This Pas Supporter's Blog Is. Powered by Blogger.

KRISIS DALAMAN PAS KEDAH DIBONGKAR SETPOL USTAZ AZIZAN

Thursday, May 16, 2013

Dalam kesedihan terhadap keadaan Ustaz Azizan sekarang, penulis rasa terkejut dengan luahan yang dibuat oleh Setiausaha Politik mantan MB Kedah kepada Ustaz Azizan iaitu Sanusi Md Nor. Luah Sanusi:



Aku Dan Ustaz Azizan: Catatan Kehilangan



Aku menemani Ustaz Azizan di KMC setelah beberapa hari tak bertemu kerana urusan kempen pilihanraya. Beberapa kali dia berpesan kepada rakan-rakan untuk menghubungi aku yang agak sibuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengarah MTD DUN Jeneri (aku adalah Timbalan Pengarah 1 sebelumnya, terpaksa memangku pengarah yang dilantik sebagai wakil calon). Kami hanya berhubung melalui telefon. Dia foward beberapa sms dan nombor telefon yang memaki hamunnya sebelum dan selepas calon-calon dimuktamadkan. Aku ber istighfar dan meminta dia terus bersabar. Dia sudah buat yang terbaik untuk negeri, rakyat Kedah dan parti. Tak ada apa perlu dikesalkan.


Beberapa kali dia merungut... "Depa tak mau dengar cakap kita dah. Susunan dan cadangan kita diredah tanpa merujuk kepada kita lagi. Semua orang boleh membuat keputusan untuk PAS Kedah. Kita di Perhubungan Negeri sudah tak ada kuasa apa- apa. Pesuruhjaya ada ramai di Kedah ni". Saya hanya mendengar dan menyelami keresahannya. Seorang Pesuruhjaya tanpa kuasa di saat keputusan-keputusan besar perlu dilakukan.


Ramai orang lama PAS Kedah datang dengan rombongan mereka dari kawasan -kawasan untuk memohon dikekalkan atau diganti calon-calon tertentu dengan alasan yang tersendiri, Ustaz Azizan sudah letih melayani. Katanya" Hampa kata hampa, yang aku cadang pun depa buang, depa langgaq ikut suka depa, nak suruh aku pertahan hak hampa cadang lagu mana. Hampa pi lah ke pejabat agong, aku sudah tak buleh buat apa-apa."




Setelah keputusan PRU diumumkan, barulah saya berkesempatan bertemu dengannya, itupun dia sudah di KMC, mengadu sakit kaki dan demam. Kali pertama mengunjunginya pada Isnin, dia sedang menjalani prosedur rawatan di ICU, saya pulang jam 6 petang, setelah menunggu 2 jam. Salur darah di kakinya tersumbat.


Esoknya, saya dimaklumkan oleh anaknya Mohamad Rafie, ayahnya mungkin dirujuk ke IJN dengan kondisi kesihatannya yang tidak didedahkan. Saya masuk menemui Azizan di ICU KMC jam 2 petang, dia mengalirkan air mata setelah saya mencium tangannya yang sedang terbaring. Saya tak mampu menahan lelehan airmata yang makin laju. "Sik macam mana dah? Aku tau hang pulun nak bagi menang jugak, tapi ni semua takdir Allah. Kita terlepas satu beban yang sangat besar. Hang bayangkan kalau kita menang, dan aku ada dalam wad, tentu kacau bilau lebih besaq daripada awal 2012 hari tu". "Tak pa lah Ustaz, tok sah dok pikiaq pasai politik lagi, kita berubat bagi lega dulu". Aku jawab perlahan memujuknya.


"Kaki aku kebas, tak rasa apa-apa. Hang angkat aku sat, aku nak pi bilik ayaq". Sejak beberapa bulan terakhir, terutama ketika dia mengadu tentang calon-calon PAS Kedah, tekanan dalaman parti, sikap rakan-rakan parti, caci maki melalui SMS yang diterimanya, saya sering sebak dan buntu. Apa lagi yang tak kena, apa salah aku apa dosa kita... Dia merungut. Tak ada siapa mai habaq dosa apa yang aku buat, main hentam jauh- jauh saja. Mai lah cakap depan aku, apa salah aku. La ni semua pi panjat tangga Pejabat Agong, kita di negeri dah tak laku. Biaq depa jawablah.


Beberapa kali dia menyatakan pada waktu ini PAS memiliki terlalu ramai pencatur politik ( munawarah al-siasiyah) dan kita ketandusan Al-Murabituun dalam jemaah. Saya hanya mendengar dan membayangkan masa depan parti yang kian mencabar. "Hang talipon bagitau Cikgu Pa, tanya dia aku nak lepas jawatan Pesuruhjaya, minta pandangan dia, nak letak la ni ka atau lepas muktamar"?


MB Kedah yang baru, Dato' Mukhriz sampai jam 3.00 petang. Saya melihat dan mendengar perbualan mereka, seperti seorang bapa bercakap dengan anaknya, tapi penuh hormat dan sopan. Ustaz Azizan meminta dua perkara untuk diberi perhatian atas kerja kerasnya selama 5 tahun, diteruskan. " Saya nak minta tolong pada Dato' dua perkara, pertama tentang KUIN dan kedua tolong teruskan pembinaan Ma'ahad Tahfiz Sains Pulau Tuba. Semua bajet untuk itu sudah diluluskan". Dia masih sempat bergurau tentang beberapa perkara. Sewaktu melangkah keluar dari bilik, MB Kedah itu bersalam dengan aku dan berpesan. "Jaga Ustaz elok-elok".


Saya mengiringi Azizan ke General Hospital Pulau Pinang jam 3.30 petang hari selasa 7 Mei 2013. Bersama saya anaknya Mohamad Rafie dan rakan lamanya Saudara Mazlan. Sampai sana jam 5 petang, terus ke unit kecemasan. Azizan masih sedar dan berbual. Dia berpesan beberapa kali supaya terus bekerja memajukan PAS. Dia masih bertanya beberapa orang calon yang menang dan yang tewas, termasuk Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuddin di Kepala Batas.


Dia haus dan dahaga. Saya meminta cawan dan straw, dia minum beberapa kali. Dia menjadi cemas dan memanggil saya apabila doktor memaklumkan kakinya tidak dapat diselamatkan lagi. Dia berpesan beberapa kali, "Hang jangan bagi depa potong kaki aku". Saya berjanji akan mencari ikhtiar lain. "Jom kita balik, naik kereta pun tak pa lah". Katanya beberapa kali.


Jam 7.30 malam, Ustaz Ali dari Alor Setar telah menunggu di Bukit Minyak, Bukit Mertajam. Ada seorang pakar yang merawat kesan diabetis yang lebih parah, tak perlu di potong. Saya bercadang membawanya ke sana. Ustaz Ali pernah dirawat di situ. Saya menghubungi ambulan daripada St John Ambulan, untuk membawa dia keluar, atas alasan nak pulang ke KMC, tetapi nak singgah di Bukit Minyak. Ambulan yang lengkap dengan alat bantuan pernafasan hanya boleh datang jam 8.30, saya menunggu tidak sabar lagi. Saya keluarkan wang di mesin RM3 ribu untuk kos ambulan dan rawatannya di Bukit Minyak.


Doktor tidak membenarkan saya mengambil risiko besar untuk membawanya keluar kerana takanan jantungnya tidak stabil. Beberapa kali saya berbincang dengan Tok Puan Faekah untuk mengambil risiko itu, tetapi kondisi terakhir Ustaz Azizan tidak membolehkan kami membawanya keluar. Kena tunggu jantungnya stabil baru kita bawa dia keluar. Saya dan Tok Puan Faekah (saya panggil Kak) akur.


Saya mengambil beberapa keping gambar bahagian kaki Ustaz Azizan dan memecut bersama Mazlan ke Bukit Minyak. Doktor Kumar memberi keyakinan bahawa keadaan seperti itu masih boleh dirawat tanpa pemotongan. Hanya bahagian hujung jari ibu kakinya perlu dibuang. "As long he still conciuos and you can bring him here, his leg can be safe, no need to cut it off". Dia menunjukkan beberapa gambar dalam simpanannya yang lebih parah, kaki yang hitam, isi yang tumbuh kembali selepas rawatan di situ. Saya dan Mazlan lega dan gembira. Saya sudah temui penyelesaian alternaif, amanah Ustaz akan tertunai. Saya membuat temujanji untuk membawa Ustaz Azizan ke klinik itu seawal mungkin, sebaik sahaja dia membuka kliniknya jam 2.00 petang.


Saya kembali kepada Ustaz Azizan, memberi keyakinan kepadanya bahawa kakinya boleh diselamatkan. Dia tersenyum. "Jom kita pi la ni". Dia cuba bangun. Saya dan Kak Faekah menerangkan nasihat doktor yang sedang menstabilkan jantungnya. "Kita pi esok jam 2.00 petang. Ustaz tidoq dulu bagi jantung stabil, jam 12.00 tengahari esok saya akan mai dan bawa Ustaz keluar. Ambulan saya sudah panggil, depa dah ready untuk esok."


"Kalau macam tu, hang balik lah dulu, aku nak tidoq, kita jumpa esok". Kata Ustaz Azizan. Saya menunggu hingga semua anak menantunya datang. Mereka masih berbual dengan Ustaz Azizan, dan dipesan macam-macam perkara sewaktu saya bergerak pulang untuk mengambil pakaian. Jam 3 pagi saya sampai di rumah.


Jam 5.30 pagi, Kak Faekah menelefon tiga kali memaklumkan Ustaz tenat dan koma. Saya bertanya beberapa kali, betulkah berita ni, sapa yang bagitau Kak? Ahmad (anak Ustaz Azizan yang menunggu di wad) yang telepon bagitau, Kak dok bersiap nak pi la ni. Jawab Kak Faekah. "Ahmad tau ka tenat ka nazak tu macam mana, dia reti ka Kak?" Doktor yang bagitau dia.... Mendengar itu saya bingkas mencapai seluar, bergegas ke Pulau Pinang dengan Mazlan dan Shahril Rizal, bekas pengiring Ustaz yang diarahkan kembali melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah. Dia tidak diperlukan lagi di Pejabat Menteri Besar kerana sudah ada yang bersiap menggantikannya. Katanya dari Bukit Aman.


Saya masih berdoa Ustaz akan sedar dan mampu dibawa keluar jam 12 tengahari nanti. Di wad CCU, ustaz sedang dibantu dengan alat bantuan pernafasan, lebam hitam di kaki kanannya sudah melarat ke sebelah kiri, melepasi lututnya, terlalu pantas dan luar biasa. Kakinya sejuk. Dia bernafas menerusi mulutnya saja. Saya terus berdoa, membaca Yaasin dan membisikkan talqin. Dia seperti mendengar dan mengajuk. Kelopak matanya berkedip-kedip.


Saya memaklumkan kepada pimpinan dan kawan-kawan dalam PAS Kedah kondisi semasa Ustaz Azizan. Jam 10.30 pagi panggilan mula masuk meminta pengesahan, benarkah Ustaz Azizan sudah tiada? Ada sebaran sms dan tulisan di blog ke seluruh negara bahawa ustaz sudah meninggal. Dari jam 10.30 hingga jam 1.00, telefon saya tidak berhenti berdering, saling bertindih panggilan yang masuk. Jawapan saya ringkas dan cepat. "Ustaz masih hidup, tetapi sedang koma, berita kematian itu palsu".


Jam 2.00 saya ke surau, solat Zohor dalam fikiran yang bercelaru. Ustaz tak dapat di bawa ke Bukit Minyak, walaupun semua persiapan telah dibuat. Berita palsu ini pula sengaja dimainkan. Saya membayangkan perasaan anak-anak dan isteri-isterinya. Saya solat dengan En Zahari, Pegawai Daerah Yan. Dia mendahului saya saya satu rakaat. Saya masukkan handphone yang hampir habis bateri itu ke dalam beg sandang, sesudah berwuduk. Saya sandarkan beg itu di tiang di belakang saf saya, dan memulakan solat jamak dan qasar.


Saya berpaling ke belakang sesudah berdoa. Beg sudah tiada. Saya meraba poket, alhamdulillah, dompet yang tidak berduit masih ada, semua duit ada dalam beg, termasuk bekalan yang saya siapkan untuk ambulan dan rawatan di Bukit Minyak. Saya buntu dan mati kutu. Handphone saya ada dalam beg itu. Saya mengingati apa lagi yang ada. Aduhhh! iPad, pendrive, charger, parfume, pisau belati, buku cek, bil-bil, dan banyak lagi.


Saya memaklumkan kepada Ustaz Hafiz Nordin yang kebetulan ada di situ, dia cuba mendail nombor saya, tiada jawapan. Dia memanggil kawannya di syarikat telekomunikasi untuk menamatkan talian saya, semua urusan itu selesai di tanggnya.


Saya ke hulu ke hilir, mencari dalam tong sampah, belakang surau, dalam longkang dan tempat-tempat tersembunyi. Tiada!


Hingga malam itu, saya tidak dapat update keadaan semasa Astaz Azizan. Ada sedikit masa terluang, saya ke maxis, ambil simcard baru dan sain kontrak baru untuk dapatkan telefon yang lebih murah.


Saya update di facebook tentang kehilangan itu, ramai yang simpati dan berdoa. Sejak hilang pada hari Rabu, saya tak terfikirkan apa-apa tentang beg itu. Duit dan semua isi beg sudah ditakdirkan menjadi rezeki pencuri. Saya berdoa supaya dia memulangkan apa yang dia tidak perlukan. Saya halalkan apa yang sudah diambil dan dibelanjakan. Kalau dipulangkan handphone dan iPad saya itupun sudah satu rahmat besar buat saya.


Ketika membawa dua anak kecil ustaz ke Chowrasta membeli pakaian dan keperluan diri, saya menerima panggilan daripada seorang wanita. "Adakah encik kehilangan iPad?" Ya! Saya menjawab." Saya terkedu, seperti tak percaya bila mendengar beg saya ada padanya. Saya menunggu di Balai Polis Lebuh Keramat, hingga dia datang bersama ibunya. " Panjang ceritanya Encik, adakah encik mahu report polis kes ini?" Saya kata tak perlulah, asalkan saya dapat balik iPad saya.


Saya belanja mereka minum. Beg itu dicuri oleh seorang pemuda penagih dadah, seorang anak muda 27 tahun yang dipelihara oleh ibu tirinya. Ayahnya berkahwin dua, isteri pertama ayahnya memelihara dua anak angkat dengan penuh kasih sayang, tetapi menjadi penagih dadah. Ibu peliharaanya itu jatuh sakit dan tak mampu lagi mengawal anak belanya itu. Dia anak isteri kedua ayahnya, tetapi sesekali dikunjungi oleh 'abangnya' itu meminta wang atau menumpang tidur. Pada tengahari hari rabu, 'abangnya' datang meninggalkan sebuah beg berwarna coklat, katanya beg itu milik kawannya.


Dia kurang percaya dan mula memeriksa beg itu, dia menelefon saya dengan maklumat yang diperolehi dari iPad saya. Handphone dan wang tunai sudah lesap, tetapi saya tetap bersyukur. Saya menghubungi ibu pemuda itu yang sedang sakit, nombor telepon saya ambil dari anak tirinya. Saya memaklumkan hal anaknya mencuri beg dan saya sudah mendapatkannya semula. Saya ucapkan terima kasih dan memberi sedikit nasihat. Saya ingin bertemu Mohd Nasrul Bin Daud!


Saya pulang ke rumah selepas 5 hari di Penang. Anak saya demam dan isteri saya masih di klinik, sakit perut. Ustaz Azizan masih terlantar, anak-anaknya, isteri-isterinya saya sudah aturkan penempatan dan pergerakan mereka. Moga semuanya bersabar. Kita jumpa esok!





catatan asal di http://sanusisetpol.blogspot.com/2013/05/aku-menemani-ustaz-azizan-di-kmc.html



p/s: penulis no comment tentang perkara ni...tapi diharap dgn pengunduran Ustaz Azizan dan TPJ I Dato' Phahrolrazi, sengketa Pas Kedah akan berakhir. Kini tugas berat menanti Mahfuz...

Read more...

KUASA TERENGGANU: TIGA DARI EMPAT AHLI PARLIMEN TERENGGANU SERTAI KABINET

Wednesday, May 15, 2013

Hari ini tumpuan semua pihak terarah kepada pengumuman Kabinet Najib untuk penggal yang baru. Ramai juga yang terkejut apabila wakil-wakil dari UMNO Terengganu banyak yang dipilih dalam kabinet baru kali ini. Jika sebelum PRU 13 yang lalu, hanya seorang wakil Terengganu sahaja yang tinggal dalam kabinet Najib, kabinet baru pula berbeza sama sekali.

Sebelum ini, wakil-wakil Terengganu agak tenggelam. Cuma kali ini, setelah Najib sukar untuk mengisi ahli-ahli kabinetnya, tiga daripada empat ahli parlimen BN Terengganu yang dilantik dalam kabinet dan memegang kementerian yang agak penting, di mana dua daripadanya adalah Menteri Penuh dan seorang Timbalan Menteri.

Hanya Ahli Parlimen Setiu sahaja yang terlepas dari senarai kabinet kali ini iaitu Che Muhammad Zulkifly bin Jusoh. Muka-muka baharu dalam kabinet dari Terengganu kali ini termasuklah:





MENTERI PELAJARAN II: Datuk Seri Idris bin Jusoh
Ahli Parlimen Besut








MENTERI PENERANGAN DAN KOMUNIKASI: Datuk Ahmad Shabery Chik
Ahli Parlimen Kemaman







TIMB. MENTERI PENERANGAN DAN KOMUNIKASI: Datuk Jailani bin Johari
Ahli Parlimen Hulu Terengganu



Tahniah dan syabas untuk menteri-menteri dari Terengganu. Harap dapat sumbangkan sesuatu untuk negeri anda. Cuma yang peliknya, nampaknya Kementerian Penerangan sudah dikuasai oleh wakil-wakil dari Terengganu. Adakah ini signal bahawa PAS Terengganu akan diserang selepas ini?

Atau mampukah Terengganu akan dipenuhi dengan WIFI percuma dengan adanya menteri dan timbalan menteri dari negeri tersebut?


Read more...

TEKA-TEKI MENTERI BESAR DI TERENGGANU, PAHANG,N9 DAN SELANGOR

Thursday, May 9, 2013

Sehingga hari ini, hanya lapan daripada tiga belas buah negeri yang mengadakan Pilihanraya Umum ke-13 di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) telah melantik Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing serta mendapat perkenan daripada Sultan dan Yang Dipertua Negeri masing-masing.



Berikut adalah senarai Menteri Besar dan Ketua Menteri selepas PRU13:




Perlis : Azlan Man, ADUN Pauh-BN (muka baharu)

Kedah: Datuk Mukhriz Mahathir, Adun Ayer Hitam-BN (muka baharu)

Pulau Pinang: Lim Guan Eng, Adun Air Putih-DAP (kekal)

Perak: Dato' Seri Mohd Zambry Abdul Kadir, Adun Pangkor-BN (kekal)

Kelantan: Datuk Ahmad Yaakob, Adun Pasir Pekan- PAS (muka baharu)

Melaka: Datuk Idris Haron, Adun Sungai Udang-BN (muka baharu)

Johor: Datuk Seri Khalid Nordin, Adun Permas-BN (muka baharu)

Sabah: Datuk Seri Musa Aman, Adun Sungai Sibuga-BN (kekal)


Daripada lapan orang Menteri Besar dan Ketua Menteri yang sebahagiannya telah mengangkat sumpah dan sebahagiannya lagi telah menerima perkenan, lima daripadanya adalah muka baharu termasuklah di negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Melaka dan Johor.

Pun begitu, tumpuan sekarang terarah ke negeri-negeri yang masih berteka-teki dalam melantik Menteri Besar yang baru, termasuklah:



1. PAHANG
Sharkar Shamsuddin-
calon pilihan MB Pahang


Di sebalik kemerosotan prestasi BN di Pahang dalam PRU kali ini sehingga terlepas dua belas kerusi DUN kepada Pakatan Rakyat, teka-teki kepada pemilihan Menteri Besar baharu nampaknya semakin rancak. Dikhabarkan Menteri Besar baru akan mengangkat sumpah pada hari ini iaitu Khamis, 9 Mei 2013.

Sekiranya Datuk Seri Adnan Yaakob (Adun Pelangai) tidak dikekalkan, nama-nama yang disebut untuk menggantikan beliau termasuklah Adun Peramu Jaya, Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selain Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin, Adun Lanchang (yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang) serta Datuk Shahiruddin Abdul Moin, Adun Dong yang juga Pengerusi Giat MARA.



Tengku Putera:
MB Baru Tganu?
2. TERENGGANU

Dalam keadaan situasi yang begitu genting dalam politik Terengganu setelah hanya berkelebihan dua kerusi di DUN Terengganu, UMNO dilihat terpaksa mengekalkan Menteri Besar sedia ada, Datuk Seri Ahmad bin Said, ADUN Kijal untuk sepenggal lagi.

UMNO Terengganu perlu mengelakkan sebarang ketidakpuashatian dalam kalangan mana-mana Adun BN di negeri itu supaya peristiwa boikot seperti tahun 2008 tidak lagi berulang. Walaubagaimanapun dua nama lain disebut untuk menggantikan Ahmad termasuklah Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Adun Kuala Berang yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu serta Exco Pelajaran Negeri Terengganu, Datuk Mohd Razif, Adun Seberang Takir.



3. SELANGOR
Turut bercita-cita?


Di sebalik kejayaan cemerlang dalam PRU kali ini termasuklah kejayaan merampas banyak kerusi BN sehingga membentuk majoriti 2/3, gabungan PAS-PKR-DAP dilihat masih berteka-teki dalam melantik seorang Menteri Besar yang dapat memuaskan hati semua pihak.

Di pihak PAS, sekiranya calon mereka iaitu Dr.Abdul Rani Osman (Adun Meru) atau Shaari Sungib (Adun Hulu Kelang) tidak dilantik menjadi Menteri Besar, mereka dilihat bersetuju untuk mengekalkan Menteri Besar sedia ada, Tan Sri Khalid Ibrahim, Adun Pelabuhan Klang (PKR). Khabarnya, DAP juga merestui Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua.

Namun begitu, konflik timbul apabila wujud desakan daripada PKR sendiri supaya Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali yang juga Adun Bukit Antarabangsa menjadi Menteri Besar. Walaubagaimanapun, peluang Azmin itu tipis disebabkan kedudukan PKR sebagai parti yang memiliki bilangan kerusi paling sedikit dalam DUN Selangor, selain sokongan PAS dan DAP ke atas Tan Sri Khalid Ibrahim.




4. NEGERI SEMBILAN

Walaupun Datuk Seri Muhammad Hassan berjaya mengemudi Barisan Nasional Negeri Sembilan untuk terus berkuasa di Negeri Sembilan termasuklah merampas kerusi DUN Paroi dari Pas dan Ampangan dari PKR, nasib beliau sendiri sebagai Menteri Besar masih lagi belum terjawab.




Updated:

Akhirnya, dua Menteri Besar mengangkat sumpah hari ini (9 Mei 2013) iaitu:

Terengganu: DS Ahmad bin Said, Kijal-BN (kekal)

Pahang: DS Adnan bin Yaakob, Pelangai-BN (kekal)


11 Mei 2013:

Lengkaplah sudah senarai 13 orang Menteri Besar dan Ketua Menteri setelah Negeri Sembilan dan Selangor masing-masing mengekalkan Menteri Besar mereka untuk sepenggal lagi iaitu:


Negeri Sembilan: DS Muhammad bin Hassan, Rantau-BN (kekal)

Selangor: DS Mohd Khalid bin Ibrahim, Pelabuhan Klang-PKR (kekal)

Read more...

PAS MENANG BERGAYA DI TERENGGANU, LEBIH 10 RIBU MAJORITI DI KUALA TERENGGANU

Monday, May 6, 2013

Ramai yang tidak memberi harapan kepada PAS di Terengganu. Politik Terengganu dianggap sebagai terkeluar daripada tsunami politik yang melanda Malaysia. Malah, dalam PRU kali ini, jentera PAS Terengganu lebih bergerak di peringkat tempatan, tanpa ada usaha untuk ditembusi secara berskala besar seperti di Johor mahupun Negeri Sembilan. Atas sentimen bahawa pengundi Terengganu yang bermajoriti Melayu, maka peluang untuk Terengganu menyumbang sesuatu kepada Pakatan Rakyat dilihat agak samar.

Perkara tersebut memang ada asasnya. Namun, pengundi Terengganu telah membuktikan bahawa pengundi Melayu masih bersama Pakatan Rakyat. Dalam PRU kali ini, PAS telah berjaya menyumbang empat kerusi Parlimen kepada Pakatan Rakyat iaitu di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. Manakala PAS berjaya menafikan kerusi dua pertiga Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri (DUN), malah kedudukan BN sangat tipis di mana mereka hanya mempunyai kelebihan dua kerusi apabila BN menguasai 17 kerusi DUN manakala PAS menguasai 15 kerusi.

Berikut diperturunkan kembali keputusan PRU di kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PAS di Terengganu:


Di Parlimen Kuala Nerus, PAS yang menurunkan seorang tokoh agama yang merupakan seorang ustaz selebriti di TV sebelumnya berjaya membenam Ketua Bahagian UMNO Kuala Nerus:


PARLIMEN P035 KUALA NERUS

Ustaz Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri (PAS): 33 861 undi

Datuk Mohd Nasir bin Ibrahim Fikri (BN): 33 251 undi

MAJORITI: 610 undi (PAS)



Di Parlimen Kuala Terengganu pula, PAS melakukan kejutan dengan memperoleh kemenangan besar melalui calon dari golongan istana iaitu YM Raja Kamarul Baharin yang menjadi antara calon PAS yang memperoleh kemenangan besar dalam PRU 13:





PARLIMEN P036 KUALA TERENGGANU

Raja Kamarul Bahrin Syah (PAS): 45 828 undi

Mohd Zubir bin Embong (BN): 35 043 undi

Maimun binti Yusof (Bebas): 182 undi

MAJORITI: 10 785 undi (PAS)



Di Marang, Berita Harian bertindak jahat melaporkan kekalahan Tuan Guru Haji Abdul Hadi seawal jam 8.00 malam. Walaubagaimanapun, keputusan yang dikeluarkan nyata memihak kepada PAS:


Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang (PAS): 42 984 undi

Datuk Yahya bin Khatib Mohamad (BN): 37 860 undi

MAJORITI: 5124 undi (PAS)


Selain itu, PAS turut membuat kemunculan semula di Parlimen Dungun setelah kali terakhir memenanginya pada tahun 1999.  Kemenangan itu lebih manis apabila PAS menang 4-1 ke atas BN di Parlimen yang terletak di kawasan Selatan Terengganu itu. Berikut adalah keputusannya:


Ustaz Wan Hassan bin Mohd Ramli  (PAS): 35 348 undi

Datuk Rosli bin Mat Hassan (BN): 31 406 undi

MAJORITI : 3942 undi (PAS)


Untuk rekod, negeri Terengganu mempunyai lapan Parlimen di mana PAS dan BN masing-masing menguasai empat Parlimen. Hal ini juga bermakna, penguasaan seimbang berlaku dalam kawasan Parlimen di Terengganu. Di pihak BN pula, mereka memenangi kerusi Parlimen Besut (8342 majoriti undi ), Setiu (7943  majoriti undi ), Hulu Terengganu (8213 majoriti undi) dan Kemaman (12 306 majoriti undi).

Beberapa hari sebelum pengundian juga, blog ini telah mengeluarkan analisis di mana PAS dijangka menang di empat Parlimen iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun dan ternyata ramalan tersebut adalah tepat! Bagi kerusi DUN pula, penulis telahpun meramalkan bahawa PAS mendahului di 15 buah kerusi DUN dan ramalan tersebut juga adalah tepat, cuma terdapat sedikit kesilapan dalam dua analisis di mana penulis menjangkakan DUN Jabi dan Batu Rakit dalam Parlimen Setiu mampu dimenangi PAS, namun gagal. Akan tetapi, mujurlah PAS dan PKR masing-masing berjaya memenangi kerusi DUN Rantau Abang dan Bandar yang penulis klasifikasikan sebagai DUN 50-50 di mana terdapat sebanyak tujuh DUN di Terengganu yang agak seimbang dari segi persaingannya semasa kempen.


Daripada keputusan yang telah dikeluarkan, berikut keputusan 15 kerusi yang dimenangi oleh PAS di Terengganu iaitu:


1. N09 Tepuh

Seperti dijangka, calon muda PAS, Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim berjaya merampas kerusi DUN Tepuh daripada tangan Bekas Exco Agama Terengganu, Datuk Haji Ramli bin Nuh. Ustaz Hishamuddin memperoleh 11 128 undi, menewaskan Ustaz Ramli (BN) yang memperoleh 10 899 undi dengan majoriti 229 undi.



2. N10 Teluk Pasu

Di DUN Teluk Pasu dalam Parlimen Kuala Nerus, calon PAS iaitu Ustaz Ridzuan bin Hashim menang dengan majoriti 109 undi kepada Exco Pelancongan Negeri Terengganu yang juga penyandang DUN Teluk Pasu selama dua penggal, Datuk Rahin Mohd Said. Ustaz Ridzuan memperoleh 9098 undi manakala Rahin memperoleh 8989 undi. Untuk rekod, DUN Teluk Pasu pernah mencatatkan kontroversi Amanat Hadi di Banggol Peradong serta isu tanah penduduk yang diambil untuk pembinaan lebuhraya di Banggol Donas.


3. N12 Bukit Tunggal

Di DUN Bukit Tunggal, penyandangnya iaitu Dr.Alias Abdul Razak (PAS) berjaya mempertahankan kerusi ini untuk penggal kedua. Hal ini juga bermakna, PAS menang 4-1 di Parlimen Kuala Nerus dengan hanya tewas di DUN Seberang Takir. Di DUN Bukit Tunggal, Dr.Alias menang dengan majoriti 652 undi setelah memperoleh 6801 undi manakala calon BN, Ismail Nik memperoleh 6149 undi.



4. N13 Wakaf Mempelam

Dalam Parlimen Kuala Terengganu, PAS dan PKR memberi pukulan maut kepada BN apabila menang 5-0 di Parlimen dan empat kerusi DUN. Di DUN Wakaf Mempelam, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut berjaya memenangi DUN tersebut dengan majoriti 2810 undi setelah memperoleh 12 427 undi manakala calon BN, Wan Mahyudin Wan Ngah hanya mendapat 9617 undi.

Untuk rekod, ini adalah penggal keenam Haji Abdul Wahid berada dalam DUN Terengganu.



5. N14 Bandar

Pengerusi PKR Terengganu, YB Azan Ismail melakukan satu tindakan berani apabila beralih dari kerusi Parlimen Indera Mahkota di Pahang dan bertanding di kerusi DUN Bandar dalam Parlimen Kuala Terengganu, sebuah kerusi yang memiliki pengundi Cina yang ramai.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Bukit Besar, Kuala Terengganu itu berjaya menewaskan wakil MCA yang juga merupakan Exco Kerajaan Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw. Hal ini menunjukkan bagaimana gelombang penolakan masyarakat Cina ke atas BN turut berlaku di Terengganu.

Di DUN Bandar, Azan menang dengan majoriti selesa 2159 undi setelah memperoleh 9413 undi berbanding Toh Chin Yaw (BN) yang mendapat undi sebanyak 7254 undi.

Kehadiran Azan dalam DUN Terengganu pasti akan memberikan satu mimpi ngeri kepada kepimpinan BN kerana kelantangan beliau yang kritis dan vokal dalam pelbagai isu.



6. N15 Ladang

Di DUN Ladang, Bekas Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu yang juga penyandang kerusi DUN Ladang, YM Datuk Tengku Hassan bin Tengku Omar berjaya membenam Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Tengku Hassan yang memperoleh 9066 undi menewaskan Wan Ahmad Farid yang memperoleh 8142 undi dengan majoriti 924 undi. Antara isu besar dalam DUN Ladang sebelum ini termasuklah isu pengambilan tanah di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu yang dibuat atas nama pembangunan oleh kerajaan negeri.



7. N16 Batu Buruk

Kerusi DUN Batu Buruk yang merupakan antara kubu kuat PAS Terengganu sejak zaman Datuk Wan Abdul Mutallib Embong terus dipertahankan oleh penyandangnya, Dr.Syed Azman untuk penggal kedua. Memperoleh 13 679 undi, Dr.Syed Azman menewaskan calon BN, Datuk Che Mat Jusoh yang memperoleh 11 406 undi dengan majoriti 2273 undi.

Nampaknya, pemilihan Che Mat Jusoh sebagai calon oleh UMNO Terengganu adalah tindakan yang silap setelah gelombang anak muda menolak kepimpinannya dalam bola sepak Terengganu di bawah gelombang Asal Bukan CheMat (ABC).




8. N17 Alur Limbat

Di Parlimen Marang, PAS menang 4-1 ke atas BN apabila menang Parlimen Marang dan tiga daripada empat DUN kecuali DUN Pengkalan Berangan.

Di DUN Alur Limbat, masalah dalaman UMNO di Alur Limbat setelah nama Ketua Pemuda UMNO Terengganu diketepikan daripada menjadi calon di DUN berkenaan memudahkan lagi usaha PAS merampas semula DUN berkenaan.

Calon PAS, Ustaz Ariffin bin Deraman berjaya memenangi kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 645 undi setelah memperoleh 10 844 undi berbanding pencabarnya dari BN, Alias Abdullah yang hanya memperoleh 10 199 dan calon Bebas, Jaafar Jambol yang hanya memperoleh 74 undi.




9. N18 Bukit Payung

Di DUN Bukit Payung, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor bin Hamzah yang juga merupakan penyandang kerusi DUN berkenaan berjaya mengekang calon BN, Zaidi Muda di kerusi berkenaan.

Beliau yang memperoleh 9342 undi berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 613 undi setelah calon BN hanya mendapat 8729 undi.

Untuk rekod, DUN Bukit Payong memang dikenali sebagai sebuah kerusi yang sengit dan panas kerana kekuatan kedua-dua parti agak seimbang.




10. N19 Rhu Rendang

Seperti yang telah dijangka, kerusi DUN Rhu Rendang yang menjadi kubu kuat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang berjaya dipertahankan dalam PRU kali ini.

Beliau yang memperoleh 11 468 undi menewaskan calon BN, Nik Dir Nik Wan Ku dengan majoriti selesa 2819 undi setelah lawannya itu hanya memperoleh 8649 undi.

Untuk rekod, penggal ini merupakan penggal kelapan bagi Tuan Guru Haji Abdul Hadi dalam DUN Terengganu setelah menyandang kerusi DUN Rhu Rendang sejak tahun 1982.




11. N22 Manir

DUN Manir dalam Parlimen Hulu Terengganu merupakan satu-satunya kerusi DUN dalam kawasan Hulu Terengganu yang berjaya dimenangi oleh calon PAS. Walaupun PAS Terengganu menyasarkan untuk turut menang di kerusi DUN Kuala Berang, kehadiran tokoh UMNO iaitu Datuk Tengku Putera Tengku Awang menyukarkan usaha PAS itu.

DUN Manir, walaupun terletak dalam Parlimen Hulu Terengganu, pada hakikatnya merupakan sebahagian daripada Daerah Kuala Terengganu dan terletak di pinggir Bandaraya Kuala Terengganu. Kerusi tersebut merupakan kubu kuat PAS di bawah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Harun Taib. Walaubagaimanapun, atas faktor kesihatan, Ustaz Harun melepaskan kerusi ini daripada ditandingi dan PAS Terengganu bersetuju meletakkan anak beliau, Ustaz Hilmi Harun di kawasan tersebut.

Walaupun BN dilihat bersungguh-sungguh untuk menembusi DUN Manir melalui gerak kerja calonnya iaitu Yusof Awang Hitam, PAS berjaya mempertahankan kerusi DUN berkenaan. Disebabkan kejayaan PAS mempertahankan semua kerusi yang dimenangi dan menambah kerusi dalam PRU kali inilah maka penulis melihat PAS menang dengan penuh bergaya dalam PRU kali ini.

Calon PAS bagi DUN Manir, Ustaz Hilmi berjaya memperoleh majoriti sebanyak 588 undi setelah mendapat 6873 undi berbanding pencabarnya, Yusof Awang Hitam yang memperoleh 6285 undi.




12. N26 Rantau Abang

PAS Dungun dilihat antara kawasan PAS yang paling berjaya dalam PRU kali ini. Ditambah dengan kehadiran jumlah pengundi kawasan tanah rancangan dan kawasan pedalaman yang agak ramai, PAS Dungun tetap dapat memenangi kerusi Parlimen dan tiga daripada empat DUN dalam Parlimen Dungun.

Kesemua itu dibuat berdasarkan strategi. Antaranya di Rantau Abang, PAS meletakkan calon muka baru, Cikgu Alias Harun, seorang tokoh guru yang sangat dikenali penduduk di kawasan Dungun. Walaupun beliau hanya menang dengan majoriti kecil, kejayaan menembusi sebahagian DUN Rantau Abang yang terletak dalam kawasan Hulu Dungun itu agak membanggakan, apatah lagi beliau berjaya membenam Exco Infrastruktur Negeri Terengganu.

Calon PAS itu menang dengan majoriti 108 undi setelah memperoleh undi sebanyak 8964 undi berbanding dua lagi pencabarnya iaitu Datuk Zaabar Mohd Adib (BN) yang mendapat 8823 undi manakala calon Bebas, Mazlan Harun hanya memperoleh 90 undi.




13. N27 Sura

Di DUN Sura, PAS berjaya mengekalkan penguasaannya di kawasan Bandar Dungun itu dengan majoriti yang lebih besar. PAS kali ini juga meletakkan calon muka baru setelah penyandangnya, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dibawa ke Parlimen dan menang. Pengganti beliau untuk DUN Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik,seorang bekas guru berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti hampir 200 %.

Dalam PRU 2008, PAS menang dengan majoriti 1000 undi manakala dalam PRU kali ini, PAS menang dengan majoriti 2957 undi. Calon PAS memperoleh 8952 undi manakala calon BN, Zakariah Ali mendapat 5995 undi.




14. N28 Paka

Di sebalik undi kawasan Felda di dua kawasan Daerah Mengundi di DUN Paka iaitu di UPU Kertih II dan UPU Ketengah Jaya, PAS melakukan satu kebangkitan besar di DUN Paka, sebuah DUN yang terletak dalam kawasan perindustrian petroleum. Dengan kehadiran lebih 50 peratus pengundi bawah usia 40-an, keputusan DUN Paka banyak dipengaruhi undi anak muda.

Oleh itu, maka tidak hairanlah apabila Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri bin Mamat berjaya merampas kerusi DUN Paka yang dimenangi UMNO dengan majoriti tipis dalam PRU 2008.

Memperoleh 12 138 undi, Ustaz Satiful menang dengan majoriti selesa 1287 undi berbanding pencabarnya dari BN, Matulidi Jusoh yang memperoleh 10 851 undi. Matulidi yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Dungun akhirnya tewas di DUN Paka.




15. N31 Chukai

Di Parlimen Kemaman, walaupun UMNO berpesta undi dengan kemenangan besar lebih 12 000 undi majoriti di Parlimen, PAS tetap menunjukkan persaingan di Bandar Chukai, bandar utama bagi Daerah Kemaman.

Kebangkitan anak muda yang membentuk lebih separuh daripada pengundi di DUN Chukai turut membantu kemenangan calon PAS, Haji Hanafiah Mat dengan majoriti besar sekitar 2446 undi.

Beliau yang memperoleh undi sebanyak 12 457 undi telah menewaskan calon BN, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, bekas Adun Air Putih yang hanya memperoleh 10 011 undi. Dengan kemenangan ini, PAS dan PKR menang di hampir kesemua bandar-bandar utama di negeri Terengganu kecuali Bandar Jerteh di Besut, Bandar Permaisuri di Setiu dan Bandar Kuala Berang di Hulu Terengganu. Di lima lagi bandar utama
di Terengganu seperti Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun dan Chukai, PAS berjaya menguasai kerusi-kerusi di kawasan bandar tersebut.


Walaupun PAS hanya kekurangan dua kerusi untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah, hakikatnya UMNO hanya menang dengan majoriti mudah di Terengganu di sebalik dakwaan kononnya pengundi Terengganu menolak PAS dan serik di bawah pemerintahan PAS. Apa yang pasti, kemenangan PAS dengan 15 orang wakil dalam DUN Terengganu pastinya akan memberi tekanan kepada Menteri Besar baru yang akan dilantik.

Persoalannya siapa? Adakah Datuk Seri Ahmad Said akan mempertahankan kerusi Menteri Besarnya itu ataupun terpaksa memberi laluan kepada Datuk Tengku Putera Tengku Awang, yang dilihat lebih berkaliber berbanding beliau? Biarlah istana Terengganu yang menentukan dan mungkinkah akan ada pula ADUN UMNO yang akan menyeberang ke sebelah PAS sekiranya krisis Menteri Besar Terengganu berulang?

Itulah politik Terengganu yang berada dalam kelasnya yang tersendiri.



Nota Penulis: Walaupun kecewa dengan kekalahan Pakatan Rakyat, penulis gembira dengan kebangkitan orang-orang Melayu di Terengganu. Adakah UMNO hendak menyatakan kemenangan PAS di Terengganu dibantu oleh orang Cina? Tentunya tidak. Kemenangan ini merupakan satu signal bahawa tsunami politik Terengganu akan muncul pada PRU14. Nantikan.

Read more...

LEBIH 10 RIBU HADIR DI CERAMAH PAKATAN RAKYAT ALOR SETAR

Friday, May 3, 2013

Sejak hari penamaan calon pada 20 April yang lalu, UMNO dilihat terlalu mendabik dada di kawasan Alor Setar dengan dakwaan kononnya rakyat telah bersama mereka dalam beberapa siri ceramah. Dua siri ceramah yang menampilkan Tun Dr.Mahathir di Markaz Besar BN Alor Setar pada malam selepas penamaan calon dan satu lagi program bersama Tun Dr.Mahathir beberapa hari lepas di Kuala Kedah bukanlah ukuran bahawa rakyat bersama mereka.

Kempen Pakatan Rakyat, walaupun tidak begitu agresif pada awalnya telah memberi pukulan balas melalui siri ceramah perdana di Padang Kota Nelayan Kuala Kedah pada malam 1 Mei yang lalu yang menampilkan Tuan Guru Dr. Haron Din dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain. Pada hari ini, satu lagi pukulan maut diberikan kepada Barisan Nasional khususnya kepada Datuk Bashah setelah ceramah "Super Friday" yang membariskan nama-nama besar dalam Pakatan Rakyat diadakan di Stadium Tertutup Suka Menanti, Alor Setar dalam kawasan yang ditandingi Bashah sendiri iaitu DUN Bakar Bata.

Penulis yang tiba di kawasan ceramah tersebut sekitar jam 5.00 petang terkejut dengan keadaan di sekitar stadium tersebut. Ternyata hadirin yang hadir dalam himpunan tersebut terlalu ramai sehingga jalan sesak teruk dan kereta terpaksa diparkir sehingga sejauh 3 kilometer dari tapak ceramah. Kelihatannya, Jalan Suka Menanti yang menempatkan sebahagian daripada kompleks kerajaan di pinggir Bandaraya Alor Setar itu menjadi sebuah pesta rakyat, ditambah pula dengan flash mob daripada anak-anak muda di Jalan Sultanah Sambungan.

Ketika masuk ke dalam dewan, suasana sesak dan dipenuhi oleh masyarakat daripada pelbagai bangsa termasuklah kaum Cina yang hadir dalam jumlah beramai-ramai bersama-sama keluarga. Mereka yang sebelum ini dilihat tidak begitu menzahirkan sokongan mereka dilihat secara terbuka menyahut seruan UBAH dan INI KALILAH.

Dalam ceramah tersebut, antara nama-nama besar dalam Pakatan Rakyat yang menyampaikan ceramah termasuklah Lim Guan Eng, Haji Mohamad Sabu, Haji Mahfuz Omar, Tuan Guru Haji Salleh Musa, Dato' IR Phahrolrazi dan Datuk Amiruddin Hamzah, di samping calon-calon Pakatan Rakyat dalam kawasan Alor Setar yang merangkumi tiga Parlimen berbeza iaitu Parlimen Kuala Kedah, Parlimen Alor Setar dan Parlimen Pokok Sena. Walaupun kesemua Parlimen tersebut terletak dalam kawasan Daerah Kota Setar, namun disebabkan persempadanan oleh SPR, terdapat tiga kerusi Parlimen di ibu negeri Kedah itu.

Berdasarkan kehadiran dan sokongan pelbagai kaum yang ditunjukkan dalam himpunan tersebut, penulis menjangkakan Pakatan Rakyat akan mampu merampas kerusi Parlimen Alor Setar yang dimenangi oleh MCA dengan majoriti tipis pada PRU 2008, memberi saingan sengit kepada Datuk Bashah di DUN Bakar Bata dalam Parlimen Alor Setar (dan tidak mustahil untuk merampas kerusi DUN tersebut), selain mempertahankan kerusi DUN Kota Darulaman dan DUN Alor Mengkudu dalam Parlimen Alor Setar. Hal ini kerana, sokongan pengundi Cina di kawasan Alor Setar dilihat sudah mencapai ke tahap 70 peratus di Alor Setar.

Di Parlimen Kuala Kedah dalam Daerah Kota Setar pula, calon PKR bagi Parlimen Kuala Kedah, Dr.Azman Ismail dilihat mempunyai potensi cerah untuk menang manakala PAS pula mampu mempertahankan ketiga-tiga kerusi DUN dalam Parlimen Kedah melalui calon mereka iaitu Dato' IR Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Nasir Mustafa (Kubang Rotan) dan Dato' IR Amiruddin Hamzah (Anak Bukit).

Di Parlimen Pokok Sena yang juga merupakan sebahagian daripada kawasan Alor Setar, calon PAS iaitu Haji Mahfuz Omar dilihat mampu untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena walaupun BN mempertaruhkan Pegawai Najib, Dato' Sahlan Ismail. Selain itu, PAS dijangkakan mampu mengekalkan kedua-dua kerusi DUN yang dimenanginya di Pokok Sena iaitu DUN Bukit Pinang dan DUN Bukit Lada manakala calon DAP dijangkakan akan menawan kerusi DUN Derga dari tangan Gerakan, sebuah kerusi yang berada di tengah-tengah Bandaraya Alor Setar. Dalam PRU 2008, Pakatan Rakyat hanya tewas tipis di kerusi DUN Derga disebabkan pertembungan sesama sendiri calon PKR dan DAP di DUN Derga.

Berbalik kepada himpunan "Super Friday" tersebut, walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal untuk hadir ke program tersebut disebabkan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas di Pokok Sena, para hadirin yang hadir dilihat telah membulatkan tekad mereka - INI KALILAH!



* Nota: Wartawan Malaysiakini menganggarkan seramai 5000 orang hadir dalam program ini dan kebanyakannya adalah kaum Cina. Penulis menolak anggaran tersebut kerana berdasarkan sudut gambar yang beliau ambil, beliau berada awal dalam dewan ketika program bermula. Sedangkan penulis yang hadir lewat ke program melihat kehadiran penyokong memenuhi dewan dan melimpah sehingga ke pintu, selain sebahagian yang lain pula berada di luar dewan. 



GAMBAR-GAMBAR YANG SEMPAT DIAMBIL PENULIS DALAM HIMPUNAN TERSEBUT:















GAMBAR YANG DIAMBIL DARI FACEBOOK CALON PAS
DUN KUBANG ROTAN, YB NASIR MUSTAFA:













Read more...

RISIKAN: PAS MENDAHULUI 15 KERUSI DUN DI TERENGGANU, 7 LAGI 50-50

Situasi PRU13 di Terengganu tidak kurang hebatnya. Pertembungan dan saingan sengit yang diberikan PAS ke atas BN di kebanyakan kerusi menyebabkan UMNO agak sukar untuk bernafas. Berdasarkan risikan (bukan risikan tentera) daripada pelbagai sumber, penulis diberitahu PAS sudah mendahului di 15 daripada 32 buah kerusi Parlimen. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan di Terengganu adalah 17 kerusi. Hal ini bermakna PAS hanya perlu mencari dua kerusi sahaja sekiranya berusaha untuk menawan kembali Wisma Darul Iman pada kali ini.

Di pihak Barisan Nasional pula, mereka dilihat hanya mampu mendahului di sepuluh buah kerusi DUN sahaja, itupun di kawasan di sebelah Hulu dan beberapa kawasan kubu BN. Antara 10 kerusi yang masih didahului BN termasuklah:


1. Kuala Besut
2. Hulu Besut
3. Langkap
4. Permaisuri
5. Seberang Takir
6. Ajil
7. Telemong
8. Bukit Besi
9. Kijal
10. Air Putih


Di tujuh lagi kawasan, berlaku pertembungan yang sengit untuk menguasai kerusi-kerusi di kawasan tersebut di mana peluang masih terbuka kepada kedua-dua belah parti (50-50) termasuklah:


1. N02 Kota Putera

Walaupun pengaruh Idris masih ada di Besut, namun keputusan PAS bertanding dan meletakkan Ustaz Adam Mat Said agak menyukarkan BN, apatah lagi BN mengemukakan calon baru setelah Pehimi dipindahkan ke DUN Jertih.

2. N03 Jertih


Di DUN Jertih, calon PAS yang merupakan YDP PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar telah memulakan gerakerja sejak sekian lama. Pengaruh Idris Jusoh tidak lagi membantu BN Besut apabila beliau sendiri sudah tidak dijamin tempat sebagai Menteri Besar. Malah, sentimen Menteri Besar dari Besut juga sudah tiada.

Berdasarkan gerakerja, bermula dengan Himpunan PGU di Jertih, calon PAS dilihat mengatasi populariti Pehimi, bekas ADUN Kota Putera.



3. N14 Bandar (Parlimen Kuala Terengganu)

Cabaran utama calon PKR, Azan Ismail di DUN Bandar adalah untuk mengaut seberapa banyak undi masyarakat Cina Terengganu dari calon MCA. Pengundi Cina di Terengganu adalah berbeza sentimennya berbanding di negeri-negeri lain.

Walaubagaimanapun, sokongan dari undi Melayu di DUN Bandar terhadap Pengerusi PKR Terengganu itu dilihat menyebelahi PKR.



4. N20 Pengkalan Berangan (Parlimen Marang)

Di DUN Pengkalan Berangan, penyandang kerusi berkenaan, Datuk Yahaya Khatib telah dipancung supaya bertanding di Parlimen Marang, sebuah kerusi yang sukar dimenangi atas kekuatan Presiden PAS.

Pertembungan muka baru dari PAS menentang calon BN nampaknya mula membuahkan hasil. Apatah lagi kerusi DUN ini hanya dimenangi BN dengan majoriti bawah 1000 undi dalam PRU yang lalu, PAS optimis untuk menang melalui calon anak muda yang diketengahkan, Ustaz Sulaiman Sulong.

Walaupun hanya membentuk 4% daripada jumlah pengundi, masyarakat Cina di Wakaf Tapai juga akan menjadi penentu kepada kemenangan calon di kawasan ini.



5. N23 Kuala Berang

PAS menyasarkan Kuala Berang sebagai antara kerusi wajib menang dalam PRU kali ini. Sebelum ini, PAS tewas sekitar 1500 undi kepada calon BN, Cg. Zawawi Ismail. Ketika PAS menggiatkan usaha untuk menawan kerusi bandar di Hulu Terengganu ini, tentangan sengit muncul apabila BN menurunkan Jeneral Besar mereka iaitu Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Ketua Bahagian UMNO Hulu Terengganu.

Beliau akan menentang Timb.Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid.



6. N26 Rantau Abang

Calon PAS di DUN Rantau Abang dalam Parlimen Dungun kali ini bukanlah calang-calang orang. Calon PAS, Cikgu Alias Harun merupakan seorang tokoh guru yang terkenal di Dungun atas khidmatnya di kebanyakan sekolah di daerah Dungun dan kali terakhir sebagai Pemangku Pengetua di SMK Agama Kuala Abang, Rantau Abang.

Ditambah dengan kedudukan sebahagian Daerah Mengundi di DUN Rantau Abang yang terletak dalam kawasan Bandar Dungun, PAS optimis untuk melihat perubahan dalam kalangan pengundi semi-urban di Terengganu. Tambahan pula, BN hanya memenangi DUN berkenaan sekitar 900 undi sahaja dalam PRU yang lalu.

Namun, cabaran besar kepada kedua-dua calon adalah wujudnya calon Bebas iaitu Mazlan Harun di DUN tersebut yang memungkinkan pecah undi berlaku.



7. N29 Kemasek

Kedudukan di DUN Kemasek dalam Parlimen Kemaman masih lagi terbuka. Apatah lagi kedudukan sebahagian daripada Daerah Mengundi dalam DUN Kemasek merupakan kawasan bandar perindustrian petroleum iaitu Kertih.

PAS melihat potensi pengundi bandar di kawasan Kertih bagi mencuri seberapa banyak undi, supaya dapat diimbangi dengan kekuatan undi BN di kawasan pedalaman seperti di kawasan Felda Kertih (LKTP) dan Ranggun.



Berikut merupakan tujuh kerusi yang menjadi perebutan hangat di Terengganu di antara parti yang bertanding. Selain itu, PAS juga dilihat selesa untuk mendahului di 15 buah kerusi DUN termasuklah:


1. Jabi
2. Batu Rakit
3. Tepoh
4. Telok Pasu
5. Bukit Tunggal
6. Wakaf Mempelam
7. Ladang
8. Batu Buruk
9. Alor Limbat
10. Bukit Payong
11. Rhu Rendang
12. Manir
13. Sura
14. Paka
15. Chukai



Flash mob anak muda di DUN Chukai, selain sabotaj petugas UMNO
terhadap calon BN Chukai dilihat mencerahkan lagi peluang PAS di DUN Chukai



Sekiranya benarlah risikan ini, PAS dilihat berpeluang cerah untuk kembali berkuasa di Wisma Darul Iman. Pada pandangan peribadi penulis sendiri, PAS mampu memenangi sekitar 18-20 kerusi DUN di Terengganu, dan menyumbang empat kerusi Parlimen kepada Pakatan Rakyat iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

Buat pengundi di Terengganu, bersama kita jadikan keputusan ini satu realiti pada 5 Mei nanti. INI KALILAH! UBAH!

Read more...

KAJIAN: BN BAKAL TERSUNGKUR DI JITRA, KUBANG PASU

Thursday, May 2, 2013

DUN N06 Jitra dalam Parlimen Kubang Pasu merupakan antara kubu kuat UMNO untuk satu tempoh yang sangat lama. Pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir dilihat sangat berakar umbi di kawasan majoriti Melayu tersebut. Namun itu bukanlah jaminan bahawa DUN Jitra akan kekal selama-lamanya di bawah UMNO dan Barisan Nasional.

Penulis yang mengikuti perkembangan politik di kawasan Jitra dapat membuat sedikit bacaan politik ke atas DUN berkenaan. Boleh jadi bacaan penulis ini silap, akan tetapi berdasarkan persepsi dan pergerakan angka-angka, DUN Jitra yang telah sekian lama ditunjangi Barisan Nasional mungkin akan terlepas ke tangan PAS dalam Pilihanraya Umum ke-13 kali ini, malah PAS turut berpeluang cerah menawan bekas kerusi Parlimen yang pernah diwakili oleh Perdana Menteri Malaysia itu. Berikut adalah analisis ringkas penulis terhadap DUN Jitra dan Kubang Pasu:



DEMOGRAFI PENGUNDI

Kawasan DUN Jitra merupakan sebuah kawasan yang secara perlahan-lahan muncul sebagai sebuah bandar utama di Kedah selepas Bandaraya Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim. Kegiatan ekonominya terdiri daripada aktiviti perniagaan yang tertumpu di Pekan Jitra dan Bandar Darulaman, perindustrian di Bandar Darulaman dan Malau, dan pertanian di kampung-kampung tradisi. Malah, perkembangan urbanisasi di Jitra dibantu oleh perkembangan pusat pendidikan tinggi seperti Politeknik, Institut Perguruan, Institut Latihan Perindustrian dan beberapa buah kolej yang lain. Boleh dikatakan hampir 10 000 daripada penduduk di kawasan Jitra terdiri daripada golongan pelajar.

Secara geografinya, kawasan DUN Jitra terbahagi kepada dua jenis kawasan iaitu:

Kawasan Bandar/Separa Bandar:

1) Daerah Mengundi dalam kawasan Pekan Jitra seperti Taman Jitra Jaya, Taman Rasa Sayang dan Taman Jitra, Tok Kesop

2) Daerah Mengundi dalam kawasan Bandar Darulaman seperti Pantai Halban, Tanjung Pauh, Taman Mahsuri dan Tanah Merah

3) Daerah Mengundi dalam kawasan Paya Kemunting seperti Paya Kemunting dan Taman Pasu

 4) Daerah Mengundi Kepala Batas (Pekan Kepala Batas)


Kawasan Luar Bandar:

Daerah Mengundi Malau, Kampung Kuluang, Wang Tepus, Padang Panjang, Telok Nibong, Kampung Batu 13, Telok Malek, Naga, Alor Rambai, Lubok Batu (Banai) dan Bukit Tinggi


Seterusnya, jika dilihat daripada jumlah pengundi, berikut adalah merupakan jumlah pengundi berdaftar di DUN Jitra:




Berikut adalah secara sepintas lalu mengenai demografi pengundi di kawasan DUN Jitra, yang terdiri daripada lebih daripada 36 000 orang pengundi berdaftar dalam kawasan bandar majoriti Melayu di negeri Kedah. Jumlah pengundi Melayu yang membentuk 83% daripada jumlah pengundi selain pengundi Cina, India dan Siam akan mempengaruhi keputusan pengundian kali ini.

Dalam PRU kali ini, DUN Jitra akan menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara calon PAS, Dr.Rohani Abdul Mutalib menentang calon muka baru BN, Aminuddin Omar.




Selain itu, jika dilihat daripada keputusan PRU 12 pada tahun 2008, DUN Jitra merupakan antara salah sebuah kerusi yang dimenangi oleh calon BN dengan majoriti selesa. Berikut adalah keputusan PRU12 di DUN Jitra:



Berdasarkan sedikit kajian penulis terhadap DUN Jitra, penulis beranggapan bahawa peluang PAS untuk memenangi DUN ini pada kali ini adalah cerah, malah dianggap seimbang di antara peluang PAS dan BN.

Mengapakah hal ini terjadi?


PERTAMBAHAN PENGUNDI YANG TINGGI

DUN Jitra mempunyai seramai 36 379 orang pengundi berdaftar. Dalam PRU 2008, jumlah pengundi adalah seramai 28 331 orang pengundi. Berdasarkan situasi tersebut, hal ini bermakna berlaku pertambahan pengundi sebanyak 8041 orang pengundi atau dalam bentuk peratusannya, pertambahan pengundi pada PRU13 berbanding PRU sebelumnya adalah sebanyak 28.41%, sesuatu kenaikan yang agak tinggi. Hal ini bermakna, penentu kepada keputusan PRU di DUN Jitra pada kali ini bukan lagi pengundi lama, akan tetapi pengundi-pengundi yang mengundi buat pertama kali.

Jika dilihat daripada pergerakan pengundi di DUN Jitra, kenaikan bilangan pengundi pada PRU 2008 hanyalah sekitar 2200 orang pengundi, akan tetapi dalam PRU kali ini, pertambahan pengundi adalah sebanyak 8041 orang pengundi.

Kehadiran seramai 8041 orang pengundi ini akan memberi kelebihan kepada PAS apabila hampir 60-75% pengundi muda adalah cenderung ke arah Pakatan Rakyat.

Dalam PRU 2008, calon BN iaitu Dato' Saad Man hanya memperoleh majoriti sebanyak 2258 undi. Sekiranya PAS mampu mengekalkan jumlah undi yang diperoleh mereka dalam PRU 2008 dan mendapat sokongan daripada pengundi baru yang tinggi dalam DUN ini, ternyata kedudukan UMNO agak tergugat.

Hal ini kerana, pengundi muda sukar diakses melalui gerak kerja politik cara lama, akan tetapi mereka perlu diakses melalui media baru seperti internet.

Pada pandangan penulis, berikut adalah faktor mengapa UMNO perlu untuk risau di DUN Jitra:


1. Komuniti Siber Jitra Jelas Menolak Calon UMNO

Walaupun ruang siber tidaklah mampu menilai sokongan sebenar pengundi, akan tetapi fungsinya dalam melihat mood dan sokongan para pengundi tempatan ada asasnya. Dalam komuniti siber, Group Facebook "Saya Orang Jitra" merupakan antara medium utama untuk menilai mood rakyat di Jitra di mana group tersebut dianggotai sekitar 12 000 orang ahli.

Di dalam group SOJ, satu poll telah dibuat bagi melihat sokongan dalam kalangan ahli-ahli group tersebut terhadap calon PAS dan UMNO. Keputusannya adalah seperti berikut:


Calon PAS - 72%
Calon BN  - 28%

Walaupun keputusan poll tersebut tidak memberi sebarang makna kepada mana-mana parti, akan tetapi melalui keputusan ini, kita dapat menilai sikap para pengundi muda yang majoritinya aktif di media baru seperti facebook ini. Oleh itu, penulis menjangkakan sokongan pengundi muda di DUN Jitra akan dimenangi oleh PAS dalam PRU kali ini.


2. Sokongan Kaum Cina

Umum mengetahui sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Rakyat berlegar dalam lingkungan setinggi 70%. Tidak terkecuali di Bandar Jitra yang didiami oleh majoriti masyarakat Cina dilihat lebih cenderung kepada PAS. Mereka menyatakan sokongan mereka secara terbuka, malah ada di antara mereka yang berkempen untuk memenangkan calon PAS.

Di sebuah bengkel motorsikal milik seorang masyarakat Cina di Taman Aman misalnya, beliau tanpa ragu-ragu dan takut melekatkan stiker "Tolak UMNO-Penyamun 403 Juta" di dinding kedainya, sesuatu yang sukar dilihat sebelumnya.

Penulis sendiri menjangkakan bahawa calon PAS akan mendapat sokongan yang padu daripada kaum Cina yang membentuk hampir 3600 orang pengundi di kawasan DUN Jitra.

Seorang penyokong PAS berbangsa Cina membantu
kempen PAS di tengah-tengah Pekan Jitra berhampiran Taman Ihsan



3. Undi Masyarakat India

Walaupun BN dilihat masih menguasai undi kaum India di DUN Jitra, namun PAS telah mula berjaya menembusi undi kaum tersebut melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS. Dalam PRU kali ini, DHPP dari kaum India telah membuka dua buah bilik gerakan di Taman Aman (UPU Taman Pasu) dan UPU Tanah Merah. Malah, mereka turut menyatakan sokongan terhadap calon PAS dengan mengiringi calon-calon PAS ketika hari penamaan calon.


Bilik Gerakan DHPP di Taman Aman


Ahli DHPP ketika hari penamaan calon di DUN Jitra

Selain itu juga, sentimen kegagalan BN selama hampir 30 tahun dalam membina sebuah sekolah Tamil yang lebih tersusun dan selesa kepada penduduk di kawasan Taman Aman setelah mereka dipindahkan daripada Ladang Tanjung Pauh turut menjadi isu penting dalam menilai sokongan pengundi India terhadap PAS dalam PRU kali ini. Walaupun PAS mungkin tidak berjaya mendapat undi majoriti daripada kaum India, berkemungkinan PAS boleh mencuri banyak undi dalam PRU kali ini berdasarkan bantuan ahli DHPP dan isu yang membelenggu masyarakat India sekian lama.


Banner kekecewaan masyarakat India di DUN Jitra
yang dinaikkan di Taman Aman (dalam Daerah Mengundi Taman Pasu)



4. Penolakan terhadap Calon UMNO

Calon UMNO, Aminuddin Omar bukanlah calon pilihan untuk mewakili BN di DUN Jitra pada PRU kali ini.  Calon pilihan akar umbi untuk diangkat dalam PRU kali ini adalah Dato' Saad Man, penyandang kerusi DUN Jitra berdasarkan gerak kerja yang dilakukan oleh beliau sekian lama.

Kekecewaan sebahagian penyokong UMNO apabila Dato' Saad disingkirkan jelas kelihatan apabila mereka mengadakan demonstrasi membantah Aminuddin Omar sebagai calon di Bandar Darulaman, beberapa hari sebelum proses penamaan calon.

Dari segi populariti, walaupun Aminuddin (yang lebih dikenali sebagai Pak Tam) merupakan anak jati Jitra dan telah lama berkecimpung dalam politik sebagai Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu, namun beliau kurang dikenali berbanding calon PAS, Dr.Rohani yang memang dikenali sebagai seorang doktor perubatan di kawasan Jitra. Hal ini dilihat memberi kelebihan kepada calon PAS, selain berkemungkinan wujudnya undi protes dalam PRU pada 5 Mei nanti.

Berdasarkan hujahan yang telah dilakukan penulis, PAS dilihat mempunyai peluang yang cerah di DUN Jitra. Akan tetapi, bacaan penulis ini boleh sahaja adalah silap dan UMNO akan kekal di DUN Jitra. Hanya pengundi yang akan menentukannya nanti.

Buat pengundi di DUN Jitra, INI KALILAH! UBAH!

Read more...

artikel berkaitan

Related Posts with Thumbnails

propas1992 copyrights 2011

Segala Tulisan yang terdapat dalam blog ini adalah tulisan sepenuhnya propartiislammalaysia.blogspot

Sebarang salin semula di blog lain seeloknya diberikan kredit sebagai menghargai penulis asal.

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP