paling ramai sebagai pemilih Dun Galas,tetapi kerana masalah ketersampaian di sana.Orang Melayu masih menjadi majoriti pengundi di sana.Berikut adalah fakta demografi Dun Galas:




Jumlah Pengundi Berdaftar: 10 330
Peratus Kaum: Melayu - 65.4%
                       Cina     - 24.6%
                       India    -  1.8%
                       Lain2   - 10.5%

(Maklumat ini adalah pada PRU 12 2008.Jumlah pengundi semasa tidak diketahui)




TUGAS BERAT MENANTI PAS DI GALAS


Gua Musang adalah kubu Umno.Walaupun Pas berjaya merampas Galas pada tahun 2008,Pas sepatutnya sedar betapa faktor-faktor semasa menjadi pemangkin kemenangan Pas di sana.Malah,tugas Pas kali ini akan menjadi berat kerana Pas bukannya akan menentang UMNO Gua Musang tetapi hakikatnya menentang kerajaan Persekutuan.Hakikat betapa bandar Gua Musang  yang tidaklah membangun dengan hebat pastinya akan menjadi dorongan kepada BN untuk menabur seberapa banyak bantuan mee segera.Jalanraya akan diturap,longkang akan dikorek sana sini,rumah dicat baru tidak kurang pembinaan gelanggang futsal,baiki surau dan apa sahaja yang difikirkan masalah kepada orang Galas.Itulah nikmat pilihanraya kecil di Malaysia.


Penulis berat mengatakan peluang menang Pas sekarang adalah 50-50 walaupun tarikh pengundian pun masih belum diumumkan.Apapun,penulis membuat telahan ini berdasarkan rujukan pada prk-prk yang lepas terutama di kawasan Pakatan Rakyat tewas dan menang tipis seperti di Bagan Pinang,Hulu Selangor dan Manek Urai.Kita sebagai golongan yang terdedah dengan maklumat pastinya akan sentiasa memandang sinis projek mee segera ini,padahal golongan luar bandar,pak cik mak cik peneroka yang hanya bergantung dengan RTM akan terasa terhutang budi juga.Berikut adalah perkara-perkara yang penulis anggap sebagai halangan Pas dalam mempertahankan Dun Galas:


1.Projek-projek Segera di Galas
2.Masalah penyaluran maklumat tepat pada pengundi luar bandar
3.Ugutan Budi dan sikap mengungkit-ungkit UMNO
4.Faktor Ku Li di kubu kuatnya (telah dilantik sebagai Pengarah PRK)
5.Masalah kesihatan Allayarham Che Hashim dalam memberi khidmat terbaik sebelum ini
6.Pengundi luar tidak pulang mengundi(tidak seperti tahun 2008 di mana mereka ditaja untuk pulang)
7.Wang-wang segera bertaburan
8.dan janji itu janji ini.....


Oleh itu,maka WAJIB bagi Pas melakukan perkara ini bagi menaikkan peratusan peluang kemenangan Pas di Galas:
1.Ungkit kembali janji Pilihanraya Manek Urai (jambatan dan lain-lain)
2.Panggil penduduk Sungai Buaya berdemo meminta baki wang mereka
3.Sebarkan seberapa banyak risalah
4.Buat ceramah luar dari markaz Pas(kalau boleh di kawasan Pas kalah.Hal ini bagi membolehkan penyokong UMNO dan atas pagar terkesan.)
5.Sediakan pengangkutan percuma untuk pengundi-pengundi luar kawasan pulang mengundi.
6.Angkat calon yang berwibawa(lebih berwibawa daripada calon UMNO)
7.Desak kerajaan Pusat tunai royalti
8.Tembus kawasan orang asli
9.Kaut seberapa banyak undi Cina
10.dan perkara-perkara yang membawa kepada kemenangan


Kesimpulannya,jalan Pas menuju kemenangan di Galas masih bengkang-bengkok dan banyak bonggolan.Oleh itu,marilah kita bersama-sama membina highway empat lorong bagi Pas menuju kemenangan kedua.


Penulis Ibu Kota,
Pantai Dalam.






Read more...

ULAMA MUDA : UMNO PARTI ZALIM!!!!!

Tuesday, September 28, 2010


Tersirat dan tersurat.Begitulah yang penulis mampu katakan setelah meneliti tulisan seorang ulama muda UMNO,Fathul Bari Mat Jahya dalam ruangan kolum Malaysiakini beberapa hari yang lalu.Soal pokoknya adalah berkaitan dengan usaha kerajaan Kelantan dalam "Misi Munajat Royalti Rakyat".Oleh itu,di sini penulis bawa kembali apa yang ditulis oleh Fathul Bari (ustaz FB) mengenai masalah royalti minyak Kelantan.Ustaz FB menulis:
Sebelum memberi sebarang komentar, saya suka menyeru pembaca kembali meneliti dasar permasalahannya yang berkaitan tuntutan hak, peruntukan perlembagaan dan ketaatan kepada pemerintah. 
Bagi kerajaan Malaysia, Akta Petroleum 1974 hendaklah dibaca bersekali dengan Ordinan Darurat dalam menafsirkan mengenai isu royalti minyak. 





 Seksyen 4(2) Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 menyebut negeri di dalam Malaysia mempunyai perairan wilayah hanya setakat tiga batu nautika (5.5 kilometer) diukur dari paras air surut, sedangkan telaga minyak di Kelantan terletak 150 batu nautika dari perairan.





Manakala bagi kerajaan Kelantan royalti minyak adalah hak mereka. Mereka juga mendakwa bahawa Ordinan Darurat telah dimansuhkan pada 1979. 





Jika diteliti pelantar minyak negeri Terengganu yang terletak 220 kilometer di perairan Laut China Selatan menerima bayaran royalti minyak. Sedangkan pelantar minyak di Kelantan hanya terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Ekslusif yang diusahakan antara Petronas dengan kerajaan Thailand di Laut China Selatan/Teluk Siam tidak menerima bayaran royalti.





Soalnya siapa yang benar? Siapa yang berhak?





Dalam kondisi sekarang saya berpendapat kerajaan negeri Kelantan telah menggunakan saluran yang betul untuk menuntut hak mereka iaitu mahkamah. 





Maka usahlah kita membuat sebarang tuduhan rambang kepada mana-mana pihak sama ada kerajaan Malaysia mahupun kerajaan Kelantan sementara menunggu keputusan mahkamah.

# # #

Tulisan Ustaz FB di atas penulis faham.Beliau menulis sedemikian atas pemahaman mereka-mereka yang setia membaca Utusan Malaysia dan menonton RTM.Kalaupun Ustaz FB tidak menulis kembali apa yang diberitahu Kerajaan Persekutuan,penulis sudahpun mengetahuinya.Namun,apa yang menarik perhatian penulis adalah ayat ini iaitu:
Jika diteliti pelantar minyak negeri Terengganu yang terletak 220 kilometer di perairan Laut China Selatan menerima bayaran royalti minyak. Sedangkan pelantar minyak di Kelantan hanya terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Ekslusif yang diusahakan antara Petronas dengan kerajaan Thailand di Laut China Selatan/Teluk Siam tidak menerima bayaran royalti.
Berdasarkan pernyataan di atas secara jelas betapa ustaz FB sendiri menyokong royalti Kelantan dan mempersoal partinya,UMNO.Apapun,sebagai seorang ahli parti,beliau mengambil jalan "cakap berlapik" di mana beliau tidak mengatakan pun bahawa beliau menyokong tetapi dalam masa yang sama mempersoal tindakan UMNO. Dan dalam hal tersebut,ustaz FB lebih senang menyerahkannya pada mahkamah.(Ustaz,kes royalti Terengganu sudah hampir sepuluh tahun ke mahkamah pun masih belum selesai.Adakah Ustaz FB yakin mahkamah mampu menyelesaikan kes Kelantan lebih cepat?)

Seterusnya penulis terkejut dengan pernyataan Ustaz FB yang mengatakan UMNO itu zalim.Di bawah penulis petik:

Secara umumnya, menjadi satu kewajipan kepada mana-mana pemerintah Muslim di atas muka bumi menunaikan hak rakyatnya. Sabda Nabi SAW: “Mana-mana pemimpin yang menipu rakyatnya, maka tempatnya adalah neraka.” (Riwayat Ahmad).





Banyak alternatif berdepan kezaliman





Begitu juga bagi hakim yang bertanggungjawab, hendaklah mengadili apa jua kes dengan seadilnya. 





Sabda Nabi SAW: “Seorang hakim akan masuk syurga dan dua orang hakim akan masuk neraka. Hakim yang masuk ke syurga adalah hakim yang mengetahui kebenaran dan melaksanakannya, maka dia masuk syurga. Manakala hakim yang mengetahui kebenaran tetapi mengenepikan kebenaran dengan sengaja maka dia masuk neraka, dan hakim yang memutuskan hukuman tanpa ilmu juga masuk neraka.” (riwayat al-Hakim)





Kedua-dua pihak di atas perlu takut kepada doa orang yang dizalimi. 





Sabda Nabi SAW: “Tiga golongan yang amat mustajab doanya; doa orang yang dizalimi, doa musafir dan doa bapa kepada anaknya.” (riwayat Ahmad)





Manakala rakyat tetap perlu memberikan ketaatan walau berhadapan dengan kezaliman. Apatah lagi jika kezaliman itu hanyalah tuduhan yang masih kesamaran. 





Sabda Nabi SAW: “Seburuk-buruk pemerintah kamu adalah pemerintah yang kamu benci dan laknat mereka dan mereka benci dan laknat kamu. Para sahabat berkata: Ya Rasulullah, bolehkah kami menentang mereka? Tidak, selama mana mereka mendirikan solat.” (riwayat Muslim)





Sabda Nabi SAW lagi: “Akan datang selepasku, pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melaksanakan sunnah-sunnahku. Bersama-sama mereka lelaki-lelaki yang berhati syaitan dan bertubuh badankan insan. Hudzaifah bin al-Yaman bertanya: Apa yang perlu aku lakukan ketika itu? Sabda Nabi SAW: Kamu perlu dengar dan taat, walau mereka memukul belakangmu dan mengambil harta bendamu.” (Riwayat Muslim)

Sila perhatikan tulisan Ustaz FB iaitu "Banyak alternatif berdepan kezaliman" yang semestinya ditujukan pada UMNO!Mana mungkin Kerajaan Kelantan yang memfailkan saman royalti dianggap zalim.Tentulah ianya ditujukan pada UMNO.Apapun,Ustaz FB tidak seperti Zaid Ibrahim yang bertindak keluar parti.Beliau tetap berpegang pada hadis bahawa:


Sabda Nabi SAW lagi: “Akan datang selepasku, pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melaksanakan sunnah-sunnahku. Bersama-sama mereka lelaki-lelaki yang berhati syaitan dan bertubuh badankan insan. Hudzaifah bin al-Yaman bertanya: Apa yang perlu aku lakukan ketika itu? Sabda Nabi SAW: Kamu perlu dengar dan taat, walau mereka memukul belakangmu dan mengambil harta bendamu.” (Riwayat Muslim)


Apakah tujuan Ustaz FB mengeluarkan hadis tersebut?Tidak lain tidak bukan adalah berkaitan UMNO.Beliau telah mengaitkan hadis nabi ini dengan tindakan UMNO.Mari kita terjemahkannya.....


Akan datang selepasku, pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melaksanakan sunnah-sunnahku.(PEMIMPIN UMNO)


Bersama-sama mereka lelaki-lelaki yang berhati syaitan dan bertubuh badankan insan.(????)


Hudzaifah bin al-Yaman bertanya: Apa yang perlu aku lakukan ketika itu? Sabda Nabi SAW: Kamu perlu dengar dan taat, walau mereka memukul belakangmu dan mengambil harta bendamu.” (RAKYAT KELANTAN)


Oleh itu,di sini Ustaz FB telah mengeluarkan fatwa beliau mengenai permasalahan royalti ini.Rakyat Kelantan PERLU DENGAR DAN TAAT walau MEREKA MENGAMBIL HARTA BENDAMU(ROYALTI).


Apapun,bagi menolong rakyat Kelantan,Ustaz FB telah memberikan beberapa saranan berguna termasuklah:


Persoalannya, adakah rakyat perlu berdiam diri dengan kezaliman yang berlaku? Sebenarnya banyak alternatif yang disediakan oleh Allah dan Rasul sekiranya berhadapan dengan kezaliman, antaranya menasihati pemerintah, berdoa, sabar dan berhijrah.


Ustaz FB,semua saranan Ustaz telah kami buat.


Menasihati pemerintah-Kerajaan Kelantan telah menghantar surat rasmi mengenai tuntutan royalti minyak.Di dalamnya dibawa fakta dan nasihat mengapa Kelantan berhak mendapat royalti.(tindakan Persekutuan,tidak layan)


Berdoa-Satu solat hajat dan ceramah Perdana sudah diadakan baru-baru ini di Stadium Sultan Muhammad ke IV (tindakan Persekutuan,tengok sahaja)


Sabar-Sudah 20 tahun rakyat Kelantan bersabar (tindakan Persekutuan,senyum)


Berhijrah?-Adakah Ustaz FB mahu semua rakyat kelantan berhijrah?Ke mana?Ke Mekah atau Patani?(tindakan Persekutuan,mengalukan rakyat kelantan berhijrah keluar!)

Seterusnya Ustaz FB mempersoal tindakan kerajaan Kelantan yang sedang mengumpulkan dana 400 000 untuk misi munajat tersebut.Penulis tidak mahu mengulas lanjut kerana ianya boleh dibaca di Malaysiakini.Apapun,secara jelas Ustaz FB mengaku bahawa UMNO itu pemerintah yang zalim.Mungkin beliau sedang berusaha menjadikan UMNO sebagai adil.Berilah masa untuknya.


Penulis Muda,
Universiti Pantai Dalam.








Read more...

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP